, ,

Peluang Baru Untuk Berubah

Ibu Tanpa Nikah (bahagian 3)

Sebab yang kuat mengapa Allah perintahkan kepada hambaNya baik lelaki mahupun perempuan agar tundukkan pandangan dan jauhilah diri daripada zina, Allah jua perintahkan supaya lelaki dan perempuan disatukan dalam kehidupan sebagai sepasang suami isteri melalui akad yang sah di sisi Allah dan juga syari’at Islam.

Yang halal itu indah. Nak dapatkan Syurga, bukan mudah jalannya kerana Syurga itu bersifat indah, suci, bersih, cantik, dan segala sifat-sifat terpuji. Berbeza dengan Neraka yang mempunyai segala sifat-sifat tercela dan keji di sisi Allah.

‘Syurga dan Neraka’ penentuan buat semua hambaNya, melalui pilihan mereka semasa di dunia. Apabila tersalah pilihan, cepat-cepat memohon keampunan serta bertaubat nasuha kepada Allah Yang Maha Esa, kerana pintu taubatnya sentiasa terbuka sehinggalah datangnya tanda-tanda besar kiamat.

Dunia akhir zaman, perbanyakkanlah taubat sebelum terlambat meraih RedhoNya.

Situasi lain di dalam sesi menemu bual pesakit bersama waris. Amatlah perit penerimaan seorang ibu juga ayah apabila mengetahui anaknya hamil tanpa nikah, dan juga tanpa pengetahuan mereka.

Remuk, hancurnya hati mereka saat berita ini dimaklumkan sendiri melalui anak perempuan mereka sendiri. Bila ditanya, pak cik dan mak cik tahu tak anak pak cik dan mak cik berkawan dengan siapa?

Jawapan mereka hanya ringkas, “tahu.”

Kata mereka lagi, “Anak pak cik selalu keluar berdua dengan teman lelaki dia, pak cik ingat berkawan biasalah, tak ada apa-apa yang akan jadi, tak sangka pulak benda ini akan jadi jugak.”

Bercerita sambil menahan sebak, melindungi hati yang remuk, hancur berkecai atas perlakuan tidak bermoral anak perempuan mereka.

Kata Fatayatus Sa’idah, “Pak cik dan mak cik, saya harap perkara sebegini tidak akan berlaku lagi. Segerakanlah pernikahan mereka untuk kebaikan pada masa akan datang. Kasihankan anak yang tidak berdosa itu, terpaksa menanggung segalanya sejak dilahirkan lagi, agaknya macam mana lah nasib dia pada masa akan datang.

Memegang status ‘anak tak sah taraf’ dalam kehidupan masyarakat, alam persekolahan, perkahwinan, dan segala situasi yang berkemungkinan memberi kesan negatif kepada anak itu.

Tidaklah mendapat keistimewaan seperti anak-anak yang lain, dari segi keturunannya, pembahagian harta pusaka, waris, dan segala hal yang berkaitan agama Islam.

Saya harap, semoga pak cik dan mak cik sentiasa redho dan bertabah dengan perkara yang sudah terjadi ini. Harapan saya, pak cik dan mak cik berbincanglah dan buatlah satu keputusan untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku lagi. Na’uzubillahi min zalik, berdoalah selalu agar kita sentiasa dijauhkan musibah ini.”

Permasalahan menamakan anak atau ‘berbinkan’ nama ayah (tanpa nikah), keturunan keluarga, pemilikan harta pusaka, pandangan masyarakat, penerimaan anak apabila meningkat dewasa.

Anak itu adalah anugerah dan amanah daripada Allah untuk setiap ibu bapa. Anak itu ibarat kain putih dan suci, lalu tugas ibu bapalah yang mencorakkannya dengan corakan yang terbaik mengikut acuan Islam.

Jika sebaliknya, maka jadilah anak itu seperti apa yang dipilih.

‘Ibu Tanpa Nikah’ menjadi perbualan ramai, kutukan masyarakat, pandangan hina daripada kebanyakan orang yang tidak cuba untuk memahami.

Kini kita sama-sama tukarkan ia dengan pandangan kasih sayang, membantu mencegah pertambahannya golongan ini dengan sama-sama membantu membina jiwa dan rohani anak muda remaja daripada terpengaruh dengan dunia cinta yang rata-ratanya berpunca daripada “media sosial”.

“Dakwah itu mendekati, bukan membenci. Kerana kita semua adalah PENDOSA”.

**********

Siapalah kita untuk membenci golongan ini? Tidak layakkah mereka diberi peluang kedua untuk menjalani kehidupan seperti biasa. Manusia atau kalimah lainnya, insan. Insan itu bersifat lupa atau lalai.

Manusia sentiasa berada dalam keadaan yang melalaikan contohnya pada zaman serba canggih dengan pelbagai teknologi dan media sosial, menjadikan kita mudah terleka dan lalai dalam melakukan kebaikan.

Di era moden ini, manusia lebih terdedah kepada kejahatan dan kemungkaran. Pilihan daripada diri kita menentukan sama ada kita ke lembah pahala atau dosa.

Pengalaman Fatayatus Sa’idah di hospital ini, membuatkan dia lebih berhati-hati dalam menghadapi kehidupan sehariannya. Bagi dirinya, bukanlah dia terlalu memihak kepada pesakit-pesakit ‘ibu tanpa nikah’ atau berat sebelah, salah tetap salah.

Tetapi, salahkah kita memberi peluang dan nafas baru buat mereka? Salahkah kita, memberi sedikit ruang untuk anak itu melihat dunia tanpa sikap membenci kita pada si ibu.

Semua perempuan atau wanita mempunyai sifat keibuan, sifat penyayang sejak azali diciptakan Allah untuk sentiasa menyayangi. Jadi, walau bagaimana keadaan si anak itu, si ibu sentiasa menyayangi dan akan menjaga walau apa keadaan sekali pun.

Baiknya ibu. Mana ada si ibu rela andai kata dewasa nanti, si anak ikut jejak langkah tersasar si ibu itu? Luluh hati si ibu bila ditanya soalan yang seakan menguji emosi, “Andai kata anak cik dewasa kelak, cik nak tak dia ikut jejak langkah cik? Cik nak tak anak buat perkara yang sama kepada cik?”

Jawabnya ringkas, “Tidak mahu.” Soalan ini sekadar ingin melahirkan rasa penyesalan dari hati kecil si pesakit yang seakan tidak mengendahkan soal dosa dan pahala.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Siti Sarah Shamsuddin. Berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%