,

Allah Akan Menggantikan Kamu Dengan Orang Yang Lebih Baik

Bismillahirrahmanirrahim…

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha penyayang.

Begitulah terungkapnya kalimah ini di awalan setiap surah di dalam al-Quran, betapa Allah ingin memberitahu kita semua dan mengingatkan kita yang Dia Maha Pemurah lagi Maha penyayang.

Tetapi 114 surah di dalam al-Quran, cuma 1 surah sahaja tiada kalimah bismillah di awalnya.

Cuba kita semak kembali al-Quran kita, kenapa Allah tidak mahu meletakkan kalimah bismillah pada surah at-Taubah? Apa isi yang terkandung di dalam surah at-Taubah?

Apa yang cuba Allah nak sampaikan? Allah murka ke sehingga tidak mahu menyebut akan sifatnya yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang?

Dr Yusuf Qardhawi pernah mengulas dan menjawab akan persoalan ini;

Katanya, Ali bin Abu Thalib radhiyallahu‘anhu menjelaskan, “Bismillahirrahmanirrahiim adalah suatu kedamaian, sedangkan surah  At-Taubah diturunkan tanpa kedamaian.”

“(Inilah pernyataan) pemutusan hubungan dari Allah dan Rasul-Nya (yang dihadapkan) kepada orang-orang musyrikin yang kamu (kaum muslimin) telah mengadakan perjanjian (dengan mereka).” (Surah At Taubah: 1)

Perjanjian yang telah dikhianati oleh kaum musyrikin, mereka telah merosakkan perjanjian damai dengan kaum muslimin, dan bekerjasama dengan kaum yahudi.

Bila tanpa kedamaian maksudnya Allah sedang marah dan murka!

Kita sebagai manusia pun apabila marah tidak sempat untuk mengeluarkan ucapan salam malahan terus meluru dan bertanya soalan bertubi-tubi.

Bukan itu sahaja, jika kita lihat tafsir surah at-Taubah di dalam Tafsir Fi Zilal karangan Syed Quttub, menjelaskan bahawa Allah juga murka kepada Kaab bin Malik yang tidak mahu berangkat ke medan perang bersama Rasulullah SAW di medan perang Tabuk.

“‘Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan saya terjerumus dalam fitnah.’ Ketahuilah bahawa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah. Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang yang kafir.” (Surah at-Taubah: 49)

Ketidak berangkatan Kaab ke perang Tabuk, tiada alasan yang kukuh. Beliau begitu leka dan lalai dengan perhiasan dunia. Ketika itu keadaan ekonomi Kaab sangat baik berbanding hari-hari sebelumnya. Barangan muatannya pula melebihi daripada dua ekor unta.

Perasaannya yang ragu-ragu menyebabkan pasukan kaum muslimin mula meninggalkan Madinah. Melihatkan mereka masih belum jauh, sepatutnya Kaab bisa mengejar dan menyertai mereka, tetapi dek kerana sifat negatif sudah menguasai dirinya, akhirnya Kaab tidak ikut serta.

Begitulah antara perkara yang Allah murka, sehingga tidak sempat untuk memberitahu bahawa Dia Maha Pemurah lagi Maha Penyayang di awalnya surah at-Taubah. Kaab yang tidak mahu pergi berperang menyebabkan Allah murka, bagaimana pula definisi perang pada diri kita?

Kita tidak mungkin akan mengangkat senjata di panas terik sebagaimana yang Rasulullah lakukan.

Kita tidak mungkin akan ke medan perang untuk selamatkan umat Islam di serata dunia yang ditindas.

Tetapi…
Berperang pada kita adalah berperang dengan diri sendiri.
Berperang dengan hawa nafsu yang cenderung menarik kita ke lembah maksiat dan dosa.
Berperang dengan meninggalkan jahiliah-jahiliah yang masih berkarat di dalam diri kita.
Berperang daripada terpesona dengan hiasan dunia dan melupakan akhirat.
Berperang untuk meninggalkan dosa dan mengutip pahala.
Berperang untuk tidak menyokong barangan-barangan Israel yang menyumbang kepada kehancuran umat Islam.
Berperang menentang segala kezaliman yang berlaku.

Kenapa berperang dengan diri sendiri terlebih dahulu? Kerana diri sendiri adalah musuh utama kita, tatkala kita berseorangan.

Tiada sokongan-sokongan moral, yang tinggal hanya diri kita yang mampu atau tidak menangkis segala godaan-godaan syaitan.

Firman Allah, “Berangkatlah kamu (berperang) baik dengan rasa ringan mahupun dengan rasa berat… yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah at-Taubah: 41)

Walau susah macam mana pun untuk kita berubah dan berperang dengan diri kita sendiri, kita wajib lakukan juga walau keadaannya senang mahupun susah.

Jika ianya susah bagi kita, terus sahaja istiqamah melakukannya, kelak apabila kita sudah biasa ianya akan menjadi mudah dan ringan untuk melakukannya.

Bak kata pepatah, ‘alah bias tegal biasa’. Malah, Allah sangat mencintai mereka yang berusaha keras melawan dan berperang dengan diri sendiri untuk melakukan kebaikan dan berhijrah untuk lebih mencintai akhirat.

Jika kita meletakkan pelbagai alasan untuk berubah, untuk berhijrah kepada kebaikan, seperti mana Kaab yang tiada alasan dan tidak mahu untuk berperang, maka bersiap sedialah peringatan demi peringatan yang Allah akan turunkan tentang azabNya yang sangat pedih dan keras.

Malah Allah langsung tidak rugi, jika kita sendiri tidak mahu bersusah payah berusaha untuk lakukan kebaikan dan mematuhi perintahNya, yang rugi adalah diri kita sendiri.

Allah juga boleh menggantikan kita dengan hambaNya yang lain, yang masih berusaha untuk terima hidayah dan kebaikan.

“Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, niscaya Allah akan menghukum kamu dengan azab yang pedih dan menggantikan kamu dengan kaum yang lain.” (Surah at-Taubah: 39)

Justeru itu, sekiranya Allah telah menggerakkan hati kita untuk menerima hidayah, jangan sesekali mengabaikannya.

Hargailah ia, teruslah berusaha untuk meninggalkan perkara yang sia-sia, teruslah menjauhi perkara yang mendekatkan kita dengan dosa, teruslah berusaha dan berperang untuk istiqamah melakukan kebaikan walau keadaan sekeliling tidak menyokong tindakan kita.

Mari kita kenang kembali, Rasulullah yang susah payah berperang mengangkat senjata di padang pasir yang panas terik, semata-mata untuk memberikan Islam kepada kita, tetapi kita yang sudah siap dilahirkan di dalam keluarga Islam, terus tidak menghargai segala pengorbanan Baginda.

Malah kita mengambil sikap take for granted dilahirkan dalam keluarga Islam. Islam hanya pada kad pengenalan. Bagaimana pula cara hidup kita?

Walaupun Allah murka dengan Kaab, tetapi atas sifat Ar-rahman dan Ar-rahimNya, Allah menerima taubat Kaab dan mengampuninya.

Bila kali terakhir kita bertaubat dan meninggalkan maksiat?

Tepuk dada dan tanya iman kita. Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa kita.

Jom berperang!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Syaahidah binti Salim. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan lulusan ijazah bioperubatan di Management Science University (MSU).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

10 points
Upvote Downvote

Total votes: 12

Upvotes: 11

Upvotes percentage: 91.666667%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 8.333333%