*lukisan sebenar daripada penulis*
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Kisah yang ingin dikongsi adalah berkisar tentang emak yang aku paling sayang di dalam dunia ni.
Emak aku hanya budak kampung yang pelajarannya tidak tinggi mana, yang jadi peneman opah ke bendang, atuk memancing ikan, semata-mata untuk memberi adik-adiknya makan dan belajar.
Emak aku anak kedua daripada enam beradik, tetapi emak aku lah yang paling lasak, merentas sungai semata-mata ingin mencari ikan di sawah kampung sebelah untuk dibawa balik kepada keluarga.
Pagi-pagi sebelum subuh, bersiap sedia mengikut opah dan atuk menoreh getah pula. Kehidupan emak agak susah sewaktu kecilnya, semoga aku dapat memberikan kesenangan dan kebahagiaan buat emak dan abah aku di dunia dan akhirat, inshaAllah.
Berbalik pada cerita aku, emak aku bukan budak usrah, sebab aku yang kononnya budak usrah bermula zaman degree sehingga kini (semoga selamanya istiqamah inshaAllah), yang tiap-tiap minggu pergi usrah, tetapi masih tidak mampu mencapai level emak aku yang tahajjud dan solat malamnya istiqamah setiap hari.
Emak aku bukan budak yang pergi usrah, tetapi bibirnya senantiasa berzikir dan membaca kalam Allah setiap hari tanpa rasa jemu dan lelah. Walau penat mengurus rumah tangga, tetapi hubungan emak dengan Allah sangat dijaga.
Emak aku selalu berpesan kepada anak-anak beliau, kalau nak kaya, SOLAT kena jaga, AL-QURAN kena baca, dan satu lagi yang aku paling ingat, sebab boleh dikatakan setiap kali berdua naik kereta dengan emak, emak aku akan pesan, INFAQ lah walau keadaan kita susah sekali pun.
Aku akan menganggukkan kepala, di dalam hati aku bermonolog, memang tiada istilah penat langsung pada emak untuk mengulang nasihat yang sama kerap kali.
Ini kerana emak aku penah memberitahu, “Kena sentiasa beri peringatan sampailah habis nyawa kita, cuma kita tak mampu untuk memberi hidayah kepada manusia, kita hanya mampu memberi nasihat dan peringatan.”
Aku pun teringat ayat Allah dalam surah Adz-Dzariyat,
“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.” (Adz-Dzariyat: 55)
Sekarang baru aku mengerti mengapa tiada istilah lelah dan putus asa dalam diri emak aku dalam memberi nasihat dan peringatan.
Emak aku bukan budak usrah, tetapi hari-hari dia akan ingatkan kami anak-anak jika ingin berjaya harus sentiasa menjaga SOLAT, ini kerana emak aku kata, setiap kali muazzin melaungkan azan, cuba renung kembali maksud di sebalik azan.
Emak aku kata, Allah panggil dengan ayat “HAYYA ALASSOLAH, HAYYA ALAL FALAH; marilah menunaikan solat dan marilah menuju kejayaan.”
Lihat betapa untuk mencapai kejayaan adalah dengan solat itu sendiri. Walaupun emak aku tidak belajar tinggi, tetapi emak aku akan cuba untuk belajar ilmu agama, sama ada bertemu ustazah atau mendengar ceramah-ceramah yang mudah didapati di media.
Slot yang paling emak aku gemari adalah Forum Perdana, Al-kuliyyah, Tanyalah Ustaz, dan pelbagai lagi.
Emak aku bukan budak usrah, tetapi setiap kali menerima berita yang gusar dan tidak menyenangkan, mak aku akan segera solat dua rakaat, mengadu pada Allah dulu sebelum manusia.
Setiap kali aku perasan, usai emak aku solat dua rakaat dan menangis berdoa mengadu pada Allah supaya memudahkan urusan, aku lihat berita gusar itu menjadi berita gembira.
Itu tarbiyyah mak aku kepada aku. Dengan yakin mak akan kata, lihat surah Al-Insyirah, dalam surah tu Allah mengulang dua kali ayat, “Bersama kesulitan ada kemudahan.”
Sehingga sekarang, aku akan berpegang dan ingat ayat emak aku tentang surah Al-Insyirah kerana apabila aku berpegang teguh dan yakin dengan ayat-ayat Allah, aku mula nampak banyak sekali perkara yang Allah tolong.
Antara salah satunya, Allah mudahkan urusan aku membentangkan projek akhir tesis aku untuk memperoleh ijazah. Apabila urusan-urusan aku dipermudahkan, perkataan yang terdetik di hati aku adalah, “Alhamdulillah, terima kasih Allah, terima kasih emak.”
Emak aku bukan budak usrah, tetapi dari zaman muda sehingga umur mak mencecah 60-an kini, emak terus-terusan mengajar orang-orang kampung mengaji, dari usia 4 tahun hingga ke warga emas juga pelajar-pelajarnya.
Emak mengajar tanpa rasa penat dan putus asa. Emak juga mempunyai gurunya tersendiri sebagai rujukan. Dengan wang mengajar mengajilah, emak dapat menolong abah menyara kami sekeluarga.
Terkadang aku berasa sangat ajaib kerana emak akan sentiasa menghulurkan wang bulanan untuk aku membayar yuran asrama, yuran bas ke kolej, dan dengan mudah emak menjawab, “Ini rezeki Allah, berkat emak mengajar Al-Quran.”
Begitulah Allah mengangkat tinggi darjat hambaNya yang membaca Al-Quran dan mengajarkannya.
Aku teringat satu hadith yang berbunyi, “Sebaik-baik kalian adalah yang membaca Al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadith riwayat Al-Bukhari)
Semoga aku dapat mewarisi emak dalam mengajar Al-Quran kepada ummah sekalian.
Emak bukan budak usrah, tetapi apabila duduk minum kopi berdua dengan emak, pasti ada sahaja perkongsiannya sama ada kisah nabi atau ayat-ayat Al-Quran.
Emak ada berkongsi, katanya apabila kita ditimpa musibah atau kehilangan, ucaplah, “Innalillahi wainna ilaihiroji’un; daripada ALLAH kita datang, kepadaNya kita akan kembali.”
Kata emak, ungkapan ini bukan untuk orang yang meninggal dunia sahaja. Dengan ungkapan ini, Ummu Salamah yang kehilangan suami yang paling beliau sayang dan dirasakan tiada lelaki yang lebih baik daripada suaminya, lalu Allah menggantikan suaminya dengan Baginda mulia, Nabi Muhammad SAW.
MashaAllah, aku terpegun mendengar cerita emak, supaya kita haruslah sentiasa bersangka baik dengan percaturan dan takdir yang telah ALLAH tetapkan.
Sentiasalah berfikiran positif dan menyebut hanya perkataan yang baik-baik. Sifat manusia yang sentiasa berkeluh kesah, tidak bersyukur, lantas sentiasa menyalahkan Allah andai perkara buruk yang menimpa mereka, haruslah dijauhi, kata emak.
Kalian tahu manfaatnya mengamalkan ayat seribu dinar?
Emak aku bukan budak usrah, tetapi emak aku sering mengajar dan mengingatkan aku supaya mengamalkan ayat seribu dinar, dengan harapan moga-moga Allah mengurniakan kita rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.
Takjub, ayam kampung belaan emak aku, hampir setiap hari menghasilkan telur ayam, yakni ayam yang sama dan mak tidak perlu bersusah payah untuk membeli telur di kedai kerana ada ‘pembekal’ setiap hari.
Itulah namanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Pokoknya, harus yakin dengan Allah.
Sehingga kini, aku masih kagum dan takjub dengan ayam tersebut, dan sehingga kini ayam tersebut masih tidak jemu menghasilkan telur. Hebatnya ayat seribu dinar, pesanan emak saban waktu.
Emak bukan budak usrah, tetapi disebabkan emak mengajar orang-orang kampung mengaji, emak sentiasa dijadikan bahan rujukan dan nasihat sekiranya kawan-kawannya mempunyai masalah keluarga, masalah kewangan, dan bermacam jenis masalah lain lagi.
Dan yang aku paling kagum dengan emak, emak akan menasihati mereka dengan memberikan mereka ayat Allah yang menenangkan, agar mereka tahu dunia memang tempat diuji.
Firman Allah di dalam Al-Quran ada berkata, “Kamu tidak dikatakan beriman, jika kamu belum diuji.” (Surah Al-Ankabut)
Lalu emak memberitahu mereka bahawa segala masalah yang menimpa kita pada hari ini adalah ujian untuk kita lebih dekat kepada Pencipta kita, dan Allah ingin mengangkat darjat kita pada satu tahap yang lebih tinggi dan lebih baik.
Emak aku budak usrah, tetapi aku bersyukur ALLAH menghadiahi aku dengan dapat menumpang di rahim emak sewaktu aku baru diciptakan.
Aku bersyukur kerana emak aku adalah naqibah, pengganti kakak usrahku sewaktu aku pulang ke kampung. Aku begitu mengharapkan Allah akan terus memberi kesihatan yang berpanjangan buat emak aku, supaya aku terus dapat mendengar segala nasihat daripada emak aku.
Aku yakin, emak aku suatu hari nanti akan menjadi ketua bidadari di dalam syurga dan seterusnya menjadi naqibah kepada semua bidadari penghuni syurga, dengan izin Allah.
Aku juga begitu yakin, ibu-ibu kalian juga hebat. Semoga kita semua mampu untuk menjadi anak yang soleh juga solehah, dan mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa kita di dunia dan juga akhirat.
Wassalam.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nurul Syaahidah binti Salim. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan lulusan ijazah bioperubatan di Management Science University (MSU).
Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.