UWAIS AL QARNI, satu nama yang cukup sinonim dengan sikapnya yang sangat mentaati ibunya. Beliaulah hamba Allah yang dikatakan tidak dikenali di bumi akan tetapi cukup masyhur dalam kalangan penduduk langit.
Satu nama yang menggetarkan hati, kerana membaca kisah betapa taatnya beliau kepada ibunya sungguh belum mampu kulaksanakan untuk ibuku. Allah tidak mengujiku dengan kepayahan yang sebegitu.
Oleh kerana keadaan keluarganya yang tidak berkemampuan, sedangkan ibunya berhasrat untuk ke Baitullah. Beliau membeli seekor anak lembu lalu digendongnya setiap hari. Berulang-alik menggendong anak lembu itu sehingga beliau dianggap kurang waras oleh masyarakat sekitar.
Atas dasar apa Uwais Al-Qarni sanggup menggendong anak lembu tersebut? Kerana cinta dan sayang kepada ibunya yang terlalu dalam.
Itu adalah persediaan untuk beliau menggendong ibunya ke Baitullah. Di atas belakangnya berbekalkan tulang empat kerat beliau membawa ibunya ke Tanah Suci Mekah.
Beliau juga sempat hidup pada zaman Baginda, namun beliau tidak tergolong dalam kalangan sahabat kerana tidak sempat bertemu dengan Rasulullah semasa hayatnya. Kerana apa?
Juga kerana cintanya kepada ibunya, beliau sudahpun tiba di rumah Rasulullah untuk bertemu Baginda, namun kerana pada ketika itu Rasulullah tiada, beliau terpaksa pulang kerana memikirkan ibunya yang sedang sakit di kampung halaman.
Beliau merupakan insan yang tidak dikenali pada ketika itu, namun kerana dirinya yang sangat teguh berbakti kepada ibunya maka Allah telah mengangkat darjatnya sehingga menjadi sebutan penduduk langit.
Dalam kehidupan ini, kita punya pilihan untuk menjadi anak yang bagaimana. Secara fitrahnya, setiap insan itu dibentuk oleh ibu bapanya. Jika baik didikan yang diberikan maka baiklah bentuknya.
Namun jika sebaliknya yang berlaku, maka tidak hairan jika rumah kita tidak tenteram kerana masing-masing mahu menegakkan benang yang basah walau punya ikatan kekeluargaan.
Bagaimana ingin mewujudkan perasaan ‘cinta tak bersyarat’ dalam kalangan anak-anak? Sungguh, ini yang seringkali menjadi kerisauan ibu bapa yang sedang melalui fasa perubahan usia anak-anak mereka.
Mana ada ibu bapa yang mahu melahirkan anak derhaka. Namun jika diperhatikan pada keadaan semasa masyarakat pada hari ini, semakin ramai anak-anak derhaka yang mengambil tempat di dalam laporan berita tempatan.
Memetik isi di dalam buku ‘Nota Fikir Untuk Zikir’ hasil penulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi, beliau mengupas berkenaan kisah Si Tanggang yang lupa diri setelah beroleh harta dan memperisterikan anak raja.
Di dalam situasi sebegini, kedua-dua pihak perlu muhasabah diri. Dengan cara apa ibu bapa itu mendidik anak-anak, apakah cukup didikan agama, adab serta pembentukan akhlak supaya si anak menjalankan tanggungjawab serta menghormati orang tuanya dengan akhlak yang betul.
Zaman ini kaedah pendidikan sudah banyak berubah, kalau dulu rotan itu benda biasa. Zaman sekarang rotan itu satu ancaman dalam mendidik. Kalau dulu anak-anak tidak berani mengadu kepada ibu bapa jika didenda di sekolah, zaman sekarang guru yang dipersalahkan jika anak-anak didenda.
Ini pengalaman sendiri, arwah ayah saya dulu rotan sentiasa ada berdekatan dengannya, anak-anak sudah sedia maklum jika ada melakukan kesalahan maka rotanlah makannya.
Seawal sekolah rendah arwah ayah sangat tegas menyuruh anaknya ini bertudung, masih terngiang-ngiang teriakan arwah ayah memarahi saya bilamana keluar bermain tidak bertudung.
Berbalik kepada kisah Uwais Al-Qarni, rasa kecintaannya kepada ibunya itu terlalu tinggi sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menyenangkan dan menjaga ibunya.
Bukanlah menjadi satu perkara yang aneh bilamana si ibu atau ayah sanggup mengorbankan apa yang dimiliki demi memenuhi keperluan si anak.
Namun jika si anak sanggup untuk melakukan apa sahaja termasuk mengorbankan impian yang besar demi untuk ibu ayahnya, maka ini sesuatu yang luar biasa.
Sebagaimana kata-kata yang biasa kita dengar, “Seorang ibu mampu menjaga 10 orang anak, namun 10 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu.”
Semoga kita tergolong dalam kalangan anak-anak soleh dan solehah, yang mampu membantu ibu ayah melalui doa ketika mereka kembali kepada Pencipta.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Syarifah Nurul Baiti binti Sayed Mustapha. Berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.