,

Aku Tanpa Cinta-Mu

“Wahai Tuhan, ku tak layak ke syurga-Mu,
Namun tak pula aku sanggup ke neraka-Mu,
Ampunkan dosaku terimalah taubatku,
Sesungguhnya engkaulah pengampun dosa-dosa besar.”

Jauh Sofia melontar pandangan melihat deruan ombak laut yang perlahan-lahan menghempas pantai. Berulang-ulang bunyi itu seakan satu irama yang senada.

Mulutnya pula tidak henti mengikut rentak lagu Doa Taubat yang dipopularkan oleh kumpulan Raihan. Kerap pula Sofia memainkan lagu itu di telefon bimbitnya sejak kebelakangan ini.

Sejak diputarkan lagu ini di dalam kelas Pendidikan Islam oleh Ustaz Azman, tiap-tiap hari Sofia mendengarnya tanpa jemu.

Dari jauh, kakaknya melaung kuat namanya.

“Sofiaaaaaaaa, balikkk rumaahhhh. Dah senja ini,” kata kakaknya.

“Uishh, kakak ini kacau betullah. Baru nak feeling, layan perasaan,” getus hati Sofia.

Sofia mengatur langkah dengan perlahan.

******

“Engkau kenapa? Sehari dua ini, aku tengok macam pelik perangai kau,” kata Saufi yang perasan perubahan sikap Sofia.

“Yelah, kau ada masalah ke? Ajak lepak, tak mahu. Ajak tengok wayang, asyik bagi alasan banyak kerja sekolah nak buat. Aku perasanlah, kau ini asyik membaca sejak minggu lepas,” kata Anis.

Sofia tetap diam. Biarkan saja persoalan kawan-kawannya tidak terjawab. Belum tiba masanya aku menceritakan semuanya kepada mereka.

Balik sekolah, Sofia terus masuk ke biliknya. Kakaknya yang sedang menonton televisyen, pelik melihat tindakan Sofia.

Selalunya, Sofia balik rumah sudah lewat petang. Tudung yang menutupi kepalanya, dibuka dan disimpan di dalam beg, dan Sofia hanya memakainya  pada waktu persekolahan. Sudah banyak kali ditegur oleh ibu dan kakaknya, tapi Sofia bena tak bena (acuh tak acuh) sahaja.

Perangainya berubah sejak ayahnya meninggal. Sofia jadi agak liar dan sukar dikawal. Ditegur terus melenting. Keluarganya susah hati melihat perubahan sikap Sofia. Lagi-lagi ibunya yang setiap hari tidak berhenti berdoa kepada Allah supaya dilembutkan hati Sofia.

Sofia terbaring atas katil, matanya ligat melihat putaran kipas di palangan kayu.

“Esok, aku mesti pergi lagi,” bisik hati Sofia.

******

Setiap hari, Sofia akan melalui masjid dahulu sebelum pulang ke rumah dari sekolah. Azan Zohor berkumandang, jemaah tenang mendengar bilal melaungkan kalimah Allah. Selalunya Sofia hanya mendengar, dipercepatkan lagi kayuhan basikalnya.

Pada hari itu, Sofia memberhentikan kayuhannya di masjid dan terus mencari tempat yang sesuai untuk meletakkan basikal.

Sofia singgah sebentar di masjid. Bukan untuk solat Zohor, tetapi fikirannya serabut. Sofia dimarahi oleh gurunya di sekolah atas kesalahan yang tidak dia lakukan.

Dia dikhianati. Ada orang masukkan telefon bimbit milik seorang guru di dalam beg galasnya tanpa disedari. Dia dimarahi dengan teruk apabila tidak mengakui kesalahan.

Guru disiplin memberi amaran sekiranya berulang kembali kejadian yang sama, dia akan digantung sekolah.

Dia duduk termenung. Masih memikirkan kejadian yang berlaku di sekolah. Dia tidak mahu keluarganya tahu mengenai perkara ini. Risau ibunya akan turut sedih.

“Mari solat, dah masuk waktu ini,” kata seorang wanita. Suara itu muncul dari arah belakang Sofia.

Sapaan itu menghentikan lamunannya.

“Mahu pergi atau tidak, mengikut wanita itu? Solat 5 waktu aku pun sekadar ikut mood. Kadang di awal waktu, kadang di akhir waktu solat,” sempat Sofia berdialog dalam diri. Demi tidak mahu menolak ajakan wanita itu, Sofia mengatur langkah untuk ikut bersamanya ke ruangan solat wanita.

******

Seusai solat, semuanya beredar. Sekadar singgah untuk menunaikan solat Zohor sahaja. Tiba-tiba, wanita itu menarik tangan Sofia ke satu sudut.

“Ini namanya ustazah Maryam. Selepas solat Zohor, ustazah akan memberi sedikit tazkirah ringkas untuk jemaah wanita yang hadir,” kata wanita tersebut. Mereka duduk bersimpuh dan mendengar apa yang disampaikan oleh ustazah.

“Manusia itu diciptakan secara fitrah yang sukakan kebaikan. Di mana-mana sahaja yang ada kebaikan, di situlah ada kasih sayang Allah. Kadang, kebaikan itu Allah sampaikan melalui orang yang dekat dengan kita. Itulah cara Allah memuliakan hamba-hamba-Nya dengan kehadiran orang yang baik di sekelilingnya,” jelas ustazah Maryam.

Sesekali Sofia memandang wanita itu di sebelahnya. Jelas kelihatan garis-garis kedut di wajahnya mengingatkan Sofia kepada ibunya di rumah.

“Mungkin umurnya dalam lingkuan umur ibuku.” getus hati Sofia.

Hari itu berlalu dengan membawa rasa yang berbeza dalam dirinya. Jiwanya seperti menerima perkara baru dalam hidup.

Sofia akui, hidup ini perlu diisi dengan perkara membina jiwa. Rohaninya terhimpit dengan apa yang dilaluinya.

Pergaulan dengan kawan di sekolah, sikapnya terhadap ahli keluarganya, perlakuannya yang menjadi perbualan guru-guru di sekolah dan lain-lain lagi menjadikan dirinya rasa sangat penat dengan hidup ini.

Persoalan kehidupan yang tidak pernah henti senantiasa datang menjengah dalam fikiran. Kenapa perlu lakukan itu dan ini? Seperti susah untuk mengikut segala apa ditetapkan.

Kadang terduduk seketika merenung kembali perjalanan hidup. Rasa hambar. Apakah yang diisi dalam jiwa ini untuk mendekatkan diri kepada Allah?

Aku hanya ingat Allah ketika susah, aku doa sungguh-sungguh supaya Allah bantu ketika aku ada masalah. Itu sahaja. Soalan itu berlegar dalam mindanya, tanpa jawapan.

******

Lewat Sofia sampai di rumah petang itu. Dia menyalami ibu dan kakaknya sebelum masuk ke dalam bilik. Tanpa banyak bicara, langkah kakinya terus diatur ke bilik. Perlakuannya menimbulkan rasa hairan kepada ahli keluarganya.

Malam itu, Sofia sukar melelapkan mata. Dalam sehari, macam-macam terjadi dalam hidupnya. Kata-kata ustazah Maryam petang tadi terlintas difikirannya.

“Jadi baik itu mudah. Pertama, lakukan segala perintah Allah. Kedua, tinggalkan apa yang dilarang oleh Allah. Itulah asas perhambaan kita kepada Allah. Paksa diri untuk menjadi baik kerana kita kena jadi baik untuk menghampirkan diri kepada Allah. Hanya amalan-amalan yang baik akan sampai kepada Allah. InsyaAllah,” kata ustazah mengakhiri takzirahnya.

Tanpa berlengah, dia terus mengambil wuduk dan solat sunat 2 rakaat. Seusai solat, dia berdoa. Sofia tenggelam dalam kedinginan gelap malam. Tanpa gangguan, hanya dia dan pencipta-Nya.

Sungguh, kedamaian dan ketenangan itu hanya hadir apabila letakkan Allah di hadapan walau apa pun yang berlaku.

******

Hari ini, kelas Pendidikan Islam. Pelajar sudah tidak sabar menanti ustaz Azman termasuklah Sofia. Pengajaran ustaz yang lantang dan tenang menyebabkan ramai pelajar menyukainya. Lagi-lagi, apabila ustaz bercerita.

“Allah itu sifatnya At-Tawwab iaitu Maha Menerima Taubat. Selagi mana kita meminta, selagi mana kita menadah tangan untuk memohon sesuatu, pasti Allah makbulkan. Tidak kira siapa kita sebelum ini, sejahat mana pun perlakuan kita selama ini, apabila hamba-Nya mengangkat tangan memohon keampunan, pasti Allah mengampunkan,” jelas ustaz.

Semua pelajar mendengar dengan tekun. Ada sepasang mata memandang tepat ke arah ustaz dengan mata berkaca.

Sambung ustaz, “Jadi, rasa diri ini tidak bernilai apabila buat banyak salah. Berkali-kali buat salah itu memang sifat manusia. Allah nak uji dan mengangkat martabat seseorang, pasti diberi dugaan dan cabaran hidup yang tidak putus-putus.”

“Renung sahaja kisah Nabi Muhammad yang dikecam oleh musuh, dibaling batu oleh penduduk Taif sehingga bertakung darah dalam capalnya kerana tidak mahu terima dakwah Nabi, diletakkan perut unta yang busuh di atas badannya ketika solat dan macam-macam lagi. Semua itu tidak pernah menggugat rasa juang Nabi. Begitu juga kita, walau kita tidak mampu meniru semua sikap nabi, ambillah pengajaran daripada kisahnya untuk kita berubah lebih baik.”

Melihat semua pelajarnya tekun mendengar, ustaz meneruskan lagi ceritanya, “Masih ingat lagi cerita Nabi Yunus yang ditelan oleh ikan paus? Disebabkan Nabi Yunus tidak berputus asa memohon keampunan kepada Allah, maka Allah makbulkan doanya dan keluarkannya daripada perut ikan. Kita juga kena ambil sikap positif daripada kisah Nabi Yunus.”

“Jangan cepat mengalah apabila gagal berkali-kali. Teruskan berusaha dan yakin Allah itu sentiasa ada dalam apa juga keadaan. Berdoa secara berterusan, jangan berhenti. Gantungkan tawakal dan keyakinan hanyalah kepada-Nya. Kisah taubat kita, biarlah hanya Allah sahaja yang tahu. Tidak perlu ceritakan kepada orang lain,” kata ustaz.

Tanpa disedari, air mata menitis jatuh di atas meja. Cepat-cepat Sofia mengesat air mata supaya tidak ada sesiapa yang menyedari perlakuannya.

Sebenarnya, ini yang aku cari dalam hidup. Aku mahu berubah lebih baik. Ya Allah, janganlah serahkan hidupku kepada diriku walau satu detik, nescaya akan hancur kehidupanku tanpa-Mu.

Bantulah aku untuk berada dalam kebaikan. Terimalah taubatku, sungguh aku tidak terdaya tanpa rahmat-Mu.

Allah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Siti Khodijah binti Che Mee. Berasal dari Gurun, Kedah.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.