,

Ekslusifkan Hatimu

“Hati-hatilah dengan hati, check in hati dengan norma kebaikan, check out hati dengan berserah kepadaNya.”

Pada pandangan saya, ‘eksklusifkan hatimu’ adalah perbuatan yang menjaga hati umpama menjaga barang yang amat berharga dan mahal untuk dimiliki atau dengan kata lain ia tidak murah untuk diberikan kepada sesiapa.

Mengapa saya mengibaratkan hati itu mahal? Hal ini kerana,hati merupakan tunjang utama penilaian Allah terhadap seseorang dan Allah tidak pernah menilai hambaNya melalui paras rupa yang cantik bahkan tidak pula harta benda yang menggunung.

Malah Kita semua adalah sama dan yang membezakan kita adalah ketakwaan hati kita kepada Allah S.W.T

Peredaran Zaman yang Semakin Mencabar

Benarlah gambaran akhir zaman yang di diceritakan di dalam Al Quran bahawasanya manusia akan mula alpha dan leka sehingga perbuatan maksiat itu sudah tidak lagi dianggap suatu perbuatan yang dilaknat Allah.

Kita sendiri dapat lihat betapa canggihnya teknologi pada zaman sekarang. Di sini saya ingin menekankan ‘eksklusifkan hatimu’ terhadap percintaan pada masa sekarang.

Pada zaman teknologi kini, terdapat banyak aplikasi yang boleh memudahkan seseorang itu berhubung dengan orang lain walaupun kita tidak mengenalinya serta orang itu jauh dari pandangan kita.

Contohnya aplikasi yang menjadi trend kini adalah Facebook, Wechat dan Instagram.

Positifnya, aplikasi tersebut boleh mendatangkan banyak kebaikan kepada diri kita. Antara kebaikannya ialah kita dapat berhubung satu sama lain dengan lebih pantas berbanding orang zaman dahulu yang hanya menggunakan posmen untuk menghantar surat yang mengambil masa beberapa hari untuk sampai kepada penerima.

Selain itu, kita dapat menambah kenalan baharu di dalam media sosial serta kita akan dapat mengetahui sesuatu berita dengan lebih tepat dan pantas.

Penyalahgunaan Teknologi

Input yang saya ingin tekankan dalam hal ini, adalah apabila seseorang itu menyalahgunakan aplikasi ini ke arah negatif.

Jika dahulu kita hanya berkenalan dengan orang yang kita kenali dan rapat sahaja serta kita tidak tahu akan situasi dunia luar.

Apabila aplikasi ini muncul , kita seakan – akan terpengaruh dengan dunia luar dan trend terkini untuk berkenalan dengan orang yang tidak kita kenali tanpa had dan batasan.

Hal yang dapat dikaitkan dengan tajuk di atas , apabila kita berhubung dengan orang yang bukan mahram. Sememangnya pada mulanya niat kita hanyalah untuk mengenali seseorang itu.

Apabila kita sudah mengenalinya, maka seterusnya akan timbul suatu perasaan yang ‘ingin tahu’ dengan kata lain perasaan ingin mengenali seseorang itu dengan lebih mendalam lagi.

Seterusnya , jika kita tertarik dengan personaliti seseorang itu, maka timbullah perasaan suka, sayang dan yang lebih tinggi lagi iaitu perasaan cinta seakan ingin memiliki orang itu.

Hal ini merupakan lumrah dalam kehidupan kita iaitu menyukai seseorang yang berlainan jantina, akan tetapi kita boleh mengawal perasaan tersebut.

Hati yang murah?

Antara contoh yang mudah untuk saya kaitkan di dalam konteks ini adalah aplikasi ‘tinder’, ia merupakan satu aplikasi seumpama mencari jodoh di atas talian.

Melalui aplikasi ini, kita dapat mengenali ramai orang walaupun berjauhan walhal kita tidak mengenali orang itu. Biasanya aplikasi ini digunakan untuk mencari pasangan dengan menggunakan profil yang palsu.

Maka apabila seseorang itu menggunakan identiti palsu seperti gambar artis mahupun gambar yang diambil dari google, maka sudah tentu ramai orang akan tertarik dan akan terperdaya dengan identiti palsu itu.

Hal ini kerana majoriti orang mencari pasangan hanya melihat pada paras mukanya sahaja seperti perumpaan melayu yang berbunyi “dari mata turun ke hati”.

Firman Allah SWT: “Dan Janganlah kamu manghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.” (Surah al-Isra’ ayat 32)

Dari situ kita boleh lihat betapa ramainya orang yang mudah terpedaya dan jatuh hati, dengan erti kata lain murahnya hati itu untuk diberikan kepada orang lain walaupun dengan orang yang tidak dikenalinya.

Kita dapat menyaksikan bahawa remaja pada masa kini, yang baru putus cinta dan esok sudah mendapat pengganti .Ia umpama hatinya itu adalah plan telefon yang boleh dibeli ataupun ditukar pada setiap bulan.

Terdapat juga orang yang mempunyai ramai bekas kekasih ‘exboyfriend/exgirlfriend’ sehinggakan dalam setahun seseorang itu boleh mempunyai sepuluh pasangan.

Wahai sahabat ku sekalian…

Tidakkah kita pelik akan hal itu? Adakah dia hanya ingin bersuka ria sahaja dengan mempunyai pasangan dan menukar pasangan apabila sudah bosan? Tidakkah dia mempunyai perasaan dengan pasangannya?

Bagaimana mudahnya hatinya untuk ‘move on’serta melupakan kekasih lamanya? Tidakkah semua ini mempunyai kaitan dengan hati? Lihatlah bertapa mudahnya hati seseorang itu untuk dimiliki dan dibuang begitu sahaja.

Banyak yang nak redha Allah dalam percintaan. Tapi malangnya, apa yang dia buat adalah mencari cinta sebelum nikah. Minat laki ni, minat perempuan tu. Adakah Allah redha? Apakah cinta yang Allah redhai?

“Cinta yang Allah redha adalah cinta yang di semai semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah, dalam rangka melakukan ketaatan padaNya, iaitu cintanya seorang LELAKI kepada ISTERInya! Cinta ini adalah cinta yang bermanfaat. Dengan cinta ini, mata dan hatinyaakan terpelihara. Oleh itu, orang yang bercinta sebegini, Allah akan PUJI, juga manusia akan puji!”
(Ibn Qayyim)

Tepuk dada, tanyalah hati

Sememangnya hal ini bukanlah dilakukan oleh semua orang, tetapi hanya segelintir dari kita sahaja. Tetapi daripada segelintir itulah yang kadang-kalanya menjadi masalah pada masa kini.

Ia merumitkan lagi keadaan untuk membanteras masalah ini. Antara masalah yang mungkin timbul adalah seperti kes khalwat, kes rogol, kes anak luar nikah, kes pembuangan bayi dan kes pencabulan. Mungkinkah anda tertanya-tanya apakah kaitan masalah ini dengan tajuk yang dikupaskan?

Hal ini boleh dikaitkan kerana segalanya bermula dari hati. Jika hatinya benar-benar mengakui akan adanya Allah yang Maha Melihat, sudah semestinya mereka akan menjaga setiap perlakuan yang boleh mendorong kepada kemungkaran.

Dan dari sudut pandangan saya pula, untuk para wanita di luar sana, sesungguhnya lelaki sememangnya diciptakan buat wanita namun mahalkanlah cinta anda kerana wanita yang mudah tergoda dengan pujuk rayu lelaki akan lebih cenderong kepada lembah maksiat.

Bagi lelaki, wanita yang benar-benar ingin dijadikan isteri, mereka tidak akan sentuh apatah lagi merosakkan wanita itu.

“ Dalam hati setiap manusia ada tumbuhan yang baik
Jika disiram dengan elok ia akan bercabang dan menjadi lading
Jika disiram dengan buruk ia akan rosak dan merosakkan tanah serta sekitarnya ”

Akhir kalam, Semoga kita semua dijauhkan daripada melakukan perbuatan zina terutamanya menjalinkan hubungan istimewa berlainan jantina. Hal ini disebabkan, ia dapat memecahkan umat manusia dan akan dilaknat oleh Allah S.W.T.

Oleh itu,ia merupakan salah satu puncanya mengapa hukum “bercouple” itu  adalah haram. Kita sebagai manusia biasa, tidak dapat mengelak daripada melakukan salah silap. Kita juga sebagai hamba Allah, adakalanya iman naik dan iman turun.

Semoga kita dapat mendidik hati agar menjadi lebih kuat, banyak mengingati Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W. Ia dapat mendidik diri agar menjadi umat Nabi Muhammad S.A.W yang berkualiti dan jauh lebih baik.

Insyaallah 🙂

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Lily Rosalina binti Roslan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.