, ,

Kenapa Kau Dekatkan Aku Dengannya Jika Si Dia Bukan Takdirku?

“Pencipta, jika si dia takdirku permudahkanlah penyatuan kami, jika si dia bukan takdirku kau jarakkan kami supaya si dia tidak menganggu hatiku ini.”

Kau mula meminta kerana hatimu rasa terganggu. Hati gundah gelana apabila dijentik dengan perasaan minat dan suka pada insan yang berkemungkinan melengkapi fitrahmu.

Kau tahu kau bukan insan yang mudah untuk memberikan hatimu hanya untuk cubaan. Kau adalah insan yang sentiasa mencuba untuk mendahulukan tuntutan Penciptamu sebelum menurut kehendak hatimu.

Namun detik ini kau rasa hatimu adakalanya kalah dengan godaan kehendak fitrah dirimu. Doamu beratapkan matahari dan juga bintang seiring dengan khusyuk hingga sanubari.

Tiada lelah kau memohon dengan harapan petunjuk yang jelas dan membawa kebahagiaan.

“Jika dia takdirku permudahkanlah penyatuan kami, jika dia bukan takdirku Kau jarakkan kami supaya si dia tidak menganggu hatiku ini.’’

Kau meminta satu situasi menang-menang buat dirimu. Kau bahagia jika takdirmu dengan si dia.

Hatimu juga kau pinta supaya aman dari gangguan si dia jika dia bukan takdirmu. Ketika doamu dituturkan hatimu sudah pun berat sebelah.

Kau pastinya ada kehendak ingin bahagia dengan si dia, namun kerana kau hamba maka kau tetap meminta izin dan keberkatan daripada Penciptamu.

Kau juga tidak pernah lengkang dari sangkaanmu yang Pencipta akan memberi pentunjuk berdasarkan situasi yang kau pohonkan.

Detik berganti detik, waktu bersilih membawa kau menyelusuri hari-hari hidupmu. Kau memerhatikan petunjuk dalam tiap-tiap hari yang kau tempoh.

Secara tersurat kau lihat si dia ditakdirkan dekat dengan dirimu. Kau dipermudahkan berkenalan dengannya. Bunga-bunga bahagia terbit dalam dirimu kala berkawan.

Namun dalam kebahagiaan hatimu tetap ragu kerana kau awas bahawa petunjuk atau penurut hati adalah suatu yang payah untuk kau bezakan.

Kau cuba menggunakan akal dan bukan sahaja emosi agar tidak menjadi penurut hati. Tetapi insan tidak pernah sempurna, kini emosi menakuk peratusan lebih besar dalam mengarahkan hidupmu.

Kau sentiasa cuba menjadikan rasional dan iman sebagai satu rujukan dalam tindakan harianmu namun hati yang wahan tidak pernah dapat ditinggalkan.

Akhirnya kau tenggelam dan hampir lemas dalam sangkaan doamu. Bisa terdetik dalam hatimu bahawa si dia takdir buat dirimu kerana kau dikurniakan ruang dan peluang untuk makin mengenali dan dekat dengannya.

Rasa bahagia yang terbina seketika berkecai pabila kenyataan si dia ditakdirkan berhijabkabul dengan wanita pilihan hatinya dan ternyata bukan dirimu.

Mula bangkit perasaan tertanya-tanya dalam hati.

“Kenapa Pencipta berikan petunjuk yang sebegini? Kenapa Kau dekatkan aku dengan si dia jika si dia bukan takdirku. Aku pohon dari Kau dari dulu dengan harapan akhirnya aku tidak kecewa sebegini. Namun akhirnya aku terpaksa jua harungi lembaran ralat ini.’’

Ada ketika jarimu mencari arah untuk ditujukan kesalahan saat hati retak dengan takdir. Kau harapkan Pencipta bantu dirimu, kau harapkan Pencipta iringimu dalam membuat pilhan hati.

Sangkaanmu Pencipta permudahkan perkenalanmu dengan si dia sebagai satu petunjuk kepada satu penyatuan namun penghujungnya menjadi duri dalam hidupmu.

Kini tibanya masa akal dan iman sepatutnya menjadi penghala buatmu untuk mencari hikmah dan bukan menyalahkan.

Kau mula bertukar doa. “Ya Allah, Kau redhakanlah hati ini dengan dugaaamu agar aku lebih tabah. Walaupun sangkaanku pada petunjukmu meleset dan walaupun kini aku masih tidak mengerti kenapa doaku yang lepas dijawab sebegini, aku masih memohon pada Kau supaya diberikan hikmah yang tersirat agar aku lebih ikhlas dalam menerima takdirmu ini.”

Dia Maha Mendengar, Dia Maha Mengatur dan Dia Maha Penyanyang. Kau harus ikhlaskan hati dan sentiasa bersangka baik dengan setiap takdirnya walaupun hatimu ada saatnya kecewa.

Dengan cara ini kau akan mampu untuk ketemu lembaran hikmah dalam hidupmu. Kau mencari dan mencari sehingga kau mengerti.

Ruang dan peluang perkenalan rapat kau dengan si dia yang disangkakan petunjuk rupanya satu ujian. Ujian buat imanmu dalam berikhtilat.

Kononnya kau mengambil garis syar’i sebagai amalan perkenalan namun kau tidak ambil sepenuhnya. Kau menggunakan frasa bersahabat untuk kau bergaul rapat dengan si dia.

Bergelak tawa, keluar jalan-jalan secara berkumpulan bersama, makan dan minum secara berkumpulan bersama.

Walaupun kelihatannya tidak menyalahi syarak, namun tiada keperluan untukmu berikhtilat sebegini yang menyebabkan kau sendiri yang mengelirukan hatimu.

Kini kau sedar dasar takdirmu ini adalah impak dari kesalahanmu yang leka tentang dirimu sebagai muslimah.

Kini kau lebih matang dan mengerti asbab Pencipta melakar garis panduan pergaulan kerana dia Maha Mengerti hati-hati ciptaannya.

Tiada guna menyalahkan takdir di saat kau berduka kerana tindakanmu. Menyalahkan takdir juga bukan penyelesaian terbaik buat dirimu kerana hal ini ibarat kau membiarkan persoalan tergantung dalam dirimu.

Mencari hikmah pada setiap yang berlaku adalah cara yang terbaik untuk terus maju.  Kau insan diberikan dua kekuatan iaitu akal dan hati.

Maka jangan biarkan hati dan akalmu hilang dari kawalan iman dan rasionalmu dan sentiasalah kembali kepada Pencipta. Disaat kau jangka kau akan mendapat cinta hati tetapi apa yang kau ketemu adalah cinta Ilahi.

Kini kau tahu kau lebih mengenali cinta Pencipta biarpun saat ini kau kecewa dengan cinta dunia tetapi hikmah yang kau singkap mampu menguatkan iman dan jiwamu untuk terus tempuhi dunia yang fana ini.

Kau juga mula mengerti bahawa tidak semua doa terjawab dengan cara yang kau sangkakan, kerana Allah Maha Mengatur setiap rencana buatmu.

Tugasmu adalah untuk mencuba sedayanya untuk menggunakan ruang dan peluang yang diberi dengan mengikut garis panduan Pencipta supaya kau dikurniakan tuntunan Pencipta dalam menyelusuri kehidupan ini dengan penyesalan yang minima.

Hidup sangat seketika untuk terus bersedih dan menyesal. Majulah ke hadapan supaya kau kembali dengan bekalan.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurna (nama pena). Berasal dari Kuala Lumpur. Merupakan graduan Universiti Kebangsaan Malaysia. Ikuti penulisan beliau di http://ukiranpenakubuatmu.blogspot.my/

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

22 points
Upvote Downvote

Total votes: 30

Upvotes: 26

Upvotes percentage: 86.666667%

Downvotes: 4

Downvotes percentage: 13.333333%