,

Jodohku Di Mana? Awak Di Mana?

Ting. Whatsapp group notification.

“Assalamualaikum. Dengan penuh kesyukuran ke hadrat Ilahi, saya ingin menjemput rakan-rakan semua ke Majlis Kesyukuran Perkahwinan saya beserta pasangan pada….”

Dan tak lama kemudian, berderet-deret mesej daripada sahabat alam maya mengucapkan tahniah, berdoa semoga segala urusan dipermudah sehingga majlis selesai.

Dan aku?

Macam biasa, membuat ucapan tahniah berjela kepada si bakal pengantin *tumpang sekaki rasa gembira.* Berdoa semoga urusan mereka yang ingin membina Baitul Muslim dipermudahkan dengan izin Tuhan.

Dan perkara ni berterusan dari tahun ke tahun. Hanya sekadar ucapan tahniah daripada aku untuk sahabat-sahabat yang sedang meniti alam kebahagiaan.

Tipulah kalau aku katakan yang aku ini tidak punya rasa apa-apa, umur makin hari makin meningkat dan bayangan jodoh kabur, jauh—tak pasti.

Bila ada yang bertanya, aku mampu senyum sahaja, minta mereka doakan saja. Hati jadi terluka. Ya, banyak saja kata-kata positif yang aku terima.

“Sabarlah, jodoh kita akan sampai bila tiba waktunya.”

“Allah mahu kita berbakti dulu kepada ibu-bapa, Allah dah bagi peluang pada kita untuk kita berbakti pada mak dan ayah kita dulu.”

“Mungkin sebab perangai dan tingkah laku yang kurang sesuai atau tak layak lagi sebab tu Allah tak hadirkan lagi jodoh pada kita.”

Begitulah, banyak kata-kata yang sahabat-sahabat aku berikan untuk menyedapkan hati. Dari satu sudut aku terima. Mungkin apa yang merek katakan tu menjadi salah satu penyebab jodohku belum hadir melambai.

Ada sahabatku yang berseloroh, “Mungkin jodohmu sedang menunggang kuda, membawa sekuntum bunga ros untuk melamarmu, tapi disebabkan dia menunggang kuda, dengan jarak yang jauh, maka dia lambat tiba, tapi inshaAllah berbaloi penantian jodoh berkudamu itu.”

Aku senyum. Terima kasih sahabat, kamu memberi gambara bahawa jodohku itu sedang menghampiriku dengan menunggang kuda sambil di tangan membawa sekuntum bunga ros untuk aku, cuma aku saja yang perlu bersabar untuk menunggu beliau.

Oh tinggi sungguh imaginasiku.

Ya, aku sedang menantimu jodoh berkudaku!

Tapi dalam positif aku, ada yang negative jugak. Salah ke kalau aku berfikir tentang jodoh aku, umurku semakin meningkat, aku rungsing.

Aku tengok sahabat aku, jemput kahwin, lepas dapat anak dan bertambah lagi anak. Seronok tengok mereka, dan aku sehingga ke saat ini, tatkala sahabat aku sudah mahu melahirkan anak yang kedua, aku masih sendiri—menanti jodoh yang tak kunjung pasti.

Aku sedih. Bila orang kata, tak payah fikir sangat pasal jodoh, jodoh dengan manusia belum pasti.

Aku terfikir sendiri, salahkah aku berfikir tentang jodoh aku? Aku manusia, ianya lumrah dan fitrah semula jadi manusia yang Allah bagi, nak hidup berpasangan, aku nak kahwin, nak ada suami, nak ada anak-anak, nak ada keluarga. Aku sedih sendiri lagi.

Aku scroll laman Facebook dan ada terbaca coretan pendek tentang jodoh.

“Masa kau umur bawah 25 ni memanglah kau asyik fikir pasal jodoh. Rasa nak kahwinlah, nak disayangi, nak perhatian, nak ada orang ambil berat. Tapi bila umur kau dah meningkat 25 dan ke atas, yang kau fikir cuma tanggungjawab pada mak ayah, komitmen pada kerjaya, kumpul aset banyak-banyak. Kau dah tak kisah siapa yang yang dating, siapa yang pergi. Ada jodoh, ada. Takda jodoh takda, cari lagi. Sampai masa nanti dia datang. Senyum dan bergembiralah walau masih sendiri.”- Tentang Kita

Bila aku baca, pang! Terasa kena sangat dengan diri sendiri. Sekarang ni umur aku 27 tahun, dah melepasi tahap umur tu dah pon.

Dah betul apa seperti yang dikata, tahun lepas aku seperti melepaskan sikit demi sedikit keresahan tentang jodoh.

Orang putih kata “its okay, just follow the flow—tapi aku ikut haluan Tuhan. Di mana Tuhan nak aku ikut, Tuhan sayang aku. Jadi Tuhan tahu mana yang baik untuk aku. Baik, terima kasih Ya Allah, aku tunggu. Senyum.

“Selagi mana kita berada dalam ketaatan, maka kita kahwin atau tidak bukanlah menjadi satu isu yang sangat-sangat besar sehingga buatkan kita lupa tentang perkara sekeliling kita.”

Bila dimuhasabah balik, betullah apa yang orang kata, jangan difikirkan sangat pasal jodoh, kita taktahu, kita ini sempat atau tidak berjodoh dengan manusia, mungkin jodoh dengan ajal dulu.

Sesungguhnya kita tak tahu, tapi tak salah kalua kita berdoa. Mudah-mudahan sebelum kita bertemu jodoh dengan maut, Allah temukan dulu jodoh kita dengan manusia.

Kita doa supaya Allah beri kita peluang untuk bina impian kita didunia, sebelum kita pulang bertemu-Nya. Senyum lagi.

Kita baiki balik diri kita, kita berusaha jadi baik. Ingat, kita jadi baik bukan sebab nak dapat jodoh je tau. Kita jadi baik sebab nak suruh Allah sayang. Bila Allah sayang, inshaAllah Dia bagi yang baik-baik pada kita, termasuk dalam urusan jodoh kita.

Berganda-ganda Allah bagi. Gembira bukan?

Jodoh ni bukan urusan kita yang sebetulnya, ianya urusan Tuhan. Cuma Allah mahu kita berusaha, sebab ajal, rezeki mahupun jodoh memang Allah dah tetapkan siap-siap. Cuma Allah akan bagi bila tiba waktu Allah, bukan waktu kita.

Kadang kita rasa, kita dah layak, tapi jodoh kunjung-kunjung jugak. Kadang, tengok orang lain macam tak layak je nak kahwin, tapi jodoh dia sampai dulu.

Jadi memang betullah, urusan jodoh ni mengikut waktu Allah, bukan waktu kita. Dan sehingga kesaat itu mohon kita diberikan kekuatan untuk bersabar.

Hidup ini ujian, perkahwinan kita pun ujian. Mudahan ujian yang Allah bagi pada kita tak kiralah samada kita sudah berkahwin ataupun belum, semakin mendekatkan diri kita dengan-Nya.

Sebab pada akhirnya, yang tinggal hanyalah kita dengan Allah. Jodoh kita tu pinjaman nikmat sementara ketika kita masih di dunia.

Bukan aku cakap tak boleh risau tau! Mestilah kita kena fikir, jodoh ni kita kena usaha jugak. Bukan hanya sekadar menunggu, sambal kita usaha cari putera berkuda kita, kita doa banyak-banyak, mintak orang yang baik-baik daoakan untuk kita, kita ubah sisi hidup kita yang kurang—dengan keluarga, dengan kawan-kawan dan semua yang ada di sekeliling kita.

Dan yang paling penting kena ingat, jodoh kita akan sampai ikut waktu Tuhan, jangan risau sangat okey! Risau sikit-sikit takpa, hehe.

Sekarang ni aku menulis sambal mengingatkan diri. Jodoh ini pinjaman dan perkahwinan adalah akan menjadi satu medan untuk menguji kekuatan iman. Alhamdulillah, inshaAllah jika diizinkan, dalam dua minggu lagi aku akan bertukar status menjadi ‘Puan Isteri’ kepada “jodoh berkudaku”.

Dia bukanlah lelaki yang paling baik dalam dunia, tetapi semestinya yang paling baik dan indah di mata dan di hati aku.

Doakan aku ya! Semoga perkahwinan yang bakal aku bina dalam masa dua minggu lagi ni membuah hingga ke syurga. Tidak menyangka, perkenalan singkat kami akhirnya membawa kami ke satu alam yang dah lama aku impikan, perjalanan hidup kami akan masih panjang, namun aku berharapkan kesudahan yang di dunia dan di akhirat.

Mudah-mudahan jika diizinkan. Biiznillah! Doakan aku dan suami dikurniakan sakinah, mawaddah warahmah. Dan impian aku sejak dari dulu untuk dapatkan zuriat kembar mudah-mudahan Allah makbulkan! Doakan kami ya—

Akhirul kalam, yang belum bertemu jodoh, aku doakan yang baik-baik. Ingat pesanan aku, jodoh kita akan tiba ikut waktu Tuhan, dan untuk sehingga kita perbanyakkan sabar.

Dalam Al Quran banyak akali Allah perintahkan kita untuk sabar. Orang yang sabar, nikmat yang dia dapat selepas kesabaran dia amatlah manis, dan lagilah manis jika kita tahu apa yang telah Allah sediakan untuk hamba-hamba-Nya yang bersabar dengan ujian-Nya.

“Ya Allah, berikanlah khabar gembira kepada mereka yang sedang bersabar dengan ujian-Mu. Aaamiin.

Mudah-mudahan kita semua dikumpulkan dalam syurga Allah yang kekal abadi. Dan kisah cinta aku baru je nak bermula, mohon doa dari semua dan kekuatan dari satu-satunya sumber kekuatan aku, yakni Allah.

Senyum. Jodohku, kita sudah bertemu! Alhamdulillah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Ukhti Suraya.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.