,

Bila Kita Sangat Terasa Bermakna Ada TeguranNya

Ya Salam Ya Allah.

Kisah berlaku kelmarin masih segar di ingatan. Mungkin simple.

Namun, walau hanya mendengar tanpa melihat tapi tragis apabila difikirkan. Kisah anak kucing mengiau, menjerit, tersepit pada pagar automatik.

Untuk pengetahuan, beberapa hari sebelum berlaku, saya telah digerakkan, diberi ‘hint‘, gerak RASA, untuk sampaikan pada suami.

Keadaan yang apabila saya tutup gate, saya nampak seekor anak kucing tiba-tiba menyelinap masuk. Alhamdulillah segera saya matikan suis gate, agar tidak tersepit.

Melihatkan keadaan itu, saya berdoa, “Ya Allah, aku tak mampu melihat, meneliti, segala sesuatu. Bila keluar rumah, aku atau suami, ‘tutup’ gate dari jauh, kami tak mampu lihat apa yang berlaku. Kucing ni pula, bila kami balik, dia akan datang, meluru masuk, seolah menunggu kepulangan. Kasihan kucing ni. Ya Allah, Ya Allah, aku SERAHKAN keadaan sebegini kepadaMu. Segala puji bagiMu Ya Allah, yang mentadbir segala sesuatu dengan sebaik-baik kejadian, agar selamat, sejahtera dalam setiap detik dan saat.”

Waktu itu, berdoa yang bermaksud menyerahkan kepada ALLAH, mengakui diri lemah, setelah dipertontonkan keadaan kucing yang hampir tersepit.

Sangat tergerak memberitahu suami, agar beliau juga berdoa membuat penyerahan, yang sama.

Namun, saya hanya sempat bercerita sedikit sahaja. Melihatkan tingkahnya, saya belum berkesempatan berkongsi agar suami juga perlu membuat penyerahan yang sama (tentang keadaan sebegitu) padaNya.

Ringkasnya kisah kelmarin, membuatkan suami saya yang baru tiba di rumah, pucat dan tak tenteram.

Melihatkannya saya tahu, beliau rasa bersalah. Mana tidaknya, bunyi kucing mengiau menjerit, kuat!

Sehinggakan saya yang di dalam rumah pun mampu terdengar. Beliau terkejut, bila pagar automatik ditutup, menyebabkan seekor anak kucing tersepit.

Belajar Bertafakur

Setiap kita yang melalui keadaan sebegitu, tentunya kita sangat teRASA dan terkesan bukan?

Bila difikirkan, bukan salah gate, bukan salah kucing, bukan salah suami. Jadi salah siapa?

Bagaimana nak atasinya?

ALLAH berfirman, Surah Az Zariyat, ayat 37, “Sesungguhnya pada yang demikian itu pasti terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai hati atau yang menggunakan pendengarannya, sedang Dia menyaksikannya.

Bertafakur tentang ayat di atas, itulah yang mahu saya sampaikan pada suami.

ALLAH mahu kita berserah, nak ingatkan yang kita lemah, jadi segera akui kita lemah, walau dengan sekecil perkara, sebelum sesuatu yang tak elok berlaku.

Namun apabila mengadu pada ALLAH yang saya tak berkesempatan berkongsi semua pada suami, baru saya faham, hikmahNya kerana ALLAH mahu saya coretkan di sini untuk pembaca umumnya, agar kita sedar!

Pesan guru, yang membuatkan saya ingat sampai sekarang. Bila kita sangat TERASA dengan sesuatu, bermakna ada teguran dariNYA.

Lihat, perhati dan bertafakurlah terhadap apa sahaja yang berlaku, sama ada tentang diri kita atau pun di persekitaran kita sekarang. Semuanya punya hikmah, teguran, ‘sentuhan’ Nya.

Tafakurlah mengapa Allah izinkan, berlakunya kes kehilangan anak?

Tafakurlah mengapa Allah izinkan, seolah hilangnya kuasa Raja-Raja Melayu?

Mengapa keadaan keruntuhan akhlak, zaman sekarang seumpama seperti keruntuhan adab, ketidak harmonian di zaman jahiliyah?

Allah berfirman, Surah Al Imran ayat 109, “Dan hak milik Allah lah, segala apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.”

Apa agaknya teguranNya, pada kita?

Pernahkah terfikir yang kita merampas akan hakNya?

Tafakur pada setiap yang dipandangkanNya, tafakur pada setiap diperdengarkanNya, tafakur pada setiap dirasakanNya.

Tafakurlah akan persoalan tersebut sebagai mengambil teguran pada diri sendiri. Yang semuanya membawa kepada kefahaman rukun Islam pertama. Kesyirikan pada diri yang kita tidak sedar.

InsyaAllah kupasan demi kupasan, perkongsian demi perkongsian, akan dikongsi dalam artikel seterusnya. Hamba sang faqir, berkongsi akur menurut kehendakNya.

Buat yang membaca, terima kasih. Moga dengannya, berpaut hubungan atas dasar ilmu yang berharap rahmat, lingkungan kasihNya, Ar Rahman.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Aein, merupakan Syahadah Motivator dan penulis Buku Menyaksi Rahsia Bicara KasihNYA. Mula menulis kerana mahu berkongsi tentang istimewanya manusia sebagai khalifah mengatasi segala makhluk hatta malaikah sekalipun.

Kini aktif menjalankan seminar dan latihan, hidup bersyahadah, mengenal ALLAH dan mengingatiNYA 24jam sehari. Dapatkan buku dan info beliau di www.nurulaein.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.