,

Impian Hidup Ingin Ke SyurgaNya!

“Setiap manusia mempunyai impian hidup. Cikgu percaya semua pelajar cikgu ni ada impian hidup masing-masing. Ada yang mempunyai impian hidup untuk kekal bahagia selamanya dan hidup dengan penuh ketenangan amat didambakan oleh kita semua di muka bumi ini. Persoalannya, bagaimana?”

Cikgu Iman mengerutkan dahinya, tanda menyoal 25 orang pelajar perempuan yang tekun memandang wajahnya dengan 1001 persoalan di benak fikiran mereka.

“Alia, apa impian hidup awak?” Cikgu Iman bertanya. Dia segera duduk  di kerusinya, ingin mendengar jawapan Alia.

“Benar, setiap manusia mempunyai impian hidup. Hal ini kerana manusia diciptakan hanyalah untuk beriman kepada Tuhan Yang Satu! Namun begitu, tidak ramai manusia yang dapat menikmati rasa ini akibat jalan hidup yang berliku-liku dan penuh dengan ujian. Ramai manusia yang tewas dan masih ramai juga manusia yang terus berjuang tanpa mengenal erti penat. Ketenangan dan kebahagiaan hanya dapat hadir pada hati yang amat rindukan cinta dan kasih Tuhan. Takwa merupakan nilai yang paling tinggi nilainya kerana takwa merangkumi sifat tabah, sabar dan kepercayaan yang tinggi kepada Pencipta. Kita harus bermujahadah untuk mendapat sifat mulia ini agar kita dapat menikmati nilai sebenar hidup.”

“Cikgu izinkan Ihsan menambah. Hidup ini ibarat benang yang penuh simpulan. Kita tidak tahu di mana penghujungnya. Kita mengharapkan di hujungnya itu ada kemanisan yang manisnya bak madu. Namun begitu, kita harus akur bahawa di tengah-tengah benang itu ada pelbagai simpulan yang harus dileraikan dengan penuh kesabaran dan ketabahan.”

“Pendapat yang bagus. Mantap. Kita harus tahu dan sedar bahawa kita hanya hamba DIA yang sentiasa akan diuji oleh 1001 mehnah dunia. Jadi, kita kena sabar.”

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah Al- Baqarah 2:286)

“Betul tu cikgu. Tujuan hidup kita hanyalah untuk beribadah kepada Tuhan dan menjadi khalifah-Nya. Kita hidup untuk Tuhan dan kembali kepada-Nya jua. Saya amat berpegang kepada moto hidup saya.”

“Apa moto hidup Alia?”

“Kita dakwah untuk masuk syurga dengan karpet mewah. Saya ingin mendapat redha Ilahi di dunia dan kebahagiaan abadi di syurga. Ujian dan celaan manusia tidak akan melemahkan semangat saya. Impian saya juga ingin menjadi hebat seperti ibu saya, iaitu mampu menyebarkan dakwah melalui penulisan,tetapi saya lemah dalam penulisan.” Muka Alia tunduk ke lantai.

“Cikgu doakan Alia berjaya menjadi penulis terhebat pada suatu hari nanti. Alia, tulislah apa sahaja yang bermain di fikiran. Itulah permulaan seorang penulis bekerja sebelum menjadi penulis yang hebat. Kuncinya, baca dan tulis.”

“Kami akan baca nanti”, kata Ihsan disokong oleh sahabat yang lain.

 “ Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagimu. Boleh jadi kamu menyayangi sesuatu padahal ia buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al- Baqarah 2:216)

“Apa impian hidup anda semua? Apa yang pasti kita harus ada impian hidup ingin ke syurga DIA! Marilah kita menggapai impian hidup ini di bumi persinggahan yang penuh onak duri. Bertabahlah kita kerana syurga DIA bukan percuma untuk kita!”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

13 points
Upvote Downvote

Total votes: 13

Upvotes: 13

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%