, ,

Mukjizat Yang Terjadi Ketika Peristiwa Perang Tabuk

1. ALLAH MENURUNKAN HUJAN MEMENUHI PERMINTAAN RASULULLAH

Ketika Rasulullah dan para shabat telah melewati Hijr Tsamud, mereka tidak memiliki air, lalu mereka mengadukan perkara tersebut kepada Baginda.

Kemudian, Rasulullah berdoa kepada Allah meminta hujan untuk kaum Muslimin yang turut serta bersama Baginda.

Lalu, Allah mengirim awan kemudian menurunkan hujan hingga semua hilang rasa hausnya dan boleh membawa bekalan air.

2. KISAH UNTA RASULULLAH YANG TERLEPAS

Dalam perjalanan, unta Rasulullah terlepas, kemudian ada dalam kalangan munafik yang bernama Zaid bin Al-Lushait mengatakan: “Bukankah Muhammad mengatakan dia seorang Nabi dan menyampaikan berita dari langit kepada kamu, sementara dia sendiri tidak tahu di mana untanya berada?”

Kemudian, Rasulullah bersabda: “Seseorang mengatakan, ‘Bukankah Muhammad mengatakan dia seorang Nabi dan menyampaikan berita dari langit kepada kamu, sementara dia sendiri tidak tahu di mana untanya berada?’ Sungguh, aku tidak tahu (apa pun) selain yang diajarkan Allah kepadaku, Allah sudah memberitahu kepadaku di mana unta itu berada. Ia berada di lembah, di jalan ini dan itu, tali kekangnya ditahan sebuah pohon. Pergilah ke sana dan bawalah ke mari.”

3. RASULULLAH MENGINGATKAN AKAN BERLAKU ANGIN KENCANG

Rasulullah memerintahkan agar setiap mereka menjaga diri dan haiwan ternak harus diikat agar tidak terganggu, setelah memberitahu mereka bahawa akan ada angin kencang bertiup.

4. RASULULLAH MEMPERBANYAK AIR DI MATA AIR TABUK

Allah memberikan keberkatan melalui tangan Rasuluullah dengan memperbanyak air di mata air Tabuk sehingga mengalir deras, sehinggakan ia bukan hanya sekadar memenuhi keperluan tentera Islam, tetapi Baginda juga menyatakan bahawa ia akan terus mengalir sehingga suatu hari nanti akan ada taman dan kebun-kebun yang dipenuhi perpohonan berbuah, dan hal ini terbukti pada zaman sekarang.

5. RASULULLAH MEMBANYAKKAN MAKANAN

Ketika bekalan menjadi semakin sedikit, Rasulullah berdoa agar bekalan mereka ditambah. Baginda membentangkan hamparan kulit, para sahabat meletakkan sisa-sisa makanan yang tertinggal, lalu Baginda meminta para sahabat memasukkan semua itu ke dalam bekas.

Setelah itu, bekalan makanan tersebut tidak habis, ada sahaja yang tersisa walaupun para sahabat sudah makan sehingga kenyang.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)