,

Kehidupan Seperti ABC Yang Penuh Warna-warni

ABC.

Air batu campur.

Andai aku katakan kehidupan ini seperti air batu campur, ramaikah yang bersetuju dengan pendapatku ini?

Air batu campur penuh warna-warni di dalamnya. Ada warna kuning, hijau, merah jambu, hitam, putih dan sebagainya.

Pelbagai ramuan digunakan untuk menyedapkan ais yang di mesin menjadi putih salji itu. Ada kacang, ada kismis, ada cincau, jagung, biji selasih dan sebagainya.

Jika dilihat ABC itu, cukup mempesonakan dan membuatkan kita terliur. Namun, apabila ABC itu cair, hilanglah keindahan warna-warni tadi.

‘Nikmati ais sebelum cair.’

Begitulah kehidupan kita sehari-harian. Ada masa kita gembira. Ada masa kita sedih.

Apabila kita gembira, kehidupan kita seperti ABC yang masih belum cair. Apabila kita sedih, kehidupan kita umpama ABC yang cair.

Dalam menyusuri sebuah ujana kehidupan sebagai hamba-Mu, ternyata terdapat pelbagai onak dan duri yang harus aku tempuhi.

Kembara menuju Tuhan pasti ada likunya dalam meneruskan sisa-sisa hidup melayari bahtera sebuah kehidupan di dunia sementara ke destinasi abadi.

Perjalanan kehidupan ini sememangnya masih panjang seandainya nikmat nyawa masih Allah SWT kurniakan kepada kita.

Aku akui kehidupan ini terlalu sukar dan aku sentiasa mengeluh dengan setiap ujian yang berlaku. Itulah konflik dalam skrip lakonan hidupku.

Aku sering kali lupa, setiap konflik yang terjadi itu pasti ada penyelesaiannya.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah Al- Baqarah: ayat 286)

Konflik emosi juga sering terjadi dalam diriku kerana aku manusia biasa.

Emosi marah, sedih, gembira, risau, dan tekanan sering terjadi dalam hidup kita atas sebab-sebab tertentu.

Pernah terfikir kenapa? Allah SWT mahu uji kamu!

“Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan pula bersedih hati sebab kamu paling tinggi darjatnya jika kamu orang beriman.” (Surah Ali Imran: ayat 139)

Nikmatilah ais sebelum cair. Maksudku nikmatilah kehidupan ini sebelum kita dipanggil menuju ke neraca perhitungan DIA.

Ujian yang hadir umpama cairnya ais. Andai ais yang cair itu tidak dinikmati dengan segera, sudah tentu keenakan ABC hilang.

Begitu juga dengan ujian hidup kita. Andai diriku putus asa tanpa bangkit, aku tak akan merasai hikmahnya nikmat ujian dalam hidupku.

Jadi, jangan tunggu hidup kita berakhir untuk meraih syurga-Nya walaupun kita terpaksa menghadapi pelbagai ujian.

Kunci utamanya, S.A.B.A.R. Semoga kita semua dalam jagaan DIA.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.