Li Ta’arafu seperti yang ternukil dalam ayat 13 surah Al-Hujurat, bukan sekadar mesej Allah SWT demi memaparkan Islam itu sejagat serta meraikan kepelbagaian bangsa dan kaum.
Berdasarkan firman-Nya,
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُواۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Dalam menongkah arus kehidupan yang penuh dengan onak dan dugaan, lantunan motivasi paling popular daripada pakar motivasi seringkali menerpa ke telinga, “Bandingkan dengan insan lebih parah daripada kita.”
Namun terkadang, ia cukup sukar mengetuk pintu nurani agar terbitnya rasa syukur yang membara.
Apatah lagi saya yang bergelar OKU ini, pasti lebih sukar dengan sekadar membanding dan melihat tanpa menelaah lebih mendalam.
Lantas saya cuba berkenalan, bersahabat dengan pelbagai golongan OKU dan cuba menyelami denyut nadi kehidupan mereka. Ataupun lebih mudah saya katakan, mengadunkan formula banding + li ta’arafu – berkenalan.
Dengan izin Tuhan, ia membangkitkan keinsafan paling ketara dalam qalbu saya yang sering alpa dan leka ini. Kerana nyaris karam ke dalam lautan kufur nikmat.
Bikin saya tersentak tatkala mengenangkan nasib di antara sahabat OKU saya yang lebih hebat dugaan hidup mereka. Bukan sekadar ranjau bergelar OKU, tetapi terpaksa mandiri meneruskan kelangsungan hidup.
Ada di antaranya bertaraf harapan keluarga, yang harus berusaha keras agar mampu membantu ibu-ayahnya yang bukan golongan berada dalam ikhtiar menanggung kehidupan.
Ada pula yang harus mandiri menanggung kehidupan sendiri sepenuhnya tanpa langsung bergantung pada ibu-ayah mereka.
Jiwa mereka ini jauh lebih gagah, dan menjadi antara pencetus inspirasi saya yang cukup padu.
Ternyata kita semua diuji berdasarkan tahap kecekalan dan kemampuan masing-masing.
Benarlah firman Allah SWT,
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَاۚ
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Surah Al-Baqarah: 286)
Sedangkan saya, dilahirkan dan sehingga kini membesar dengan dikurniakan ibu-ayah yang berkemampuan serta sekalian kekanda yang tidak lokek berkongsi rezeki mereka bersama saya.
Lantaran wang simpanan dan wang honorarium berkala yang diperolehi, boleh sahaja dibelanja sesuka hati demi pelbagai gajet yang berkenan di hati.
Dari situ menerbitkan rasa insaf dalam dada, bahawa kita seringkali mendamba nikmat yang tidak dikurnia pada kita. Tetapi terlalu menggilai nikmat yang ada pada insan lain.
Allah SWT ada menegur kita menerusi firman-Nya,
فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” (Surah Ar-Rahman: 16)
Maka, demi meledakkan rasa syukur serta lebih bermotivasi dalam kehidupan, kita harus memanfaatkan formula banding + li ta’arafu.
Insya-Allah, ianya memberi impak yang menakjubkan. Dan memudahkan kita meraih maqam qana’ah – merasai syukur apa dikurnia yang amat sukar untuk digapai.
Malahan, ia turut membenamkan rasa iri beraja dalam sanubari, serta sifat hasad terhadap nikmat yang Allah kurnia pada saudara kita. Lantaran memberi kekuatan demi menyempurnakan iman kita.
Sepertimana sabda Nabi SAW,
“Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga ia menyukai saudaranya memperolehi sesuatu yang ia sukai.” (Riwayat Imam Bukhari)
Sekian,
Wallahua’lam.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Adli Abdullah yang merupakan seorang novelis OKU @TLiNGE. Antara karya beliau ialah Elektro Pengaman Sejagat (http://play.tlinge.com/
Ikuti perkembangan beliau di Facebook AdliPenulis, Facebook TLiNGEapp, Instagram AdliAbdullah.official, dan Twitter AdliAbdullah85.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.