Syariat Allah bertujuan untuk memberi kebahagiaan kepada manusia sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Jadi, sudah semestinya Allah tidak memerintahkan sesuatu perkara melainkan sudah pasti manusia mampu melakukannya.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ
“…Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…” (Surah al-Baqarah 2:185)
Jom kita lihat beberapa contoh praktikaliti berkaitan kaedah fiqh yang telah digariskan ulama iaitu ‘kepayahan membawa kepada kemudahan’.
(a) Puasa bulan Ramadan itu wajib, namun bagi orang musafir atau orang sakit yang memudaratkan diri, maka diharuskan untuk berbuka puasa.
(b) Solat fardhu sememangnya wajib, namun bagi orang yang musafir maka diharuskan untuk menunaikannya secara jamak dan qasar.
(c) Najis yang sukar dielakkan seperti darah kudis, bisul atau debu jalanan yang biasanya mengandungi najis, maka ia dimaafkan selagi mana ia dalam keadaan yang sedikit.
Walau bagaimanapun, jangan jadikan ia sebagai alasan sehingga memudah-mudahkan dalam soal agama.
Contohnya:
(a) Tidak boleh sewenang-wenangnya untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan hanya kerana alasan merasa sangat lapar.
(b) Tidak mahu pergi menunaikan haji sedangkan sudah ada kemampuan hanya kerana alasan tidak suka bermusafir atau jauh daripada keluarga.
Jadi, kesusahan sebegitu tidak termasuk dalam keadaan yang menyebabkan gugurnya perkara wajib kerana kesusahan itu adalah perkara tabiat atau kebiasaan yang akan dilalui semua orang namun tidaklah sehingga memberi kesan terhadap pelaksanaan perkara wajib.
Wallahu’alam.