Umat Islam di seluruh dunia sememangnya ramai, kan? Namun, adakah umat Islam benar-benar bersatu untuk mempertahankan Islam?
Malangnya, ada dalam kalangan umat Islam sendiri yang berpecah-belah, bahkan ada kumpulan yang tersendiri.
Sedangkan, perpecahan itu bermula daripada perbalahan mengenai perbezaan sudut pandang dalam ilmu agama yang bersifat khilafiah, yang mana tidak sepatutnya ia dijadikan sebagai titik permusuhan sesama umat Islam.
Namun, kerana terlalu ‘keras’ dan tidak mahu berlapang dada dalam menerima pandangan lain, ukhwah persaudaraan sesama umat Islam menjadi semakin longgar.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
شَرَعَ لَكُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِۦ نُوحٗا وَٱلَّذِيٓ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ وَمَا وَصَّيۡنَا بِهِۦٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰٓۖ أَنۡ أَقِيمُواْ ٱلدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُواْ فِيهِۚ
“Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad),
dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”.”
(Surah Ash-Shura 42:13)
Perbezaan pandangan berdasarkan ijtihad ulama perlulah diraikan, namun jika berkaitan isu aqidah maka perlu disepakati agar tidak terpesong pegangannya.
Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
“Bacalah al-Quran selagimana hati-hati kamu bersatu terhadapnya. Dan apabila kamu berselisih pandangan, maka berhentilah daripada membacanya.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Rasulullah juga mengajar kita supaya mempelajari dan memahami al-Quran, namun jika terdapat perbezaan dalam memahaminya sehingga membawa kepada perbalahan, maka tinggalkanlah perbahasan tersebut buat seketika supaya hati dan pemikiran kita jernih semula daripada sifat-sifat negatif.
Lalu, barulah rujuk semula al-Quran dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.
Wallahu’alam.