, ,

Jom Belajar Kaedah Fiqh Al-Darar Yuzal

Al-darar yuzal termasuk antara lima kaedah fiqh yang disebut sebagai al-qawaid al-kubra.

Kaedah ini bermaksud kemudaratan dihilangkan.

Ia digunakan dalam menentukan hukum bagi masalah baharu yang menimbulkan kemudaratan.

Konteks mudarat yang dimaksudkan ialah segala perkara yang menimbulkan kerosakan pada orang lain, termasuklah sesuatu yang menjadi hak mereka.

Antara dalil rujukan bagi kaedah ini adalah seperti berikut:

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

وَإِذَا طَلَّقۡتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَبَلَغۡنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمۡسِكُوهُنَّ بِمَعۡرُوفٍ أَوۡ سَرِّحُوهُنَّ بِمَعۡرُوفٖۚ وَلَا تُمۡسِكُوهُنَّ ضِرَارٗا لِّتَعۡتَدُواْۚ

“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik.

Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka);…”

(Surah al-Baqarah 2:231)

Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Tidak ada kemudaratan dan tidak pula dimudaratkan.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Berdasarkan kaedah ini, apa sahaja mudarat yang berlaku pada orang lain sama ada yang berkaitan dengan agama, diri, atau harta benda, maka ia tidak dibenarkan dalam Islam.

Antara aplikasi kaedah ini adalah melalui urusan muamalat.

Contohnya, jika seseorang itu membeli barang tetapi rupa-rupanya barang tersebut rosak, maka dia mempunyai hak untuk membatalkan urusan jual beli ini kerana mudarat mesti dihilangkan, melainkan jika bersetuju untuk digantikan dengan barang lain.

Wallahu’alam.