, ,

Qawaid Fiqhiyyah, Apa Yang Korang Perlu Tahu?

Kaedah perundangan fiqh Islam atau dalam bahasa Arab dipanggil sebagai qawaid fiqhiyyah digunakan oleh para mujtahid dalam menentukan sesuatu hukum.

Prinsip ini telah disusun oleh para fuqaha bagi menentukan kumpulan hukum yang sedia ada untuk dimasukkan ke dalam kaedah tertentu bagi memudahkan kefahaman.

Jadi, ia menjadi asas penting bagi menyelesaikan perkara yang belum ada penentuan hukumnya sebelum ini.

Qawaid fiqhiyyah terdiri daripada dua perkataan iaitu

(a) Al-qawaid : Merupakan kata jamak kepada al-qaidah yang bermaksud asas atau sesuatu yang tetap.

(b) Al-fiqhiyyah : Berasal daripada perkataan fiqh yang bermaksud faham sesuatu perkara.

Menurut Imam Syafii seperti yang dinyatakan oleh Abdul al-Wahab Khallaf, al-fiqh ialah ilmu yang menerangkan hukum-hakam syarak yang bersifat amali yang diambil daripada dalil-dalilnya yang terperinci.

Dalam al-Quran, ada disebut mengenai kalimah al-qawaid. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

وَإِذۡ يَرۡفَعُ إِبۡرَٰهِـۧمُ ٱلۡقَوَاعِدَ مِنَ ٱلۡبَيۡتِ وَإِسۡمَٰعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

(Surah al-Baqarah 2:127)

Jadi, qawaid fiqhiyyah merupakan hukum asas syarak yang menyeluruh dan boleh digunakan dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu.

Malah, kaedah ini memudahkan ulama untuk menyelesaikan banyak persoalan fiqh masa kini yang timbul.

Wallahu’alam.