, ,

Jom Belajar Kaedah Fiqh Al-Umur Bi Maqasidiha

Al-umur bi maqasidiha termasuk antara lima kaedah fiqh yang disebut sebagai al-qawaid al-kubra.

Kaedah ini bermaksud setiap perkara yang dilakukan bergantung pada tujuannya.

Niat sangat penting dalam menentukan sama ada sesuatu amalan itu dilakukan kerana Allah atau hanya untuk mendapatkan pujian manusia.

Jadi, kaedah ini dianggap yang paling asas dan penting kerana ia boleh diaplikasikan ke dalam pelbagai masalah seperti perbahasan mengenai ibadah, ekonomi dan hukuman. 

Contohnya adalah seperti:

(a) Niat menentukan sama ada seseorang itu membunuh dengan sengaja atau tidak sengaja, jika tidak berniat membunuh maka diberi hukuman diyat (ganti rugi) bukannya qisas (balas yang sama).

(b) Niat menentukan sama ada lafaz cerai kinayah itu mengakibatkan cerai atau tidak.

(c) Niat menentukan sama ada orang yang duduk di masjid dapat pahala atau tidak, jika berniat iktikaf maka akan dapat pahala iktikaf.

Kaedah ini juga bersandar daripada hadis Nabi riwayat Bukhari dan Muslim, iaitu berkaitan setiap perkara bergantung pada niatnya, jadi sesiapa yang hijrah dan berniat kerana Allah dan Rasul maka akan beroleh apa yang diniatkan. Sebaliknya, jika hijrah dan berniat kerana dunia, itulah yang diperolehnya.

Imam Syafii menyatakan bahawa hadis tersebut mewakili satu pertiga daripada ilmu dan termasuk dalam hadis ini 70 cabang ilmu fiqh.

Jadi, niat sangat memberi kesan dalam kehidupan sebagai seorang Muslim, walaupun tidak dilafazkan dengan kata-kata tetapi ia terletak dalam hati seseorang.

Wallahu’alam.