, ,

Jom Belajar Kaedah Fiqh Al-‘Adah Muhakkamah

Al-‘adah muhakkamah termasuk antara lima kaedah fiqh yang disebut sebagai al-qawaid al-kubra.

Kaedah ini bermaksud adat diterima sebagai hukum.

Ia banyak digunakan dalam masalah muamalat dan kehakiman, khususnya berkaitan perniagaan kerana ilmunya luas dan berubah seiring dengan perubahan masa dan tempat.

Jadi, apa-apa kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat, yang mana ia bersangkutan atau tidak bertentangan dengan hukum, maka itu boleh dilakukan dalam kehidupan mereka.

Antara dalil rujukan bagi kaedah ini adalah seperti berikut:

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

خُذِ ٱلۡعَفۡوَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡعُرۡفِ وَأَعۡرِضۡ عَنِ ٱلۡجَٰهِلِينَ

“Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”

(Surah al-A’raf 7:199)

Dalam hadith riwayat Bukhari pula ada menyatakan:

“Daripada Aisyah r.a., sesungguhnya Hindun, anak perempuan ‘Utbah dan juga isteri kepada Abu Sufyan telah bertemu dan berkata: “Wahai Nabi! Sesungguhnya Abu Sufyan seorang yang kaya tetapi bakhil, dia tidak memberikan aku perbelanjaan yang mencukupkan aku dan anak-anakku, lantas aku mengambil daripadanya sejumlah wang tanpa pengetahuannya”.

Maka, mendengar itu, Nabi Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Ambillah daripadanya sejumlah wang yang mencukupi untuk kamu dan anak-anakmu berdasarkan uruf”.

Apa yang dimaksudkan dengan uruf? Ia merujuk kepada adat atau kebiasaan masyarakat.

Jadi, selagi mana tidak bertentangan dengan syariat Islam, maka adat pada waktu itu boleh diterima pakai sebagai hukum.

Seperti mana contoh dalam hadith di atas, penetapan nafkah tidak ditentukan melalui nas syarak maka ia ditetapkan melalui adat setempat sesuatu kawasan itu. 

Wallahu’alam.