, ,

Ini Kisah Cinta Aku

Dia yang aku kenal tak pernah mengenal erti lelah dalam memberiku kasih dan sayang. Dia yang aku kenal tak pernah berkata bosan walau aku bercakap benda sama berulang-ulang. Dia yang aku kenal sering memberi walau aku tak pernah meminta.

Sepanjang aku kenal dia, tak pernah aku nampak dia terbaring lesu walaupun demamnya panas hingga mencapai suhu 40 darjah Celcius. Namun, kebelakangan ini, dia nampak tak bersemangat dan tidak bermaya.

Aku lihat matanya tidak lagi bercahaya seperti saat waktu kali pertama bersua muka. Jalannya tidak lagi sesegak dulu. Tutur katanya tidak lagi petah, kini satu persatu.

Hati aku remuk. Wallahi. Aku tak kuat melihat kau begitu.

Aku rasa nak lari jauh daripada semua dan jerit sampai dengar satu benua. Aku hanya mampu melihat kau dari jauh dan rasa tak berguna sebab tak boleh buat apa.

Satu hari kau minta aku duduk sebelah kau. Kau kata nak lihat lampu-lampu di sekitar bandaraya. Kau kata nak pusing tasik tengok suasana.

Aku terpinga-pinga tak sedar yang itu sebenarnya permintaan terakhir dia. Aku mengangguk bersedia nak bawa tapi hari tu kau muntah-muntah dan nampak tak bermaya. Bila aku tatap mata kau, sinar mata minta aku tunaikan permintaannya.

Malam itu aku bawa kau naik kereta keliling tasik. Mata kau tak berkelip menatap suasana sambil tangannya aku usap lembut tanda kasih.

Kau minta aku berhenti beli air laici sejuk sedangkan aku tahu dia yang aku kenal hanya air suam jadi minumannya. Ingin aku bekukan saat bila mana kau minta suapan ais sambil tatap mata aku yang mula berkaca.

Ramadhan kali itu sedikit berbeza. Kau tak lagi berulang ke dapur sediakan juadah untuk keluarga. Kau cuma terbaring lesu mengetuk almari bila kau perlukan apa-apa.

Aku minta maaf. Aku bersalah membiarkan kau sendiri sedangkan aku sibuk menyiapkan kerja. Kalau aku tahu itu ramadhan terakhir kita bersama, takkan aku lepaskan tangan kau dan akan ambil peluang tu untuk berbicara tentang semua.

Syawal datang lagi. Hari itu kau masih nampak bertenaga berjalan merata. Aku papah kau ke mana-mana. Kau nampak biasa, tak tunjuk tanda yang itu Syawal terakhir kita.

Kau makan selera sungguh sampai aku lupa yang kau tengah lawan derita. Lagak kau lansung tak tunjuk kesan kemoterapi yang baru kau jalani. Muka kau masih tersenyum nipis saat aku pegang kamera.

7 Syawal 1434H.

Aku masih ingat lagi hari itu. Saat abah bawa kau ke katil, aku usap tangan kau. Nampak dada berombak sukar untuk bernafas.

Saat itu aku terpaku lihat kau begitu. Aku hanya mampu melihat dan diam membisu. Aku minta maaf. Aku masih tak bersedia ketika itu. Tak bersedia menerima hakikat yang kau sedang melawan derita dan bakal meninggalkan aku dan keluarga bila-bila masa sahaja.

Masih terngiang-ngiang di telinga kau bisik, “Jangan bawa mak ke mana-mana. Mak nak duduk rumah.”

Allahuakbar. Aku tak lagi mampu menahan empangan air mata yang selama ni aku tahan-tahan. Bukan sengaja simpan air mata, tapi aku tak nak kau makin lemah bila tengok sendu aku.

8 Syawal 1434H.

Kau dah terlantar di katil hospital sambil pakai alat bantuan pernafasan.

Malam tu, kau pegang tangan aku tanda minta dibuka alat bantuan itu dan bersedia nak memulakan bicara tapi apa yang aku dengar cuma nafas turun naik.

Aku buka bicara, “Mak kena kuat… mak nak tengok cucu-cucu mak besar, kan…”

Aku hilang modal bicara. Itu yang terlintas di minda. Dengan nafas yang masih turun naik, mak angguk kata, “Ya”.

9 Syawal 1434H.

Doktor minta ahli keluarga kumpul semua. Tiada lagi suara keluar dari bibir kering kau yang selama ini riuh mengeluarkan bicara.

Walau mata kau pejam, air mata kau berlinang bila dengar zikir selawat yang aku bacakan di telinga.

Aku minta maaf. Aku tak cukup kuat. Aku menangis semahunya dalam bilik air hospital sambil biar air mengalir deras melimpah keluar daripada baldi.

16 Syawal 1434H.

Pagi itu aku lihat wajah kau tenang sekali. Aku usap tangan kau yang sudah jelas nampak uratnya. Aku lihat mesin di tepi katil. Bacaan mesinnya makin rendah.

Aku hilang punca. Aku panggil doktor di luar dan dia minta semua keluarga tunggu di luar. Sebelum aku keluar, sempat aku ucapkan kalimah syahadah di telinga.

27 Rejab 1438H.

Tiga tahun enam bulan berlalu. Tiada lagi suara ceria. Tiada lagi kejutan tahajud. Tiada lagi usapan lembut di dahiku saat demamku datang menyerang.

Tak sampai lagi 2 bulan, Ramadhan akan tiba. Rindu aku pada kau tak pernah surut.

Benarlah seperti kata-kata yang aku sering jumpa di Facebook, iaitu rindu yang paling sakit adalah rindu pada orang yang telah tiada.

Inilah kisah cinta aku…

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Siti Mahera. Meneruskan pengajian dalam Ijazah Sarjana Antarabangsa Perusahaan Kecil & Sederhana di Universiti Malaya dan menjalani latihan praktikal di Jepun selama setahun. Berminat dalam bidang penulisan sejak dari kecil.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.