, ,

Aku Tak Kuat… Namun Kerana Kasih Sayang Allah, Aku Harus Kuat

Hebatnya kasih sayang Allah menguji para hambaNya sebagai tanda sayang. Hari lebaran, hari riang gembira buat insan lain, buat kami sekeluarga kerana Allah sayang, Allah turunkan ujianNya.

Raya ke-5, lidah kelu tidak berkata, tiada tindak balas bila ditanya, ligat sel-sel otak berfikir apa yang sedang terjadi, dibawa segera ayah ke klinik kesihatan berdekatan.

GCS (Glasgow Coma Scale) menurun, tiada tindak balas, blood pressure (tekanan darah) 220/180 mmHg, muntah yang sangat banyak menandakan tekanan di otak tinggi.

Suasana menjadi cemas, segera penolong pegawai perubatan dan staf menggembleng tenaga memberi pertolongan cemas. Detik itu, penantian ambulans selama 10 minit dirasa sangat lama.

Keadaan yang serius menyebabkan ayah terpaksa dirujuk kes dari Klinik Kesihatan Kg.Gajah ke Hospital Changkat Melintang dan akhirnya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, dirujuk kepada ‘tertiary centre’ iaitu kes serius yg memerlukan kepakaran daripada pelbagai bidang.

Buat pertama kalinya berada di zon merah. Penuh debaran, terlalu banyak alat, mesin, wayar, ubat serta staf yang ke hulu ke hilir bergerak pantas, segera keluar dari zon itu agar tidak mengganggu kerja petugas.

Penuh pengharapan, bibir ini terkumat-kamit berdoa tanpa jemu, pelbagai ujian dijalankan termasuklah CT scan (computed tomography scan), doktor keluar mencari waris untuk memberi penjelasan mengenai kes ayah.

“Puan, diminta tenang serta dapat menerima sebarang kemungkinan. Kami dapati ada pendarahan pada otak sebelah kiri, CT scan mendapati pendarahan itu ada pada bahagian yang agak bahaya. Pembedahan perlu dilakukan untuk mengeluarkan darah tersebut, tapi tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya kerana ianya di bahagian yang sukar, peratus kejayaan tidak sampai 50 %, juga tidak dapat pulih seperti sediakala selepas pembedahan,” ujar doktor kepada mak.

Ya Allah, terdiam, terkelu lidah untuk berbicara, siang hari tadi baru saja lihat wajah ceria ayah yang sihat, di hening yang malam semuanya bertukar dalam sekelip mata.

Terdetik di dalam hati, kenapa ayah, ayah yang sebelum ini sangat sihat, hampir tiada faktor penyebab untuk mendapat penyakit sebegini, kenapa kami dipilih untuk menghadapi ujian sebegini kuat.

Tidak lain dan tidak bukan, ya kerana Allah sayang serta kerana Allah yakin dengan kemampuan setiap hambaNya.

Kebenaran bertulis diberi, mak menurunkan tandatangan memberi kebenaran menjalankan pembedahan ke atas ayah. Alhamdulillah, pembedahan yang memakan masa selama 12 jam berjalan dengan baik.

Hampir sebulan lebih tempoh ayah berada di hospital termasuklah di ICU (Intensive care unit), HDU (High dependency unit) serta wad neurosurgeri. Dinding-dinding hospital inilah yang menjadi saksi di mana tidak putus-putus doa yang kami pohon daripadaMu.

Sesungguhnya ia merupakan satu tamparan yang hebat buat kami sekeluarga, walau bagaimanapun kami bersyukur Allah masih memberi peluang kepada kami untuk berbakti dalam proses penjagaan ayah.

Kami tujuh beradik sangat bertuah kerana memiliki insan yang tersangat hebat bergelar mak, tika mana sebelum kejadian ini menimpa, ayah merupakan ketua keluarga yang sangat hebat mengurus hampir kesemua urusan keluarga kerana sayangnya ayah terhadap kami.

Selepas kejadian tersebut, mak mengambil alih kesemua urusan yang asing buat dirinya. Mak merupakan insan yang hebat yang bukan sahaja menjadi ketua keluarga malah sentiasa bersama kami tika senang dan susah, tidak terbalas jasamu bonda.

Kasih sayang serta pengorbanan yang sangat bernilai buat kami yang juga mutiara hati mereka, moga Allah limpahkan ganjaran yang terbaik buat mak dan ayah tersayang, insyaAllah.

Tidak ada yang kekal di alam yang fana ini, semuanya adalah sementara, pinjaman daripadaNya.

Tika proses penyembuhan ayah dalam keadaan berbelah bagi, saya pulang ke sekolah untuk menduduki peperiksaan SPM. Hati meronta, syukur masih punya keluarga serta rasa kebergantungan yang tinggi pada Allah.

Tidak seperti sebelumnya, pasti dihantar oleh keluarga tersayang, kali ini menumpang sahabat pulang ke sekolah. Perjalanan pulang kali itu terasa sangat hambar, tiada air mata yang mengalir, hanya tangisan dalam diri yang mengiringi.

Pintu gerbang sekolah kian terlihat, saya cuba sedaya upaya untuk memperbaharui niat serta cuba untuk fokus sebaiknya.

Dua hari sebelum peperiksaan SPM, ada majlis graduasi, bacaan yasin, mohon restu ibu bapa serta guru. Melihat ibu bapa serta keluarga sahabat-sahabat yang lain, terasa sebak hati ini.

Saya cuba ukirkan senyuman melihat mereka, saya sangat faham dengan kondisi ayah sekarang, bukan mudah untuk ayah berjalan jauh. Saya akur, terus saya mengorak langkah ke dewan utama.

“Ainul… Ainul,” kedengaran suara lembut yang sangat saya kenali, insan yang bergadai nyawa melahirkan saya ke dunia ini.

Saya toleh, seperti dalam mimpi, saya lihat wajah kesayangan berada depan mata saya. Ya Allah, tidakku sangka ayah, mak serta keluarga turut hadir meraikan hari bersejarahku.

Kuat sungguh semangat ayah walaupun dalam keadaan berkerusi roda. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, tiada kata sehebat itu, saya kutip semangat daripada insan-insan tersayang ini untuk saya meneruskan perjuangan ini.

Alhamdulillah, SPM diduduki dan terus saya mengorak langkah menamatkan pengajian asasi di PASUM. Selesai SPM dan asasi, saya tidak seperti insan lain, keringat serta masa diluangkan bersama ayah serta keluarga.

Hari-hari saya dipenuhi dengan ubat-ubatan, fisioterapi, temu janji bersama doktor dan sebagainya. Banyak yang saya belajar tiap kali menjejak kaki ke hospital, membuatkan diri bersyukur dengan tiap nikmat kurniaanNya terutamanya nikmat kesihatan.

Pada kita yang sihat, sememangnya kita lihat aktiviti fisioterapi seperti hanya menyusun cawan, mudah pada kita, tapi tidak kepada pesakit strok di mana fungsi otak telah terganggu.

Pada mereka, ia suatu tugas yang sukar sehingga boleh memberi tekanan kepada mereka. Keluargalah yang perlu sentiasa memberi sokongan kepada mereka untuk menjalani fisioterapi bagi memberi kekuatan kepada otot untuk meningkatkan fungsi otot.

Sokongan daripada ahli keluarga memainkan peranan yang penting bagi pesakit menghadapi sakitnya dalam menjalani proses rawatan.

Kerana Allah sayang, Allah turunkan ujianNya. Ayah diserang strok buat kali kedua.

Terngiang-ngiang kembali kata-kata doktor pakar dua tahun lepas, “Puan, ini adalah serangan strok kali pertama, Alhamdulillah pembedahan juga berjalan dengan baik, pihak kami ingin mengingatkan jika serangan kali kedua berlaku ianya sangat berbahaya dan berkemungkinan besar harapan untuk hidup sangat tipis,” ujar doktor kepada mak.

Terdiam, berlegar-legar kata-kata tersebut bermain di kotak fikiran ini. Pendarahan kali ini tidak dapat dikeluarkan melalui pembedahan kerana risikonya yang tinggi. Seminggu ayah di ICU dan kemudiannya dipindahkan ke wad neurosurgeri. Tika detik hiruk-pikuk ini, keputusan UPU juga turut keluar.

Tahniah anda ditawarkan kursus Ijazah Doktor Perubatan, UNIMAS.

Alhamdulillah, syukur diri masih dapat mengukir kata-kata tersebut, terkaku saya melihat skrin laptop. Hati bercampur baur, mengenangkan ayah di katil hospital yang masih tidak sedar, memerlukan alat bantu nafas untuk membantu pernafasan serta dipenuhi wayar-wayar.

Semenjak di bangku sekolah lagi saya sangat bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera kimia kerana minat yang mendalam dalam subjek matematik, fizik serta kimia.

Namun, kesemuanya bertukar selepas kejadian yang berlaku ke atas ayah, membuat saya terfikir perlunya seseorang dalam keluarga kami mengambil jurusan perubatan agar mudah untuk dirujuk sekiranya berlaku sesuatu masalah kesihatan.

Malah, ia merupakan profesion yang dapat mendekatkan kita kepada Sang Pencipta di mana walau sehebat mana akal fikiran manusia dan walau seusaha mana para doktor merawat pesakitnya, tetapi sekiranya Allah telah menentukan ajal hambaNya, tidak akan cepat atau lewat walau sesaat.

Tiap sakit itu datangnya daripada Allah. Doktor hanyalah medium penyembuh, pohonlah pada Allah sebaik-sebaik penolong. Betapa kerdilnya kita di depan Sang Pencipta, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.

Istikharah dibuat untuk memohon petunjuk. Alhamdulillah, ayah menunjukkan progres yang semakin baik, kelopak mata sudah dapat dibuka, menguatkan semangat saya untuk meneruskan perjuangan ini.

Berkelanalah saya ke Kuching, Sarawak. Bermulalah perjalanan hidup di bumi kenyalang, tempat yang asing pada mulanya tapi berjaya menawan hati ini dengan keindahannya dan keluhuran hati penduduknya.

Malah, di sinilah diri ini ditarbiah. Pengorbanan itu bukan sesuatu yang mudah, tetapi sekiranya dilakukan dengan mengharap redhaNya serta percaya terdapat hikmah dan ganjaran yang terbaik daripada Allah, itu adalah yang sebaik-baiknya.

Tajdid niat sentiasa, niatkan kerana Allah. Akal manusia sangat terbatas, sedang ilmu Allah itu sangat luas. Maka apabila Allah menetapkan sesuatu perkara dan kejadian, pasti ada hikmahnya.

Tamat sesi pendaftaran, sesi orientasi dimulakan. Saya lihat skrin telefon bimbit, tujuh panggilan tidak dijawab daripada keluarga.

Menggeletar tangan, rasa sejuk terus menyelubungi seperti sudah dapat mengagak berita yang akan disampaikan, segera menelefon semula. Hati seorang anak, seperti yang telah hati saya rasakan, terduduk saya menerima berita tersebut.

Terkedu untuk berkata-kata, segera membuat keputusan pulang untuk melihat serta mendoakan yang terbaik buat insan yang sangat saya hormati dan sayangi dunia serta akhirat.

Semoga ayah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan moga kita semua dapat berkumpul kembali di jannah kelak, insyaAllah.

Semua milikNya. Terkadang membuat diri ini sedar daripada leka yang mana diri hanya jasad yang tak punya apa-apa, semua hanya nikmat pinjaman daripadaNya.

Alhamdulillah, kini anak ayah telah dianugerahi ijazah doktor perubatan berkat doa semua. Ia bukan penamat, tetapi ia sebenarnya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar untuk menjadi doktor untuk ummah.

Ini adalah perjalanan hamba menujuNya, jangan pernah berhenti berlari dalam mengejar redhaNya. Moga bertambah usia ini tidak melalaikan kita untuk terus berjalan di jalanNya, insyaAlllah.

Setiap yang ada itu semuanya pinjaman daripada Allah. Sampai masanya, perlu dipulangkan.

Ya Allah, andai dengan ujian-ujian yang Engkau hadiahkan kepada kami ini dapat mengembalikan kami kepada cintaMu yang sebenar, Engkau ujilah kami, kerana denganMu di sisi, kami punya segala-galanya.

Tika air mata mengalir lagi, jangan tahan, biarkan ia menitis jatuh ke bumi. Tapi tolong, jangan lupa untuk menyekanya dan tersenyum kembali.

Apabila suatu saat diri rasa ingin rebah, maka duduklah. Tapi tolong, jangan lupa untuk bangkit kembali, setiap perancangan Allah adalah yang terbaik.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud, ‘Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya, kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan mendapat balasan syurga.'” (Riwayat Bukhari)

Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua makhluk adalah menjadi milik Allah.

Malah kita dinasihatkan untuk berkata:” Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Surah al-Baqarah :156)

Tanda Allah ingat akan kita, Allah turunkan ujianNya untuk mendekatkan diri kita kepadaNya. Setiap ujian yang diberi adalah sesuai dengan kesanggupan hambaNya.

Sabar dan bersyukurlah kepadaNya. Andai dalam kesusahan, hadapilah dengan tabah kerana pasti terdapat seribu hikmah yang akan hadir selepas sabar menempuh segala kesusahan.

Hebatnya kasih sayang Allah kepada kita sebagai hambaNya. Saat kita lemah, ada yang akan menguatkan walaupun hanya dengan kata-kata bersabarlah, kerana orang yang sabar akan dicukupkan pahala buat mereka, itu janji Allah.

Dia tidak pernah membiarkan kita sendirian. Biar apa pun yang dialami, kekalkan Allah di hati kerana Allah sentiasa ada di sisi. Bersyukurlah dengan segala kurniaan Allah kepada diri kerana itu tanda kita mencintaiNya.

Bahagia ada dalam hati yang dipenuhi dengan iman. Husnuzonlah dengan aturanNya.

Ujian yang berat untuk insan-insan yang hebat supaya menjadi insan yang lebih kuat. Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakal kepadaMu.

Semuanya milikNya maka tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata, Allah mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya serta masa yang terbaik buat hambaNya mendapatkannya.

Yakinlah dengan Allah. Ya, hidup ini ibarat roda basikal, kadang-kadang di atas, kadang-kadang di bawah, yang pasti teruslah mengayuh dan usah sesekali berhenti.

Begitu juga iman kita ini pun ada turun naiknya, ada masa iman ini kuat bagai akar pohon yang mencengkam bumi. Tapi, ada ketika ia seperti sudah sampai senipis bawang.

Maka perlulah sentiasa muhasabah diri, berpesan-pesanlah ke arah kebaikan. Semoga potensi akan sentiasa bertunas dan berkembang serta semoga nawaitu sentiasa akan bercahaya, insyaAllah.

Buat semua staf-staf KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) terutama Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, anda semua merupakan insan hebat yang sewajarnya dirai.

Walaupun saya tidak mengenali kalian tetapi kami amat menghargai jasa kalian yang telah melakukan yang terbaik dalam proses rawatan dan penjagaan ayah.

Terlalu banyak jasa kalian buat kami sekeluarga. Tidak terbalas rasanya jasa anda semua, hanya Allah yang mampu memberi ganjaran yang terbaik buat anda semua.

Terima kasih kerana dapat mengembalikan kegembiraan ayah dan tidak menyakitkan ayah semasa hari-hari terakhirnya.

Saya berharap saya dapat kembali sebagai satu pasukan untuk menyumbang dan meneruskan legasi kebaikan anda untuk kemaslahatan ummah, insyaAllah.

Terima kasih Allah atas kasih sayang dan rahmatMu.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Ainul Husna binti Mohamad Ibrahim. Merupakan graduan lulusan ijazah doktor perubatan (MD), UNIMAS.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

132 points
Upvote Downvote

Total votes: 142

Upvotes: 137

Upvotes percentage: 96.478873%

Downvotes: 5

Downvotes percentage: 3.521127%