, ,

Cinta Yang Terlupa (Bahagian 2 – akhir)

Pak Da tak membalas. Tangannya dibawa memegang dada. Kakinya terus dibawa melangkah ke bilik. Air mata lelakinya menitik perlahan.

Ikutkan hati, ingin saja dia sujud syukur terus di hadapan Allah sekarang. Syukur kerana dalam 3 orang anaknya, ada seorang Aliyah. Dulu dia pernah mengharapkan Najihah menjaga dan merawatnya di penghujung usia.

Malangnya, anak itu berubah laku apabila terlihat kemewahan dunia. Lalu disandarkan harapan pada bahu Nukman. Tapi, Allah lebih sayangkan Nukman. Nukman pergi selepas setahun isterinya mengadap Ilahi.

Pada akhirnya, dia cuma ada Aliyah. Ternyata Aliyah masih lagi anak yang sama seperti berbelas tahun dulu. Anak yang paling mudah tersentuh hatinya kalau ibu bapanya dicuit atau disentuh. Anak yang paling garang mempertahankan maruah dia kalau dipersendakan orang sekeliling. Aliyah anak yang terlalu sempurna di matanya.

Liya membiarkan Pak Da beransur pergi. Tak berniat dia nak menghalang. Cukuplah Pak Da faham keinginan hatinya saat ini.

Jujur dia ikhlas melepaskan Luqman pergi demi abah. Jujur dia rela hilang Luqman daripada abah. Apa yang Liya tahu, dia nak jadi anak terbaik untuk mak dan abah.

Dia cuma nak membalas setiap jasa dan kasih sayang mak dan abah walau hakikatnya takkan terbalas. Biarlah. Dia tetap akan cuba apa adanya.

******

Bunyi mesej yang masuk mengganggu fokus Liya. Liya mencapai handset di sisi kirinya. Inbox ditekan.

Saya masih mengharap.

Habis baca, Liya letak semula handset di tempat yang sama. Dibiarkan tak berbalas. Kerja yang tergendala seketika disambung semula. Sekali lagi handset Liya berbunyi. Liya menekan skrin handset. Masih daripada orang yang sama. Liya mengeluh.

Saya sayang awak. Saya janji, saya takkan halang awak daripada jaga abah.

‘Masalahnya, awak nak bawa saya merentas benua, bila kita kahwin nanti. Macam mana saya nak jaga abah. Nak angkut abah sekali dengan kita? Tidak. Kudrat abah makin dimamah usia. Tenaga abah bukan tenaga orang muda,’ getus hati Liya.

Jari-jemari Liya menari di atas skrin. Berkira-kira nak membalas apa. Otaknya ligat cuba mencari ayat yang sesuai. Biar nanti Luqman faham dan akhirnya pergi.

Saya tahu awak ikhlas untuk jadikan saya isteri awak. Tapi, saya masih ada abah yang perlukan saya lebih daripada awak. Tempat saya adalah dengan abah selagi dia masih hidup. Dan saya sebagai anak takkan sanggup nak tinggalkan dia, habiskan sisa hidup dia seorang diri. Saya tahu awak tak pernah halang saya dan takkan halang saya. Tapi, tolong faham situasi saya. Abah adalah segala-galanya bagi saya.

Selesai menaip, Liya menekan button send. Hatinya berzikir perlahan. Menyebut nama yang Maha Mulia itu.

Bukan dia tak sedih kecundang berkasih. Tapi abah. Abah segalanya buat Liya. Datanglah beribu Luqman sekalipun, abah tetap keutamaan Liya. Bukan Liya tak impikan hidup berkeluarga. Tapi, mungkin belum tiba masanya lagi.

Dia akur pada setiap garis takdir yang tertulis. Pasti ada hikmah yang tak ternampak dek mata kasar.

******

“Liya, terima kasih sebab bawa abah sampai ke sini.” Tutur Pak Da sambil tersenyum lebar.

Bahagia sungguh hatinya dapat menjejakkan kaki ke tanah suci. Tak terfikir dan terbayang olehnya yang dia dapat menjadi tetamu Allah. Maha Suci Allah.

‘Besar sungguh rahmatMu, ya Allah,’ ucap Pak Da di dalam hati.

Liya memaut lengan Pak Da, kuat. “Abah jangan terima kasih pada Liya, abah. Semua ni berkat doa arwah mak dengan abah. Allah tunaikan impian dan hajat Liya nak bawa abah ke sini. Alhamdulillah, Allah makbulkan.”

“Alhamdulillah, moga Allah balas setiap kebaikan anak abah ni dengan sebaik-baik ganjaran.”

Liya kesat hujung matanya dengan jari. Air matanya nak menitik. Dari awal dia nyatakan hasrat nak bawa abah tunaikan umrah sampailah kaki mereka menyentuh tanah suci haramain, itulah doa yang diulang-ulang abah tak henti.

Dia rasa terlalu kerdil. Jasa abah membesarkannya tetap tak setanding dengan apa yang diberikan kepada abah. Melihat senyum mekar abah, Liya tiba-tiba teringat pada alongnya.

Pasti abah lagi bahagia kalau along ada sekali. Pasti senyum abah lagi mekar daripada kuntuman sakura yang mewangi. Tapi, malang sekali along tiada di sini. Along Jia masih lagi along yang sama, yang terakhir kali bertemu muka dengan Liya.

Sedangkan Liya hantar pesanan melalui mesej mengatakan pemergian dia dan abah ke tanah suci pun, along tak balas. Along masih tak ambil peduli. Sebak mengepung dada Liya mengenangkan sikap along.

“Liya, menungkan apa lagi tu?” Pak Da tegur.

“Abah.” Sebut Liya perlahan. Senyum diukir.

“Jomlah, Tak sabar dah abah ni. Lagipun Ustaz Hafiz mesti dah tunggu dekat bawah tu.”

Liya anggukkan kepala sambil membawa langkah menuruti Pak Da dari belakang. Abah nampak bertenaga dan semangat sungguh sejak sampai ke bumi haramain. Jalan pun tak bertongkat sangat.

‘Barangkali bahagia yang mengetuk-ngetuk jiwa tua abah buat dia lupa pada setiap kesakitan dunia,’ bisik hati Liya.

******

“Kak.” Sapa Liya sambil menepuk bahu seorang wanita yang duduk sambil menunduk pada anak tangga. Elok wanita tersebut mengangkat wajah, terjatuh buku-buku dalam pegangan Liya.

“Along!” Spontan meluncur panggilan itu dari mulut Liya. Buku yang berterabur jatuh dibiarkan tanpa diambil.

“Liya…” Perlahan nama Liya disebut. Jia serba salah nak memeluk Liya. Ikutkan mahu dirangkul Liya dalam pelukan. Tapi, rasa berdosa yang mengepung segenap jiwanya menghalang kemahuan dirinya.

Liya masih kaku ditempatnya. ‘Kenapa sekarang along baru balik? Kenapa?’ Soal Liya dalam diam. Kelu lidahnya nak berkata-kata. Dia masih diserang terkejut.

“Abah… abah mana Liya?” Tanya Jia.

Sakit dan sesak dada Liya mendengarkan soalan Jia. Liya pandang Jia tepat pada anak matanya. “Abah dah pergi.”

“Pergi? Pergi mana Liya? Apa maksud Liya? Jangan main-mainkan along, Liya.”

“Allah lagi sayangkan abah, along.” Jawab Liya sambil membawa tubuhnya duduk di kaki tangga. Dia rasa nak rebah.

Jia bungkam. Terduduk dia di situ. Liya yang sedar sekadar memerhati. Nak menahan Jia daripada jatuh terduduk, dia sendiri rasa lemah dan longlai.

Jia palingkan muka ke arah Liya. “Bawa along pergi kubur abah Liya,” pinta Jia separa merayu.

“Tak boleh!”

“Liyaaaa, tolonglah Liya. Along tahu banyak dosa dan salah along pada abah dan Liya. Tapi, tolong jangan hukum along macam ni, Liya. Tolonglah Liya. Along merayu pada Liya.” Tubuh kecil Liya digoncang-goncang.

“Along… abah meninggal dalam sujudnya di haramain.”

Mendengar ayat terakhir Liya, terus Jia diam. Segala pergerakannya terhenti. Terimbas kembali dalam kotak ingatannya, dia mengabaikan mesej yang dihantar Liya tentang pemergian Liya dan abah untuk menunaikan umrah.

Saat itu dia baca lalu dibiarkan tanpa balasan. Malahan permintaan Liya supaya dia pulang ke kampung untuk bertemu dengan abah pun langsung tidak dipeduli.

Masa itu, dirasakan masanya amat berharga untuk dibazirkan semata-mata untuk menjenguk abah. Rasa tak berbaloi perjalanan selama 6 jam pulang ke kampung kalau nak dibandingkan dengan projek terbarunya yang bernilai berjuta-juta ringgit.

Sesungguhnya, Allah itu Maha Berkuasa. Perniagaannya yang bernilai jutaan ringgit itu rugi mendadak. Dia diisytiharkan muflis. Malahan suami yang selama ini yang dilayan bagaikan raja pun telah pergi meninggalkannya untuk perempuan lain.

Jia hilang harta, pangkat, kedudukan, suami, keluarga, dan abah. Ya, Jia hilang abah. Cinta pertamanya yang dilupakan kerana buta dengan kilauan dunia. Jia hilang semuanya. Semuanya.

Liya bawa tangannya ke belakang tubuh Jia. Diusap perlahan bahu Jia. Tanda memberi sokongan. Bukan dia tak baca di akhbar, perniagaan Jia jatuh bankrap. Jia muflis.

Dia sebagai adik tak pernah membenci Jia. Tak pernah walau sekali. Kasih sayangnya pada Jia tak pernah surut walau seteruk apa pun Jia.

Jia menangis semahunya di riba Liya. Liya biarkan sambil tangannya masih lagi mengusap lembut bahu Jia. Macam tadi.

“Along anak derhaka, Liya. Along berdosa pada arwah mak dengan abah. Along berdosa Liya. Along berdosa Liya. Along berdosa.” Rintih Jia.

Liya diam tak membalas. Sejujurnya dia tak tahu nak membalas apa. Cuma doanya moga-moga arwah mak dan abah ampunkan dosa along. Itu sahaja.

Dia tahu berat rasanya menanggung dosa pada ibu bapa. Tapi, takdir Allah bukan boleh dipinda-pinda. Kematian bukan boleh dipilih-pilih. Dan Allah menjemput abah sebelum sempat along melafazkan maaf di depan abah. Allah…

 

> baca Cinta Yang Terlupa (Bahagian 1) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Noor Faieza binti Ramli. Berasal dari Kuala Rompin, Pahang. Sedang melanjutkan pengajian dalam ijazah sarjana muda Al-Quran dan Sunnah dengan Komunikasi.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.