, ,

Dia Menerima Hidayah Asbab Daripada Seorang Gadis Mualaf

Kedengaran jam loceng berbunyi dengan nyaring. Maryam meraba-raba telefon untuk menekan butang ‘snooze’.

Niat yang dipasang malam tadi untuk bangun awal untuk solat Subuh di awal waktu telah lebur dek kemalasan yang menebal pagi itu. Seperti ada magnet di kelopak matanya.

Selimut ditarik dan dia menyambung tidur. Kedengaran jam loceng berbunyi selang 10 minit. Maryam mengulangi perbuatannya dengan butang ‘snooze’ setiap kali jam berbunyi.

Kali ini, telefon berbunyi nyaring sekali lagi. Maryam membuka sedikit kelopak matanya. Mengerling ke arah jam di dinding. 6.50 pagi. Maryam bingkas bangun.

Tergopoh gapah dia mandi, berwudhu’ dan menunaikan solat Subuh dengan sisa waktu yang hampir tamat. Selesai solat, Maryam bermonolog di dalam hati, ‘Subuh gajah lagi aku hari ni. Bilalah aku nak berubah’.

Kemudian, Maryam bangun untuk bersiap ke tempat kerja. Maryam mengenakan pakaian yang paling cantik. Pakaian ketat dan sendat menampakkan susuk tubuh badannya yang langsing.

Dia bangga dengan susuk tubuh kurniaan Allah yang dimilikinya. Maryam menggayakan tudung sedondon dengan bajunya tadi. Tudungnya singkat menampakkan dada.

Dia bermonolog, ‘Ini baru style dan in trend. Maklumlah, dah jadi orang key el sekarang. Mesti bergaya. Baru orang nak kawan dengan aku. Barulah tak nampak kolot dan kampung’.

Maryam mengenakan solekan tebal untuk menarik perhatian lelaki yang memandangnya. Dia rasa bangga bila lelaki memuji kecantikan wajahnya.

Kulitnya putih mulus dan bersih. Hidungnya mancung dan bentuk mukanya bujur. Fotogenik. Tidak hairanlah jika ramai lelaki jatuh cinta padanya walaupun pertama kali melihatnya.

Maryam menyarung kasut sambil berbisik sendiri,

“Jodoh ada di mana-mana. Manalah tau kan, kalau terjumpa jodoh dalam LRT nanti taklah nampak selekeh, hehe…

Kemudian, dia melangkah berjalan menuju LRT yang tidak jauh dari rumah sewanya. Begitulah rutin harian Maryam setelah dia menamatkan zaman belajar dan memulakan kerjaya di kota besar Kuala Lumpur sejak 5 tahun yang lalu.

******

Maryam pulang dari tempat kerja seperti biasa. Kebetulan pada hari itu, LRT kelihatan lengang, tidak seperti kebiasaannya. Maryam pelik kerana selalunya waktu waktu begini LRT penuh dengan manusia. Macam ikan sardin dalam tin!

Tanpa berfikir panjang, Maryam masuk ke dalam coach dan mencari port best untuk melayan perasaannya sendiri.

Maryam berdiri di satu penjuru bersebelahan pintu masuk. Sambil melayan lagu-lagu hits di radio. Maryam juga melayari Facebook untuk hilangkan rasa bosannya sepanjang perjalanan pulang ke rumah.

Tanpa disedari, dia menyanyi-nyanyi lirik lagu yang menjadi hiburan halwa telinganya sejak kebelakangan ini. Bangga sekejap dalam hatinya kerana hafal lagu baru Maroon 5 yang bertajuk Sugar. Lagu ini baru dimainkan di corong-corong radio sejak 2 hari yang lepas.

Train berhenti di hentian Damai untuk mengambil penumpang. Kelihatan seorang gadis mualaf masuk sambil memandang Maryam. Gadis itu tersenyum.

Maryam terpegun dengan kejernihan wajah gadis mualaf itu.

Gadis mualaf itu berdiri menghadap Maryam sambil tangannya memegang tasbih digital. Maryam memerhatikan gadis itu dengan ekor matanya.

Pakaiannya mengikut syari’e. Tudungnya menutup dada. Dia memakai handsock. Kakinya berstoking. Auratnya terjaga. Wajah mulusnya yang bersih jernih sejuk mata memandang.

Bibirnya berzikir tanpa bosan dan jemu sambil jarinya menekan butang tasbih digital. ‘Wanita solehah!’ Bisik hati Maryam.

Satu perasaan menusuk ke dalam jiwa Maryam. Perasaan yang bercampur baur sehingga mengganggu emosinya. Maryam menutup radio yang didengarinya. Dia semakin asyik memerhati gadis mualaf di hadapannya.

Maryam bermonolog, ‘Kami sama-sama Islam tetapi dia lebih ‘Islam’ daripada aku yang Islam sejak lahir”.

Maryam malu sendiri.

Perasaan serba tak kena sedari dalam LRT tadi terbawa-bawa sehingga ke rumah. Maryam berwudhu’ dan menunaikan solat Asar.

Selesai solat, dia melihat jam di dinding. Pukul 6.50 petang. Tiba-tiba, air mata Maryam mengalir. Maryam mengadu pada Allah.

“Ya Rabb, sesungguhnya Engkaulah pemilik hati ini. Apakah perasaan ini, ya Allah? Kenapa aku rasa sedih? Kenapa aku rasa hiba? Kenapa aku rasa sayu?”

Maryam bingung mencari jawapan. Maryam menoleh ke kanan. Dia terlihat sebuah Al-Quran lama. Berhabuk. Terselit di antara koleksi novel-novel thriller yang digemarinya.

Maryam mencapai Al-Quran tersebut. Niat dipasang di dalam hatinya,

‘Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar. Aku mohon petunjukMu. Berikan aku jawapan pada perasaan gundah-gulana dan resah gelisahku ini”.

Perlahan-lahan dan teragak-agak Maryam membuka lembaran Al-Quran usang tersebut. Maryam menyelak muka surat Al-Quran usang itu secara rambang. Matanya terpaku pada sepotong ayat;

“Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan barat adalah kepunyaan Allah – (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus”.” (Surah Al-Baqarah 2:142)

Kemudian Maryam beralih ke muka surat sebelahnya. Sepotong ayat yang membuat hati Maryam benar-benar terpukul. Inilah jawapannya! Maryam menghayati ayat tersebut dengan air mata berjujuran di pipinya yang mulus.

“Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.” (Surah Al-Baqarah 2:157)

Maryam menutup Al-quran. Dipegang dan didakap Al-quran usang itu seeratnya. Maryam menangis semahunya. Tikar sejadah itu menjadi saksi hidayah Allah yang diterimanya.

Azan Maghrib kedengaran. Maryam bingkas bangun menunaikan solat Maghrib. Kemudian dia menunaikan solat sunat taubat.

Ketika sujud terakhir, Maryam flashback kehidupannya selama ini. Dia tersedar selama ini dia terleka. Dia lalai. Dia terlalu mengejar duniawi. Dia mengejar cinta manusia.

Banyak hak Penciptanya tidak dilaksanakan sebaiknya. Terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepadanya tetapi tidak pernah disyukuri.

Malah, seringkali dia membandingkan kehidupannya dengan kawan-kawan lain yang lebih baik menurut pandangan matanya. Dia bersangka buruk pada penciptaNya.

Waktu lapangnya sebelum ini digunakan untuk perkara-perkara yang melalaikan seperti menonton wayang dan melepak di kedai mamak bersama kawan-kawan sehigga lewat malam.

Solat fardhunya tunggang-langgang. Sehingga kadangkala sengaja ditinggalkan dek kerana keletihan dengan urusan duniawi.

Al-Quran jarang sekali dia buka dan baca. Pakaiannya ketat, sendat dan menampakkan susuk tubuh.

Astaghfirullahal’azim. Dia beristighfar memohon ampun pada yang Maha Esa. Teresak-esak Maryam menangis di hadapan Allah. Basah sejadahnya dengan linangan air mata penyesalan.

Selesai solat taubat, Maryam mengangkat tangan berdoa,

Rabbanaa Laa Tuzigh Quluubanaa Ba’da Idz Hadaitanaa wa Hab Lana Mil-Ladunka Rahmatan Innaka Antal-Wahhaab”

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia).” (Surah Ali Imran 3:7)

Maryam memohon keampunan atas segala dosa-dosanya. Dia berharap agar Allah menerima taubatnya.

Maryam kembali teringat gadis mualaf petang tadi. Semakin deras air matanya gugur. Bersyukur kerana Allah telah memilihnya untuk hidayah yang tak ternilai melalui gadis mualaf itu.

Setelah puas menangis, Maryam berazam untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Maryam mula dengan menjaga solatnya di awal waktu. Kemudian, Maryam mula menutup auratnya dengan lebih sempurna. Tudungnya menutup dada. Bajunya longgar.

Maryam mula belajar membaca Al-Quran. Selepas solat Maghrib, dia akan pastikan dia membaca Al-Quran walaupun cuma sebaris ayat secara merangkak-rangkak.

Dia mula menjaga adab dan iktilat ketika di tempat kerja. Kini, Maryam tidak lagi mengejar cinta manusia, malah Maryam lebih gemar mengejar cinta Allah. Maryam sedar bahawa cinta Allah lebih agung daripada cinta manusia yang berbolak-balik.

Ketika inilah, seorang sahabat memperkenalkannya dengan blog iLuvislam. Dari situ banyak iktibar, nasihat dan amalan yang Maryam pelajari dan amalkan supaya dia terus istiqamah dengan perubahannya.

Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan demi meneruskan hijrahnya. Teman-teman rapat mempersoalkan hijrahnya. Ada juga yang memerlinya. Ada juga cuba menabur fitnah terhadapnya.

Ada juga yang memprovokasi supaya kembali kepada kehidupan sebelumnya. Namun, dengan izin Allah, Maryam berjaya menepis cabaran-cabaran tersebut.

Alhamdulillah, kini Maryam mula selesa dengan perubahan dirinya yang baharu. Di setiap perbuatannya, Maryam memikirkan apa yang Allah fikirkan tentang dirinya terlebih dahulu.

Maryam jarang mengambil kisah apa yang orang sekeliling fikirkan tentang dirinya. Maryam kini tenang dalam menjalani kehidupan harian. Ketenangan yang tidak pernah dia rasakan sebelum ini. Ketenangan yang tidak dijual di mana-mana!

Kini, dia lebih suka kongsikan segala kesusahan yang dilalui, setiap kesedihan yang dirasai, kegembiraan yang dikecapi dengan Allah azza wajalla.

Sama ada dalam sujud dan dalam tahajudnya, tidak pernah putus dia berdoa untuk ahli keluarganya, sahabatnya, suaminya, muslimin dan muslimat, pejuang-pejuang Islam dan para pendakwah Islam.

Seringkali bibirnya menyebut, “Alhamdulillah” dan selawat ke atas nabi junjungan. Tasbih digital tidak lepas dari jarinya.

Maryam bersyukur kerana Allah memilihnya untuk hidayah itu. Walaupun perit, walaupun sakit pada awalnya Maryam tetap teruskan langkahnya kerana nikmat di penghujung jalan itu berharga bak permata.

Syurga Firdausi menjadi matlamat hidupnya kini. Pengakhiran yang khusul khotimah menjadi dambaannya.

******

Wahai sahabatku,
Nampak tak betapa lembut Allah menegur.
Tanpa mengaibkan walau sedikit. Tanpa kekerasan yang menyakitkan.
Kasih sayang Allah lebih besar daripada apa yang kita bayangkan.
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Mohonlah keampunan tanpa jemu. Moga-moga keampunannya milik kita semua.

Wahai sahabatku,
Moga Allah kurniakan kita hidayahNya.
Moga Allah lindungi kita daripada fitnah dajjal.

Moga Allah tetapkan iman kita dengan Islam.
Moga Allah kurniakan kita hati yang istiqomah.

Moga syurga milik kita. InshaAllah.

Wahai sahabatku,
Jangan pernah memperlekehkan sekecil-kecil usaha seseorang
yang cuba berubah ke arah kebaikan. Bantulah dia dan dukunglah usahanya.
Moga-moga kita menjadi asbab hidayah Allah kepada yang lain.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Ab’bah binti Hamzah. Merupakan pekerja eksekutif di sebuah syarikat swasta. Berlatar belakang pendidikan ijazah sarjana muda ekonomi, UM.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.