POLITIK BARAT
Politik menurut perspektif barat berasal daripada perkataan Greek ‘polis’ yang bermaksud ‘sebuah kota’.
Dikatakan masyarakat Yunani kuno memusatkan negara dan masyarakat ke dalam sebuah ibu kota yang dikenali sebagai Athena.
Setelah beberapa abad, muncul kota lain seperti Sparta, Thesallia, Corynthe, Mylithos dan kota Samos.
Bagi melindungi kota daripada serangan luar, mereka bersatu dalam satu kumpulan yang dipanggil sebagai ‘negara bangsa’.
Setelah bergabung, penggunaan ‘polis’ tetap tidak berubah yang memberi erti ‘pengurusan kenegaraan’.
Jadi, politik ialah proses pembentukan dan pembahagian kekuasaan dalam masyarakat dan negara.
SIASAH ISLAM
Siasah berasal daripada perkataan bahasa Arab سَاسَ yang bermaksud menjaga, mentadbir atau mengurus. Jadi, siasah ialah ilmu pemerintahan dalam urusan mentadbir manusia.
Perkataan siasah itu sendiri diambil daripada hadith Nabi Muhammad Sollaallahu ‘Alaihi Wasallam:
“Ia adalah kaum Bani Israel (Yahudi) siasah (hal-ehwal pemerintahan) mereka dipimpin oleh para nabi-nabi.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Para sarjana Islam mengatakan bahawa hukum mengangkat pemimpin untuk menguruskan kehidupan masyarakat Islam adalah wajib.
Seorang sarjana hukum dan pemikir Islam yang terkenal iaitu Muhammad Rashid Ridha mengatakan: “Telah sepakat ulama’ dahulu (salaf), ahli sunnah serta golongan Muslim yang lain bahawa pelantikan imam, ertinya pemberian mandat kepadanya untuk memerintah umat, hukumnya wajib ke atas kaum Muslimin, tidak sahaja menurut akal tetapi juga bersandarkan hujah syar’ie.”
Jadi, ‘siasah’ itu juga asal penggunaannya adalah untuk ilmu pemerintahan, sama juga penggunaan ‘politik’ dalam konsep barat.
Wallahu’alam.