,

Satu-satunya Sahabat Yang Mengahwini Dua Puteri Rasulullah

Zun Nurain yang membawa maksud ‘yang memiliki dua cahaya’. Siapakah dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW yang menerima gelaran indah ini?

Beliau merupakan khalifah Islam ketiga daripada Khulafa Al-Rasyidin pada tahun 644 hingga 655 Masihi, selama 12 tahun.

Beliau juga merupakan salah seorang daripada sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga oleh Allah SWT.

Itulah Uthman bin Affan bin Abu Al-‘As bin Umayyah bin Abdul Syams bin Abdul Manaf r.a.

Kekayaannya melimpah-ruah, namun sedikit pun tidak melekakannya dalam perjuangan agama. Ilmunya dalam bidang perniagaan tiada tolok tandingnya.

Keberaniannya pula dalam Islam melambangkan betapa hebat imannya kepada Allah dan Rasul.

Dirinya cukup hebat dan mulia hinggakan para malaikat pun merasa segan dan malu dengan peribadinya.

Rasulullah SAW menjaga cara bercakap dan duduk Baginda apabila bertemu dengan Saidina Uthman.

Saidatina Aisyah r.h.a bertanya pada Baginda Nabi apabila melihat tingkah Nabi yang berubah tiap kali bertemu dengan sahabatnya itu.

Rasulullah SAW menjawab: “Apakah tidak wajar aku segan dan malu kepada seseorang yang malaikat sendiri pun segan dan malu kepadanya?”

Keistimewaan Saidina Uthman bukan sekadar itu kerana beliau merupakan satu-satunya manusia yang mengahwini dua puteri Rasulullah SAW.

Kerana itulah Saidina Uthman digelar Zun Nurain, yang memiliki dua cahaya lantaran dua puteri Rasulullah SAW menjadi penyeri hidupnya; Ruqaiyah binti Muhammad SAW dan Ummu Kalthum binti Muhammad SAW.

Perkahwinan pertamanya dengan Ruqaiyah r.ha tidak berpanjangan kerana Ruqaiyah r.ha meninggal dunia semasa Perang Badar.

Bagi mengubat kesedihan yang dialami oleh Saidina Utman, Allah menurunkan wahyu kepada Rasulullah SAW untuk mengahwinkan Saidina Uthman dengan Ummu Kalthum r.ha.

Begitulah caranya Allah memuliakan Saidina Uthman ini. Rasulullah SAW tidak berlengah dalam melaksanakan wahyu tersebut dan Baginda cukup gembira dengan perkhabaran wahyu itu.

Selepas kematian Ummu Kalthum, Rasulullah SAW pernah memberitahu para sahabatnya yang lain, Baginda akan kahwinkan Saidina Uthman dengan puterinya sekiranya Baginda masih memiliki lagi anak perempuan.

Sabda Rasulullah SAW: “Kahwinkanlah Uthman. Sekiranya aku masih memiliki puteri yang ketiga, pasti akan aku kahwinkannya dengan Uthman, kerana aku tidak kahwinkannya dahulu, melainkan dengan sebab wahyu daripada Allah.”

Saidina Uthman bin Affan, seorang sahabat yang cukup dermawan yang memiliki gelaran Zun Nurain.

“Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah; hatinya selalu berniat suci, lidahnya selalu basah dengan zikrullah, kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa), segala perkara dihadapinya dengan sabar serta tabah dan mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.” -Saidina Uthman bin Affan r.a-

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.