Disebabkan lokasi Tabuk begitu jauh iaitu kira-kira 778 km dari Madinah, maka Rasulullah menggalakkan para sahabat untuk berinfaq atau menderma untuk perang Tabuk, malah Baginda juga menjanjikan pahala besar di sisi Allah bagi yang berinfaq.
Antara sahabat yang memberi infak yang terbesar ialah Uthman bin Affan.
Abdul Rahman bin Khabbab menceritakan perkara ini: “Aku melihat Nabi Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam ketika Baginda memberi saranan terhadap pasukan Usrah (pasukan Tabuk).
Kemudian Uthman bin Affan berdiri sambil berkata: “Wahai Rasulullah, aku akan memberikan seratus unta lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah.”
Kemudian Baginda memberi saranan terhadap pasukan tersebut, maka Uthman bin Affan berdiri sambil berkata: “Wahai Rasulullah, aku tambah dua ratus lagi lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah.”
Kemudian Baginda memberi saranan terhadap tentera, maka Uthman bin Affan berdiri sambil berkata: “Wahai Rasulullah, aku akan menambah tiga ratus unta lagi lengkap dengan muatan dan pelananya uuntuk (berjuang) di jalan Allah.”
Maka aku (Abdul Rahman bin Khabbab) melihat Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam turun dari mimbar sambil bersabda: “Maka tidak ada lagi yang dapat membahayakan Uthman setelah kebaikannya ini, tidak ada lagi yang dapat membahayakan Uthman setelah kebaikannya ini.”
(Hadith riwayat Tirmidzi)
Dalam riwayat lain pula, Abdul Rahman bin Samurah r.a., berkata: “Uthman bin Affan pernah datang kepada Nabi Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam dengan membawa wang seribu dinar di dalam pakaiannya, ketika Nabi Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam tengah menyiapkan pasukan Usrah (perang Tabuk).”
Abdul Rahman berkata: “Kemudian Uthman menumpahkannya di bilik Nabi, kemudian Baginda membungkusnya dengan tangannya seraya bersabda: “Tidak akan ada membahayakan Ibnu Affan setelah apa yang dia lakukan hari ini,” dan Baginda mengulangi ucapannya hingga beberapa kali.”
(Hadith riwayat Ahmad)
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)