,

Terasa Bahagia Apabila Melihat Pelajarnya Berjaya

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2016) diumumkan pada 16 Mac 2017. Sijil Padang Mahsyar (SPM) kita pula bilakah agaknya?

Hati murninya tetap gundah dengan sebarang keputusan untuk subjek yang diajarnya untuk SPM kali ini. Dirinya terasa akan keputusan tahun ini tidak akan sama dengan keputusan SPM 2015.

Entah mengapa hatinya berkata demikian. Hatinya gusar dengan telepati hatinya yang sentiasa menari-nari memikirkan jawapan yang bakal terjawab nanti.

Teringat dia ayat 27 dan 28 surah al-Fajr :

“ Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan redha-Nya.”

Apabila keputusan SPM diumumkan. Dirinya melihat ada yang menangis gembira tergambar pada wajah pelajar-pelajarnya.

Ada juga wajah redha dengan keputusan yang diperoleh. Ada yang kecewa dengan keputusan itu dan ada juga yang menangis kerana gagal mendapat keputusan yang diharapkan.

Apabila melihat peratusan subjek yang diajarnya menurun untuk tahun tersebut, hatinya mula disapa kecewa. Ramalannya benar belaka.

Namun, dia pasrah dengan takdir Tuhan untuknya kali ini. Mungkin ada khilaf dalam dirinya semasa mengajar mereka dan  mungkin dia tidak menyedari tentang hal tersebut.

Maafkan cikgu…

Tiba-tiba telefonnya berbunyi menandakan ada mesej masuk. Dia segera membuka mesej tersebut.

“Cikgu, terima kasih sebab ajar saya bahasa Melayu dengan baik. Akhirnya saya lulus. Saya sudah bersyukur dengan gred C daripada keputusan sebelum ni yang asyik gagal setiap kali peperiksaan.”

Dia hanya membalas, “Tahniah, Adib dah berusaha untuk tidak gagal subjek cikgu. Semoga terus berjaya untuk langkah seterusnya.”

Mengimbau kenangan dengan pelajar ini. Dia tersenyum gembira. Segala usahanya berbaloi apabila pelajar ini tidak gagal untuk subjeknya.

Walaupun subjek bahasa Melayu, tidak semua pelajar benar-benar menguasai bahasa Melayu kerana ledakan pengaruh gajet yang semakin canggih.

Teringat dia kisah bekas pelajarnya pada tahun 2015, kisah seorang pelajar lelaki yang tidak mahu menjawab soalan novel. Soalan novel mengandungi 15 markah. Baginya soalan itu susah dan dia merupakan seorang yang malas membaca novel.

Teringat dia bagaimana pelbagai cara digunakan untuk memaksa pelajar ini menjawab soalan novel kerana dia tahu itu merupakan tanggungjawabnya untuk memastikan semua pelajarnya menjawab semua soalan.

Dia bersyukur pelajarnya ini orangnya lembut hati walaupun pada mulanya menampakkan reaksi tidak puas hati terhadap dirinya yang asyik memaksa menjawab soalan novel dan karangan.

“ Cikgu, saya tak nak jawab soalan novel ni. Novel ni susah nak faham.”

“ Cikgu, karangan saya tak ok lagi ke? Saya rasa dah ok, emak saya pun cikgu bahasa Melayu tau.”

Dia segera menjawab setiap soalan pelajarnya dengan berhikmah. Tersalah jawab nanti bahaya juga. Dia cuba bersabar dengan pelajarnya ini apabila dibandingkan dengan emaknya.

“ Nanti cikgu buatkan awak rasa novel ni senang je nak faham.”

Dia segera mengatur strategi untuk pelajar-pelajarnya. Dia tidak memahami kenapa pelajar zaman sekarang mudah sahaja hendak membuang soalan tanpa berusaha terlebih dahulu.

Baginya masih ada ruang waktu untuk memastikan semua pelajarnya menjawab soalan novel terutamanya Zamir.

Benarlah al-Quran ada kata dalam surah al-Ra’d ayat 28:

“Iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingat Allah jua hati menjadi tenteram.”

Alhamdulillah…

Dia menemui sebuah buku yang menjawab setiap persoalannya. Buku tersebut membantunya dalam pengajaran novel kepada pelajar-pelajarnya.

Akhirnya, pelajar tersebut rasa bersalah terhadap dirinya. Pelajar tersebut meminta maaf dan mendengar setiap nasihatnya. Akhirnya Zamir memperoleh A untuk subjeknya.

“Cikgu!!!”

Terdengar namanya dipanggil. Mengelamun jauh nampaknya dia teringat kisah lepas. Dia segera menoleh ke arah panggilan itu.

Kelihatan Mardhiah, pelajarnya yang baru sahaja mendapat keputusan SPM.

“Cikgu, saya berjaya dapat A untuk subjek cikgu. Saya takut tak dapat A sebab ada buat salah hari tu dengan cikgu.”

Mardhiah segera memeluk gurunya. Air matanya laju mengalir. Entah mengapa terasa baru semalam dia mendengar celoteh gurunya ini yang selalu memegang batang penyodok setiap kali masuk ke kelasnya.

Gurunya sentiasa tegas dengan pelajarnya yang malas membuat kerja rumahnya. Terasa rindu pula dengan batang itu yang menjadi simbol yang mengingatkan dia tentang guru di hadapannya itu.

“ Cikgu nak tahu, saya sebenarnya ada tiga soalan tak boleh nak jawab. Tetapi, apabila ke tandas dan ternampak penyodok di kaki lima tu terus je nampak reaksi cikgu sedang pegang batang penyodok tu…” tawa gurunya kedengaran.

Mardhiah, benar dia ada buat salah dengannya. Pelajar ini merupakan antara pelajar yang pandai di dalam kelas itu. Setiap kali peperiksaan, Mardhiah akan mendapat A- untuk subjeknya.

Tetapi, pada suatu hari pelajar ini sedang asyik berborak dengan rakannya di sebelah tanpa mempedulikan kehadirannya yang sedang mengajar. Pada waktu itu, dirinya terus memarahi Mardhiah.

“Awak berdua berdiri! Cikgu ada di depan ni boleh pula awak berdua rancak berborak. Awak rasa dah cukup mahir ke bahasa Melayu? Cikgu tengok biasa je ayat awak berdua. Mardhiah! Awak jangan rasa dah dapat A- subjek cikgu untuk peperiksaan kali ni boleh dapat A dalam SPM ni. Jangan mimpi!”

Pada percubaan SPM, dirinya berdoa supaya Mardhiah tidak mendapat markah 70 ke atas. Doanya dimakbulkan. Mardhiah mendapat 64, iaitu gred B. Dirinya perlu mengajar Mardhiah supaya dia sedar hidup ni ada di atas dan ada di bawah.

Apabila pelajarnya itu bersungguh-sungguh minta maaf, “Cikgu, maafkan saya…”

Air matanya mengalir laju. Gurunya hanya diam memandangnya. Dia tahu gurunya masih marah dengan dirinya.

“ Cikgu, tolong maafkan saya. Saya nak keberkatan guru untuk saya jawab SPM nanti.”

Hati gurunya tersentuh dan  memaafkan. Semoga Mardhiah mendapat keputusan yang cemerlang untuk SPM ini. Doanya dalam hati.

Alhamdulillah… Mardhiah memperoleh 8A 1B.

Seorang guru akan terasa bahagia apabila melihat pelajarnya berjaya dengan cemerlang.

Semoga setiap ilmu menimbus lubang kejahilan dalam kehidupan Mardhiah.

Semoga anakanda semua berjaya di dunia dan di akhirat. Doakan bonda sentiasa bersabar dengan pelajar-pelajar yang semakin hari semakin banyak ragamnya.

Guru…
Kentalkan hatimu!
Sentiasalah dalam lautan sabar
Walaupun ledakan gunung berapi menimpamu!

Guru…
Kentalkan hatimu!
Demi anak bangsa yang dahagakan ilmu.

Guru…
Semoga Yang Maha Adil
membalas setiap titik peluhmu
yang mengalir niat kerana-Nya.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei. Berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.