“Kenapa ramai guru yang tak tanda tangan buku kehadiran kelas awak ni? Setakat jam 11.00 pagi ni, belum ada cikgu yang masuk ke?” Tanya Cikgu Nazom kepada murid-murid Tingkatan 2A3.
Beberapa orang murid menjelaskan bahawa memang belum ada guru yang masuk, kecuali seorang dua. “Mereka tak turunkan tanda tangan,” kata mereka.
“Eh! Awak semua ada buat salah ke sampai ramai yang tak masuk dan tak tanda tangan?” Tanya Cikgu Nazom inginkan kepastian. “Ke awak ni semua tak pedulikan Cikgu waktu dalam kelas? Mungin ada yang berkecil hati atas sambutan awak semua.”
“Mungkin ada cikgu. Kami manusia biasa. Tak sunyi daripada salah silap, cikgu,” kata seorang daripada mereka.
“Saya fikir, awak semua patut sedar dan insaf bahawa anak-anak murid patut lebih bersedia belajar dan bersedia sewaktu dalam majlis ilmu. Waktu saya inipun, saya lihat ramai yang tak buka buku, dan buat kerja lain. Munasabah jika ramai guru berasa tersinggung dan kurang berminat nak masuk mengajar,” kata Cikgu Nazom.
Itu sebahagian daripada dialog antara guru dengan anak-anak murid di sebuah sekolah pada suatu hari. Ada waktu tertentu, mereka bersendirian dalam bilik darjah kerana ramai guru sibuk dan tidak dapat masuk ke kelas mereka.
Di samping itu, ada antara guru yang ditugaskan berkursus atau menghadiri mesyuarat di luar sekolah.
Umum mengetahui akan peri pentingnya urusan ilmu. Tanpa ilmu, seseorang pasti akan kekal jahil dalam kehidupannya. Ia diumpamakan berada dalam kegelapan.
Jika dia mahu keluar daripada keadaan tersebut, dia perlu pergi menuntut ilmu dan seterusnya mengamalkan ilmu yang dipelajari. Tanpa sesuatu ilmu, seseorang akan tertinggal malahan boleh terjebak ke dalam alam sesat dan melarat.
Menuntut ilmu dan mengamalkannya adalah tanggungjawab semua manusia di Bumi ini. Ia membantu manusia ke arah menyempurnakan peranan manusia sebagai hamba Allah dan khalifah di atas muka Bumi.
Tambahan pula, Allah akan menaikkan taraf orang yang menuntut ilmu beberapa darjat. Ini dengan jelas menunjukkan kepentingan sesuatu ilmu itu. Firman Allah Ta’ala dalam sebahagian ayat 11, Surah al-Mujadalah,
mafhumnya:
“… supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat…”
Menuntut ilmu adalah wajib. Ia diwajibkan bagi menyempurnakan peranan manusia yang dinyatakan tadi. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW,
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
maksudnya: “Menuntut lmu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam (lelaki dan perempuan).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan lain-lain)
Selain daripada itu, urusan menghormati para guru juga perlu ditekankan agar semua pihak dapat manfaat budaya rajin mencari ilmu, menghormati para guru, selain bersedia lebih awal dan bersungguh-sungguh.
Selain bersedia daripada segi hati dan perasaan, seseorang penuntut ilmu turut perlu membantu menyediakan mana yang patut keperluan di tempat belajar. Ini agar ianya selesa dan menyedapkan mata serta hati yang menghadirinya.
Para penuntut ilmu juga perlu sentiasa menjaga tutur bicara dan perawakan masing-masing agar tidak menyinggung mana-mana pihak lebih-lebih lagi guru.
Jika kita menghormati pihak-pihak lain, maka kita juga akan dihormati. Guru di sini termasuklah pensyarah, pemudahcara, jurulatih, pembimbing dan yang seumpamanya.
Nabi Muhammad SAW. bersabda,
كُنْ عَاْلِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا أَوْ مُسْتَمِعًا أَوْ مُحِبًّا وَلاَ تَكُنْ خَاْمِسًا فَتَحْلِكَ
Maksudnya: “Jadilah kamu orang yang menuntut ilmu (berilmu), atau orang mencari ilmu, atau orang yang suka mendengarkan ilmu, atau orang yang menyukai ilmu. Jangan menjadi orang yang kelima maka, kamu akan binasa (celaka).” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka, Allah akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya sesame mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 4867)
Nabi Muhammad SAW. juga bersabda,
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ طَالِبَ الْعِلْمِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانِ فِي الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Maksudnya: “Dari Abu Darda’: Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang melalui satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan mempermudah baginya jalan menunju ke Syurga. Para malaikat akan membentangkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Penghuni langit dan Bumi hinggakan ikan yang ada di dalam air mendoakan keampunan kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya, keutamaan seorang ‘alim dibandingkan dengan seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama atas semua bintang. Sesungguhnya, para ulama adalah pewaris Nabi dan para Nabi tidak mewariskan dinar atau dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya maka, dia telah mengambil bahagian yang sangat besar.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 219)
Sumber Rujukan:
http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1122-irsyad-al-hadith-siri-ke-109-kelebihan-menuntut-ilmu
http://quranicgen.com/6-kelebihan-orang-yang-menuntut-ilmu/
http://ii.islam.gov.my/hadith/detailed.php?id=7
Tamat.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Shahrun Nizam bin Shahir. Berasal dari Tangkak, Johor.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.