, ,

Apa Yang Guru Baharu Ini Lakukan Sehingga Pelajarnya Berubah

Iman Khadijah binti Khairul Adli, guru baharu yang masih mentah dengan dunia pendidikan. Dia mengajar di sebuah sekolah swasta yang terdapat di ibu kota.

Dia mengakui bahawa dia masih mentah dengan dunia pendidikan, tetapi jiwanya sentiasa mahu belajar dan mengajar pelajar-pelajarnya. Dia juga ingin memastikan pelajar-pelajarnya menjadi insan yang berguna di dunia dan di akhirat.

“Iman Khadijah, awak dapat kelas 5 Al Farabi…”

Untuk pertama kali menjadi guru kelas, dia diberi tanggungjawab memegang kelas Tingkatan 5. Kelas ini mempunyai 17 orang pelajar, iaitu hanya empat orang pelajar perempuan dan 13 orang pelajar lelaki.

Kelas ini merupakan kelas kedua memandangkan di sekolah swasta ini hanya mempunyai dua kelas sahaja untuk setiap tingkatan. Kelas ini merupakan kelas Akaun.

Pelajar-pelajar di kelas 5 Al Farabi ini mempunyai pelbagai ragam.

Ada  pelajar yang nakal. Ada pelajar yang malas belajar. Ada pelajar yang rajin belajar. Ada juga pelajar yang rajin datang ke sekolah, tetapi hobinya tidur di dalam kelas.

Oleh itu, setiap pelajar ada ragam mereka yang tersendiri.

Guru baharu ini sedar bahawa kelas ini menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan pelajar-pelajar di kelas ini berubah menjadi insan yang berguna.

Setiap pagi, dia akan naik ke kelas 5 Al Farabi untuk memastikan kelasnya dalam keadaan bersih. Dia cuba mendekati mereka. Apabila terdapat pelajar yang tidak hadir, dia akan terus bertanya sebab tidak hadir ke sekolah.

Pada setiap bulan pula, dia akan membelikan kek untuk meraikan hari kelahiran mereka yang berkenaan.

Ada pelajar-pelajar dari kelas lain cemburu dengan keprihatinannya terhadap mereka. Ada  juga guru-guru lain mengadu tentang mereka. Mereka mengadu tentang sikap pelajar-pelajar di kelas itu.

Ada yang suka tidur dalam kelas. Ada yang suka ponteng kelas. Ada yang selalu ke tandas. Ada yang suka berborak dan ada yang malas belajar.

Apabila ramai yang mengadu tentang mereka, dia terasa sakit mendengar aduan yang pelbagai aspek. Dia menangis sendiri. Dia terasa dirinya tidak boleh menjadi guru kelas yang baik untuk mereka. Dia merasakan beratnya dugaan ini.

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “ Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? Dan sungguh Kami telah menguji 0rang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti Mengetahui orang-orang yang benar  dan pasti Mengetahui orang-orang yang dusta.”

~ Surah Al- ‘Ankabut : ayat 2-3 ~

Dia mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini. Dia mahu mereka berubah memandangkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal tiba. Dia harus tabah menghadapi dugaan ini. Dia yakin Allah akan sentiasa menolongnya.

Subjek bahasa Arab merupakan subjek yang paling tidak diminati oleh pelajar nakal di kelas ini. Oleh sebab itu, dia mengambil keputusan untuk melihat sendiri mereka belajar semasa subjek tersebut.

Dia sanggup berdiri selama satu jam untuk memastikan mereka belajar bahasa Arab. Dia sanggup mundar-mandir di hadapan kelas itu sambil melihat mereka belajar di ruang tingkap kelas. Apabila pelajar nakal melihat kelibatnya di luar kelas, lantas bangkit dari tidur.

Mungkin ada yang menganggap dia melakukan kerja yang sia-sia. Tetapi, dia tidak pernah kisah dengan sindiran orang lain. Dia hanya mahu pelajar-pelajar 5 Al Farabi tahu bahawa dia sangat prihatin terhadap mereka.

Dia mahu melihat mereka menjadi insan yang berakhlak mulia walaupun dalam bab belajar mereka agak ketinggalan berbanding kelas lain.

Namun begitu, ada satu peristiwa pahit telah terjadi yang mengundang deritanya. Dia diboikot oleh pelajar-pelajar lelaki kelas tersebut. Dia diboikot kerana melaporkan perbuatan mereka menghisap vape kepada ibu bapa. Dia tahu dia perlu laporkan kes tersebut kepada pihak disiplin.

Tetapi, dia mengambil keputusan sendiri. Dia terus menghantar bukti, iaitu gambar berkenaan kepada ibu bapa mereka yang terlibat. Dia mengambil bukti di laman sosial, iaitu we chat dan instagram.

Mereka memboikot selama seminggu. Ada yang ponteng kelasnya. Ada yang diam membisu. Ada yang memukul meja di hadapannya sebagai tanda protes. Ada yang sengaja tidak hadir ke sekolah.

Apabila terjumpa di mana-mana, mereka hanya buat muka protes. Diam tanpa bicara. Di laman sosial pun ada yang mengatanya. Dia hanya membaca dan menangis sendirian.

Dia pasrah dengan ujian ini. Dia berdoa supaya Allah bukakan hati mereka supaya mereka sedar kesilapan mereka. Dia percaya ada hikmahnya nanti.

“ Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”

~ Surah Al- Baqarah : ayat 286 ~

Namun begitu, masih ada pelajar yang prihatin dan cuba memastikan keadaan kelas kembali ceria seperti gelaran yang dia berikan untuk mereka, iaitu penglipur lara.

Ada juga ibu bapa yang mengetahui tentang boikot ini, cuba menasihati anak mereka. Akhirnya, setelah seminggu berlalu. Dia mendapat kad daripada kelas 5 Al Farabi. Kad mohon maaf. Hatinya berbunga riang kembali.

Alhamdulillah. Doanya dimakbul oleh-Nya. Terima kasih Tuhan. Setelah peristiwa itu, mereka rajin belajar dan bersikap baik terhadapnya. Mereka juga selalu datang ke sekolah dan menyiapkan kerja rumah yang diberikan olehnya.

Alhamdulillah… Dia tersenyum puas hati dengan setiap usahanya apabila mereka berjaya. Seorang pelajarnya ke Mesir dan seorang lagi ke Yaman untuk menyambung pelajaran seterusnya.

Mungkin inilah perasaan yang telah dilalui oleh guru-gurunya apabila pelajar-pelajar berjaya ke menara gading.

Alhamdulillah… bertabahlah guru-guru! Ganjaran Allah pasti menanti dirimu!

Jangan pernah lelah dalam mengajar remaja pada zaman kini kerana biar lelah itu niat kerana-Nya pasti DIA sentiasa menyenangkan kerja kita dalam setiap aspek kehidupan. Selamat beramal kerana Allah!

Sesungguhnya setiap kesulitan ada kemudahan.Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. ~ Surah Al Insyirah : ayat 5-6 ~

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei. Berasal dari Kota Bharu. Kelantan.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

25 points
Upvote Downvote

Total votes: 43

Upvotes: 34

Upvotes percentage: 79.069767%

Downvotes: 9

Downvotes percentage: 20.930233%