,

Memaafkan, Untuk Sebuah Ketenangan

Baru-baru ini tular di media sosial sebuah rakaman video tentang seorang Muslim atau lebih tepatnya seorang ayah yang telah memaafkan seorang pesalah lelaki yang didapati terlibat dalam kes pembunuhan anak lelakinya (Salahuddin Jitmoud), ketika perbicaraan di sebuah mahkamah di Amerika Syarikat.

Apa yang cukup memberi kesan kepada hati orang ramai khususnya netizen, riak wajah ayah mangsa bunuh, (Dr. Abd. Munim Jitmoud) kelihatan sangat tenang ketika diberi peluang memberi ucapan ringkas (yang layaknya dipanggil sebagai nasihat dari hati seorang bapa kepada seorang anak) kepada pelaku kes bunuh terbabit dalam suasana yang cukup mengharukan.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut memanggil pesalah dengan panggilan ‘anakku’ – satu panggilan keramat yang sangat menyentuh, yang pastinya lahir dari sebuah jiwa yang lapang dan reda.

Mudah atau Sukar Memaafkan

Memaafkan. Memberi kemaafan kepada pesalah sememangnya merupakan hak seseorang individu apabila dirinya disakiti, dikhianati atau dikasari.

Sesetengah orang bersifat pemaaf, mudah memaafkan kesalahan orang lain terhadapnya. Malah ada yang senang melupakan dan memaafkan walaupun dikhianati dengan sebesar-besar pengkhianatan.

Sesetengah yang lainnya pula begitu sukar atau mengambil masa yang lama untuk memaafkan walau mungkin kesilapan pelakunya tidak disengajakan atau tidaklah sebesar mana.

Malah, ada juga yang lebih ego, langsung tidak memberi kemaafan walaupun setelah dirayu.

Tak kurang juga yang membalas dendam, pastinya dengan campur tangan nafsu amarah, bukan dengan pertimbangan akal yang waras.

Tak semua orang sanggup menebalkan muka, merendahkan ego untuk meminta maaf selepas membuat kesilapan, sama ada sengaja atau tidak.

Sebagaimana tak semua orang berjiwa berani untuk mengakui kesilapannya sendiri. Tak ramai juga yang mampu berkata, “Aku sudah memaafkanmu, sebelum kau meminta maaf lagi.

Apatah lagi jika berada di dalam situasi yang agak berat seperti berhadapan dengan pembunuh yang telah membunuh ahli keluarga sendiri.

Sukar. Lebih-lebih lagi kerana ianya melibatkan emosi. Emosi yang tercalar agak memakan masa untuk pulih seperti sediakala.

Memang tidak dinafikan, bagi sesiapa yang pernah mengalami situasi berat (seperti yang telah dinyatakan) menghulur sebuah kemaafan itu merupakan sesuatu yang amat mahal dan tak ternilai.

Memaafkan untuk Ketenangan Jiwa

Namun pernahkah kita terfikir bahawa kita akan kecapi sejenis perasaan yang tak terungkap dengan kata-kata saat kita memberi kemaafan dengan seluhur-luhur jiwa yang ikhlas?

Tatkala kita berlapang dada memaafkan, saat itulah Tuhan menganugerahkan satu perasaan yang tak mungkin akan kita raih andai masih wujud walau sehalus virus dendam yang berbaki.

Ketenangan. Kerana yang tenang itu datang bila terpadam dendam, terhapus benci.

Kerana itulah tanya sama hati, benar tuluskah kita memaafkan andai masih tersisa dendam dan benci?

Dendam takkan membawa kita ke mana-mana. Memendam dendam ibarat mengurung penjarakan segala benci, marah, kesumat dalam hati.

Selagi tak dilepas bebas, selama itulah ia menyesakkan dada dan membahang panas. Bahagiakah kita jika dalam dada padat sarat dengan zulumat kesumat?

Bila amarah merasuk jiwa sehingga mendorong sifat bakhil memaafkan, terkadang kita cenderung lupa bahawa kita insan, bukan Tuhan.

Kita lupa, kita insan yang tak pernah sesaat pun sempurna, terkadang khilaf dalam sedar atau leka. Kita lupa bahawa kita juga perlukan kemaafan, bila mana kita khilaf.

Kita lupa bahawa Sang Khaliq itu bersifat Maha Pengampun, jadi taraf apalah kita sebagai hamba untuk terus membiarkan pelaku yang bersalah terus mengemis secebis kemaafan daripada kita?

Firman Allah, “Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?” (Surah An-Nuur: 220)

Sebelum terfikir untuk tidak memaafkan kesalahan orang lain, luangkan seminit dua buat akal menilai tara.

Bahawa tidak luak sesen pun dari harta kita bila sudi memaafkan. Tidak rugi. Bahawa tidak pernah terhina atau jatuh pun maruah seseorang yang sudi menghulurkan maaf.

Bahawa bila kita sudi memaafkan, manfaat dan nikmat darinya adalah ketenangan jiwa sendiri yang akan kita rasai.

Untungnya, kita dapat di dunia dan akhirat. Walaupun realitinya agar sukar untuk memaafkan di dalam situasi yang tak terjangka.

Terapi Jiwa Mukmin

Memaafkan itu sebagai terapi buat jiwa. Kerana hidup ini terlalu singkat untuk hanya terbazir melayan dendam.

Dendam itu beban berat bagi jiwa, maka lepaskanlah dengan memaafkan setulus hati.

Tidak salah untuk mengingat kekhilafan/pengkhianatan orang ke atas kita namun bukan bertujuan untuk melunas dendam, malah sebagai iktibar buat diri agar sejarah tidak berulang lagi.

Mereka yang pemaaf bukan sahaja merupakan golongan hamba yang tabah malah berjiwa besar, meskipun mereka mampu untuk membalas perbuatan jahat itu.

Bila dalam hati tiada dendam dan benci, ibadah akan terasa lebih bererti.

Bila memaafkan tulus dari hati, satu waktu nanti bakal menjadi tradisi.

Bila memaafkan sudah menjadi tradisi, ketenangan jiwa dan segala yang positif lebih mudah dikecapi.

Bayangkan dunia ini dipenuhi manusia-manusia pemaaf. Tiada peperangan, tiada kemusnahan. Saling memaafkan mengutuhkan persaudaraan.

Semoga kita juga berjaya mendidik diri dan generasi mendatang menjadi seorang yang pemaaf.

 

 Maklumat Penulis

Artikel ini merupakan nukilan Nuna Amin. Nama sebenar, Nur Amalina bt Muhd Amin, berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan graduan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Fiqh & Usul Fiqh.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%