Kata orang, “Tuah ayam nampak di kaki. Tuah manusia hanya DIA yang tahu.”
Setelah tamat pengajiannya di Universiti Putra Malaysia, Serdang, dia mencari pekerjaan demi melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak yang membalas jasa kedua-dua ibu bapanya.
Dia tidak ingin menjadi seperti kacang lupakan kulitnya. Dia ingin membalas jasa kedua-dua ibu bapanya yang telah banyak berkorban masa dan harta untuknya sepanjang pengajian di UPM.
Dia ingin mencari pekerjaan demi melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang kakak kepada adik-adiknya yang masih belajar. Dia merupakan anak pertama daripada sepuluh orang adik-beradik.
Dia percaya akan rezeki milik DIA. Oleh itu, dia harus berusaha mencari pekerjaan walaupun majlis konvokesyen belum lagi berlangsung.
Dia telah menghantar resume di sebuah syarikat penerbitan untuk mencuba rezeki kerana impiannya untuk menjadi seorang penulis.
Namun begitu, temuduga pertamanya di sebuah syarikat penerbitan terpaksa dibatalkan kerana dia masih belum konvo. Dia pasrah.
“… dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya berputus asa daripada rahmat Allah hanyalah orang-orang yang kafir.” (Surah Yusuf: ayat 87)
Dia berusaha lagi mencari pekerjaan. Dia percaya akan rezeki milik DIA. Untuk kali kedua, dia mendapat temuduga di Selangor setelah berakhirnya majlis konvokesyen. Alhamdulillah, dia lulus temuduga tesebut. Dia diterima bekerja.
Namun begitu, sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampung halaman untuk menyampaikan berita gembira kepada keluarga, dia menerima satu panggilan telefon.
Panggilan itu merupakan panggilan untuk temuduga lagi. Tempat temuduga ini terletak di negeri kelahirannya sendiri.
“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan.”
Dia dalam dilema. Dia tertanya-tanya apa yang harus dilakukan. Dia terus menelefon kakak angkatnya. Kakak angkatnya berpesan,
“Mungkin rezeki adik akak ni di tempat kelahiran sendiri. Akak masih ingat lagi, adik ada bagitau akak yang adik nak bekerja di negeri sendiri. Tak nak jauh dengan umi dan ayah. Tak nak jauh dengan adik-adik…”
Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk pergi ke tempat temuduga tersebut. Temuduga sebagai guru di sekolah swasta.
Temuduga kali ni cukup berbeza. Dia terpaksa menempuhi tiga ujian.
Ujian pertama, iaitu ujian bacaan al-Quran dan hukum tajwid. Ujian kedua, ujian micro teaching, iaitu diberi satu tajuk dan mengajar di hadapan penemuduga. Manakala, ujian terakhir adalah sesi soal jawab bersama tiga orang penemu duga.
“Sekolah yang paling hampir dengan rumah awak ialah Dabong…” kata penemuduga yang sentiasa mengukir senyuman.
Hati terkejut. Dia tertanya-tanya. Adakah dia diterima bekerja di sekolah yang dimaksudkan itu? Dia teringat lagi pesanan kakak angkatnya.
“Mungkin rezeki adik akak ni di tempat kelahiran sendiri. Akak masih ingat lagi, adik ada bagitau akak yang adik nak bekerja di negeri sendiri. Tak nak jauh dengan umi dan ayah. Tak nak jauh dengan adik-adik…”
Oleh sebab itu, dia mengambil keputusan untuk menolak tawaran bekerja di Selangor itu. Dia menanti jawapan temuduga itu dengan sabar. Penantian itu satu kesabaran dan bukannya satu penyeksaan. Dia percaya akan rezeki milik DIA.
Alhamdulillah… dia diterima bekerja di sekolah itu.
“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan.”
Alhamdulillah…
Dia diterima bekerja di sekolah itu walaupun dia tidak ada pengalaman dalam bidang pendidikan.
Dia masih berpeluang berbakti kepada ibu bapanya dan adik-adiknya di negeri tercinta. Dia boleh melihat dengan matanya sendiri perkembangan adik-adiknya membesar.
Alhamdulillah…
Benar sekali! Rezeki milik DIA. Kita hanya mampu merancang, tetapi ALLAH jua yang tentukan rezeki kita…
“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan!!!”
Percayalah rezeki itu milik Allah. Rezeki itu tidak pernah salah alamatnya, cuma kadang-kadang terlewat sampai di alamatnya kerana sebab-sebab tertentu yang telah ditetapkan oleh-Nya.
Yakinlah dengan ALLAH!
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.