,

Duri-duri Ukhwah

Ku biar kalam berbicara,
Meluah maksudnya di jiwa,
Andai mudahku mengerti
segala yang terjadi
sudah suratan Ilahi

Air mata yang ditahan dari tadi, jatuh jua membasahi pipi. Perasaan yang selama ini dipendam akhirnya terhambur tanpa dapat ditahan lagi.

Hatinya terluka.

Sahabat yang selama ini di sisinya, yang selama ini bersamanya, yang menjadi kekuatan baginya, tiba-tiba menghilang entah ke mana.

Berkali cuba dihubungi. Nyata hampa. Mesej tidak dibalas. Panggilan tidak dijawab.

Mengapa? Kenapa? Entah ke berapa kali soalan ini menjengah ke mindanya.

Dia membuka komputer ribanya. Menekan icon carian Google. Lalu mendaftar masuk ke account muka buku miliknya.

Dia menulis sesuatu pada status muka bukunya. Butang hantar di klik.

“Ukhwah yang manisnya hanya pada bibir. Namun nyatanya cuma sampah yang tidak bernilai!”

Bila menulis dengan emosi, begitulah hasil sebuah penulisan dari hati yang bergelora dengan nafsu amarah, langsung tidak bernilai.

Hanya sekadar kata-kata yang menjadi duri yang mengguris hati. Bukan lagi penawar yang menyembuhkan.

Sedang dia sibuk menilik wall laman muka bukunya, satu pesanan ringkas tiba-tiba masuk di ruangan mesej. Kiriman daripada kakak naqibah usrahnya.

Dia segera membaca isi kandungan pesanan ringkas yang diterima.

Ukhwah itu bukan pada yang manis-manis sahaja.
Hari ini kita bahagia jalinkan ikatan persahabatan,
Yang berpaksi atas keimanan pada Tuhan.

Saling berkasih-sayang, saling berkongsi, saling menegur.
Kiranya semua yang dirasa yang baik-baik sahaja

Namun,
Indahnya tak kekal lama,
Ada suatu saat ikatan ukhwah ini diuji.
Lalu Allah membolak-balikkan hati-hati.

Kita yang kecewa mula lupa pada manisnya sebuah persabahatan,
Yang kita peduli cuma pada duri-duri ukhwah yang melukakan genggaman tangan
Dan semudahnya itu kita bicara ukhwah itu persis sampah?

Sedang kita ini berbuat apa dalam memelihara ikatannya,
Kita usaha apa untuk terus memekarkan harumnya?

Saat ada jiwa yang hanyut dalam kealpaan dunia, tidak dihulurkan tangan menggapai,
Saat ada jasad yang tergelincir jatuh, tak kita cuba menggenggam tangannya menarik ke atas.

Malah kita biarkan yang hanyut tenggelam dalam arus,
Kita abaikan yang jatuh hilang dalam kegelapan yang dalam.

Pada sekuntum bunga mawar yang sedang mekar,
Ada duri-duri pada tangkainya yang melindungi.
Seperti itulah ukhwah.

Dalam menikmati wangian harumnya,
Ada duri-duri tajam yang mungkin melukakan bila-bila masa saja.

Itu sudah menjadi suratan.
Kerana manusia ini tidak sempurna, pasti ada kelemahan di mana-mana.
Sahabat yang baik, adalah yang mampu menerima kelebihan dan kekurangan sahabatnya dengan hati yang penuh ikhlas.

Kita sahabat yang bagaimana?

Dia termangu sendirian memikirkan semula bait-bait kata daripada pesanan yang dibacanya. Ringkas namun mendalam maknanya. Rasa seperti terkena pada batang hidungnya sendiri.

Perasaan bersalah mula menyelubungi diri. Dia sudah tidak betah menunggu. Dia segera mencari status muka buku yang baru dikemas kininya tadi. Butang delete ditekan. Menyesal kerana terlalu mengikut emosi.

“Ya, ukhwah itu bukan pada yang indah-indah sahaja.”

Telefon bimbitnya dibuka. Tidak salahnya dia usaha lagi untuk kali ini. Satu nombor didail. Bismillah.

Bib… bip… bip…

“Assalamualaikum.” Ada suara di sana yang menyapa.

Dia tersenyum. Akhirnya, usaha yang membuahkan hasil. Dia rancak meneruskan perbualan. Inilah masanya, kerana terlalu banyak persoalan yang menuntut sebuah jawapan.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati Binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.