Kini, aku sudah menginjak 18 tahun usiaku. Banyak perkara dan pengalaman yang telah pun kutempuhi. Baik hal berkaitan dengan keluarga mahupun sekolah.
Sememangnya setiap dugaan mahupun ujian yang aku tempuhi sedikit sebanyak mematangkan diriku ini. Benarlah kata orang, pengalaman banyak mematangkan diri manusia.
Sedang aku leka membaca semua notification yang masuk di aplikasi whatsapp di balkoni bilik, datang salah seorang ahli bilikku.
Lina namanya. Aku mempunyai 3 orang ahli bilik. Seorang dari Sarawak, seorang dari Pulau Pinang dan seorang lagi dari Kuala Lumpur.
“Haaaa… buat apa tu?” Sergah Lina.
Kus semangat…
“Ish, tak baik tahu terkejutkan orang. Nasib aku tak ada penyakit jantung. Hmm, nak apa sebenarnya ni?” Tanya aku.
“Hmm… saja ja tegur, takkan tak boleh kot!” Sengih Lina.
“Mesti ada apa-apa ni… baik terus-terang sekarang dengan aku…” ugut aku.
“Actually aku rasa nak cuba menghafal al-Quran la…” jawab Lina.
Saat telinga mendengar luahan suara hati sahabatku yang seorang ini, hanya Tuhan sahaja tahu akan perasaan aku. Betapa hatiku gembira saat itu.
“Ya Allah, terima kasih atas nikmatMu ini, alhamdulillah…” monologku.
Sewaktu kami sama-sama berada di Semester 1 dulu, apa yang aku perhatikan ahli bilikku memang agak kurang membaca Al-Quran mungkin atas tuntutan tugasan yang berlambak.
Credit hour mereka untuk Semester 1 agak padat jika hendak dibandingkan dengan aku yang cuma 2 jam sahaja.
Ya, mungkin sebab itu juga mereka kurang masa berbanding aku.
Alhamdulillah, semakin hari aku semakin memperbanyakkan pembacaan al-Quran.
Aku pernah membaca satu artikel di mana jika seseorang itu banyak menghabiskan masanya dengan membaca al-Quran, inshaAllah, masa itu akan berkat.
Dari situlah aku mula rajinkan diri. Moga-moga diriku terus istiqamah.
Berbalik kepada cerita ahli bilikku, mungkin dari situ lahirnya kesedaran untuk mereka berubah. Common lah lepas SPM, pasti agak liat untuk membaca al-Quran ditambah lagi duduk di rumah yang begitu benar-benar menguji keimanan sungguh.
“Wah, seriously Lina. Alhamdulillah baguslah kalau begitu, tetapi kita kena cuba istiqamah. Cuba hafaz perlahan-perlahan dahulu. Mulakan dengan Juzuk 30. Kemudian surah-surah yang lazim untuk dihafaz. InshaAllah, kita boleh.” Semangat aku memberi respon.
“Tapikan, aku cadang nak hafaz surah Al-Kahfi dulu. Aku akan cuba walaupun agak panjang.” Jawab Lina dengan penuh keazaman.
“Hmm, tidak kisah macam manapun cara kau nak mulakan penghafalan. Tetapi kau kena istiqamah dan kuat. Sebab nak jadi seorang penghafal Al-Quran kena banyak berkorban. Lepaskanlah semua perkara-perkara lagha. Aku pernah baca di salah satu status Facebook:
“Apabila kamu dapati hafazan Al-Quran kamu semakin menghilang, ketahuilah bahawa pada ketika itu kamu bukan dalam keadaan terlupa. Bahkan sebenarnya kamu telah dilupakan oleh Allah.”
“Allah sengaja menarik ayat-ayatNya daripada ingatan kamu kerana sikap kamu yang memperlekehkan dan bermain-main denganNya sehingga menyebabkan kamu hilang kelayakan sebagai penghafaz Al-Quran yang juga mengamalkannya.”
“Lagi satu, aku nak kongsi serba sedikit tips untuk memudahkan kau untuk melakukan niat suci kau ni. Cuba amalkan doa dari surah Al-A’laa ayat nombor 6.”
Allah berfirman: “Kami akan membacakan (Al-Quran) kepadamu (Muhammad) sehingga engkau tidak akan lupa.” (Surah Al-A’laa 87:6)
Aku menambah lagi, “Selain itu, kau juga boleh mengamalkan selawat dan sentiasa beristighfar. Cubalah, InshaAllah kau boleh…”
Sememangnya banyak kelebihan jika kita ada kemahuan untuk menghafaz.
Antaranya ialah kita mampu mengelakkan diri kita daripada terus hanyut dengan perkara-perkara yang lagha, ingatan menjadi kuat, mudah mempelajari akan sesuatu ilmu yang baharu dan terhindar daripada perkara maksiat.
InshaAllah.
p/s: Bagaimana dengan anda yang membaca artikel ini? Bagaimana usaha anda untuk menghafal kalamNya?
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Muna Izzati. Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.