, ,

Ilmu Kalam, Apa Kaitannya Dengan Ilmu Usuluddin

Korang tahu tak, ilmu usuluddin ni dikenali dengan beberapa nama? Semua nama itu korang dah pernah belajar, iaitu ilmu tauhid, ilmu akidah dan ilmu kalam.

Jom kita lihat satu persatu.

1. Ilmu Tauhid : Percaya kepada Allah yang Maha Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya

2. Ilmu Akidah : Keyakinan (iman) teguh seseorang kepada Allah tanpa sebarang keraguan

3. Ilmu Kalam : Mempertahankan kepercayaan iman dengan menggunakan dalil fikiran dan bantahan terhadap golongan yang menyeleweng daripada akidah Islam

Ilmu kalam membicarakan mengenai sifat wajib, mustahil dan harus bagi Allah dan Rasul.

Ilmu ini muncul pada akhir abad ke-2 H yang dipelopori oleh beberapa ulama’ seperti Abu al-Hasan al-Ash’ari, Abu Mansur al-Maturidi, Wasil bin Atha’, Umar bin Ubaid dan Jahm bin Safwan.

Ilmu kalam belum wujud pada zaman Nabi dan khulafa’ as-Rasyidin.

Namun, disebabkan perkembangan ilmu falsafah terutamanya ketika zaman Abbasiyah, malah bagi menangkis penyelewengan yang dilakukan oleh golongan yang sesat, maka muncullah ilmu kalam.

Ada beberapa faktor kenapa wujudnya ilmu kalam, iaitu:

1. Pergaulan orang Islam dengan bukan Islam (Kristian, Yahudi,  Majusi dan Saba’) sehingga sering berlaku perdebatan agama

2. Islam semakin tersebar dan dimasuki oleh bangsa selain bangsa Arab

3. Wujud golongan Zanadiqah yang menentang agama

4. Perkembangan ilmu falsafah dalam kalangan orang Islam

Sumber perbahasan ilmu kalam adalah:

1. Al-Quran

2. Hadith

3. Akal.

Ilmu kalam berkembang sehingga ke Nusantara khususnya Tanah Melayu. Lalu, ilmu kalam ini dikenali sebagai “Ilmu Sifat 20” dan “Ilmu mengenal Allah”.

Bukan itu sahaja, malah ulama’ silam Nusantara dari Patani berpandangan bahawa ahli sunnah wal jamaah ialah orang yang mengikuti dan memahami akidah yang berasal daripada Abu al-Hasan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi serta pentafsiran ulama’ muktabar sesudah mereka iaitu Imam al-Baqillani, Imam al-Ghazali dan Imam Sanusi.

Wallahu’alam.