,

Sebarkan Dakwah Dengan Kelembutan

Berdakwah merupakan tanggungjawab setiap muslim. Tugas untuk menyebarkan dakwah itu tergalas di bahu setiap muslim.

Tak perlu menjadi manusia sesempurna kejadian untuk dijadikan syarat untuk berdakwah. Kerana kita manusia yang sifatnya takkan pernah sempurna. Kita semua ada kekurangan masing-masing.

“Kalian adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali Imran: 110)

Tidak kira apa pun pekerjaan seseorang muslim itu, tugasnya untuk berdakwah tidak boleh ditinggalkan.

Setiap muslim wajib untuk menyampaikan dakwah sesuai dengan kemampuannya. Dakwah adalah jalan hidup yang akan sentiasa mewarnai setiap apa yang kita lakukan setiap hari.

“Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik.” (Surah Yusuf: 108)

Dakwah itu ada banyak cara. Kita boleh memilih cara yang mana yang kita rasakan paling berkesan untuk kita guna.

Sememangnya untuk menyebarkan dakwah yang sempurna itu tak mudah. Akan ada sahaja rintangan dan cabaran yang bakal dihadapi.

Antara akhlak yang harus dimiliki oleh seorang da’i adalah bersikap lapang dada, menunjukkan wajah yang ceria dan bersikap lemah lembut.

Akhlak itu akan membantu untuk memudahkan penerimaan dakwah yang ingin disampaikan dan membantu mendidik saudara Islam untuk lebih mendalami agama, serta menyeru orang bukan Islam untuk tertarik mendekati dan mengenali Islam.

Cubalah untuk tidak menggunakan kata sindiran dalam menyebarkan dakwah.

Contohnya, daripada menggunakan ayat seperti, “Rambut tu dah memang confirm kalis api neraka ke sampai berani tak pakai tudung.”

Cuba ubah kepada ayat yang lebih lembut dan indah untuk didengar. Jika tak mampu, berdoalah agar Allah mudahkan dia untuk mengikut apa yang Allah perintahkan daripada menambahkan pedih pada ayat yang dituturkan.

“Sesungguhnya lemah lembut tidaklah ada pada sesuatu kecuali akan menghiasinya, dan tidaklah dibuang daripada sesuatu kecuali akan mengeruhkannya.” (Hadith riwayat Abu Dawud)

Kelembutan itu indah, sedangkan hilangnya kelembutan membuatkan sesuatu perkara menjadi tidak lagi indah. Dan antara perkara yang memerlukan kelembutan adalah dakwah.

Contohilah Baginda S.A.W dalam menyebarkan dakwah. Baginda manusia yang mempunyai nilai kelembutan dan kasih sayang yang sangat tinggi dalam setiap dakwah yang disebarkan.

“Serulah (manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah (lemah lembut) dan telunjuk yang baik dan ajarlah mereka dengan cara yang baik.” (Surah An-Nahl: 125)

Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, dan Dia menyukai kelembutan dalam segala urusan.” (Muttafaq ‘Alaihi)

Rasulullah mengajar kita untuk berdakwah dengan begitu indah. Baginda tidak pernah memaksa mana-mana bukan Islam untuk masuk ke dalam agama Islam.

Bahkan, Baginda menarik mereka dengan menunjukkan sifat kasih sayang serta lemah lembut terhadap mereka. Dakwah yang dilakukan Baginda tersangatlah halus dan menyentuh jiwa.

Manusia itu memang sifatnya pelbagai. Ada yang mudah untuk ditegur, dilentur, dan diajak ke arah kebaikan. Namun, ada juga yang sukar untuk didakwah. Tetap jua, cara berdakwah yang paling berkesan adalah dengan menggunakan kelembutan.

Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa syurga itu diperuntukkan untuk mereka yang memiliki jiwa yang lembut, kerana Allah S.W.T amat mencintai kelembutan.

Baginda S.A.W bersabda dalam hadis daripada Iyadh ibnu Hamar r.a, “Ahli (penghuni) syurga itu terdiri daripada tiga golongan: mereka yang memiliki kekuasaan, adil dan diberi petunjuk (muwaffaq), mereka yang pengasih dan berhati lembut kepada orang sekelilingnya dan setiap muslim, dan mereka yang menjaga kehormatan dan (sentiasa) menjaga kehormatannya padahal mereka memerlukan sesuatu untuk keluarganya.” (Hadith riwayat Muslim)

Sepertimana teladan yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W ketika suatu hari saat Rasulullah dan para sahabat berada di masjid, tiba-tiba datang seseorang daripada suku kaum Badwi lalu kencing di satu sudut masjid.

Rasulullah menghalang sahabat-sahabat Baginda daripada terus berlaku kasar terhadap Badwi tersebut dan menunggunya sehingga selesai melaksanakan hajatnya.

Abu Hurairah berkata, seorang Arab Badwi berdiri dan kencing di masjid, lalu orang-orang ingin menghalaunya. Maka Nabi S.A.W pun bersabda kepada mereka, “Biarkanlah dia dan siramlah bekas kencingnya dengan setimba air, sesungguhnya kalian diutus untuk memberi kemudahan dan tidak diutus untuk menambahkan kesusahan.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun begitu, lembut bukanlah bererti tidak tegas terhadap kesesatan atau maksiat yang berlaku di sekeliling kita. Bukan juga membawa erti bahawa kita membutakan mata dengan segala bentuk penghinaan terhadap agama.

Kerana, tegas itu perlu pada tempatnya. Bersikap damai terhadap mereka yang sesat adalah munafik.

Rasulullah S.A.W pernah melakukan 29 kali peperangan dalam hidup Baginda. Tidak dinafikan peperangan merupakan tindakan yang kasar, yang membawa kepada pertumpahan darah, kehilangan harta benda bahkan kehilangan nyawa.

Namun, peperangan adalah solusi terakhir yang perlu diambil.

Ketegasan ini jugalah yang diteladani oleh para Khulafa’ Ar-Rasyidin r.a. Sepertimana Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a tanpa ragu-ragu memerangi kaum murtad daripada kalangan pengikut nabi palsu Musailamah Al-Kadzdzab dan mereka yang tidak mahu membayar zakat – setelah terlebih dahulu diajak untuk bertaubat dengan penuh kelembutan.

Sebagaimana juga Saidina Ali Al-Murtadha dengan tegas mengambil tindakan terhadap kaum bughat (pemberontak) yang derhaka terhadap pemimpinnya – setelah terlebih dahulu beliau mengajak mereka untuk kembali kepada penyatuan dan mentaati pemimpin.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, “Muhammad itu adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersama dengannya adalah tegas terhadap orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka.” (Surah Al-Fath: 29)

Islam itu mencintai kedamaian, tapi bukan bermaksud pasrah kepada kesesatan. Islam itu penuh dengan kelembutan, tapi bukanlah bisu dengan kemaksiatan. Islam itu penuh dengan kasih sayang, lembut pada tempatnya, tegas pada saatnya.

Dalam berdakwah, jangan hanya meletakkan diri kita sebagai pendakwah semata-mata. Cuba letakkan diri kita sebagai seseorang yang menerima dakwah.

Adakah kita suka untuk menerima dakwah yang disebarkan dengan cara kita berdakwah sekarang? Jika sebaliknya, ubahlah cara kita menyampaikan dakwah tersebut.

“Hendaklah seseorang itu memberi kepada orang lain apa yang dia suka untuk diberikan padanya.” (Hadith riwayat Muslim)

Berdakwahlah secara berhemah. Fikirkan mereka yang ingin didakwah. Mereka juga manusia, mereka punya emosi sendiri.

Contohi gaya Rasulullah, dibaling batu, dilempar najis, dikutuk keji, tetap jua tersenyum.

Bila kita gunakan kekerasan, akan ada penghadang antara dakwah yang disampaikan dengan penerima dakwah.

Akhirnya, hanya satu yang akan sampai kepada mad’u – tone suara. Isinya? Bertaburan.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Azzianie binti Ahmad Zamri. Berasal dari Kelantan. Masih lagi belajar.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%