,

Sampaikan Kebaikan Yang Kita Tahu Walaupun Satu Perkara

Adakah kita tahu tujuan utama Allah menciptakan kita di muka bumi ini?

Di dalam Al-Quran ada mencatatkan bahawa Allah menciptakan kita bukan sia-sia, Dia hendak menjadikan kita khalifah dan hamba.

Tugas seorang khalifah itu adalah memimpin dirinya sendiri dan ummah.

Ianya bukanlah tugas mudah, malah kita diminta menyambung dan meneruskan tugas seorang rasul, iaitu berdakwah dan menyampaikan.

Rasulullah bersabda, “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.”

Rasulullah menyarankan kita agar menyampaikan sebarang kebaikan yang kita tahu walaupun satu perkara. Inilah dinamakan dakwah.

Walaupun perkara itu kita rasakan ia nampak remeh, atau pun mudah, tetapi kita perlu menyampaikan apa sahaja yang kita tahu.

Seorang sahabat pernah bertanya kepada nabi, “Apa itu agama?”. Rasulullah menjawab, “Agama itu adalah nasihat.” (Hadith riwayat Bukhari)

Memang sudah menjadi tanggungjawab kita untuk saling nasihat-menasihati, kerana sifat manusia yang mudah leka dan lupa.

Jika ada sahabat kita yang perlukan nasihat, kita perlu memberikannya nasihat. Itu juga merupakan hak seorang muslim.

Berdakwah tidak terhad kepada sesuatu tempat dan masa sahaja, dengan dunia serba canggih sekarang, medium internet seperti Facebook, Twitter, Instagram adalah medium yang sesuai untuk menyampaikan apa jua jenis kebaikan, pesanan serta nasihat.

Jadikan medium ini untuk peroleh pahala sebanyak-banyaknya.

Kelak segalanya akan dipersoal oleh Allah. Apabila kita menyampaikan kebaikan, secara automatiknya ia adalah bertujuan untuk mengingatkan diri kita terlebih dahulu.

Jangan sesekali merasakan kita tidak layak untuk berdakwah kerana kita bukan ustazah atau pun orang alim, malah tugas menyampaikan dakwah ini adalah tugas setiap hamba.

Walaupun ada seorang penjahat yang menasihati, juga perlu kita dengar, kerana kita perlu melihat apa yang dikatakannya bukan siapa dia.

Boleh jadi dengan menasihati kita, asbab kepada penjahat tersebut untuk mendapat hidayah dan petunjuk.

Rasulullah dan sahabat bermati-matian berdakwah kerana mereka begitu jelas dengan matlamat hidup mereka.

Mereka memberikan sepenuh hidup mereka untuk Islam yang dicintai.

Malah mereka begitu mengharapkan memasuki syurga walaupun ujian yang mereka terima lebih hebat daripada kita sekarang, mereka tetap utuh dengan pegangan mereka tanpa sedikit pun mematahkan semangat mereka.

Begitulah tugas seorang khalifah, memimpin dirinya sendiri terlebih dahulu sebelum memimpin orang lain ke jalan yang Allah redha.

Berdakwah kepada diri sendiri dahulu, sebelum berdakwah kepada seluruh ummah.

Teruskanlah berdakwah sehingga kamu merasa apa yang Rasulullah rasakan.

Teruskanlah berdakwah sehingga kita benar-benar ikhlas dalam merebut cinta Allah dan syurga yang diidam-idamkan.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Syaahidah binti Salim. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan lulusan ijazah bioperubatan di Management Science University (MSU).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.