,

Kunci Ke Syurga (bahagian 2-akhir)

“Baiklah, ini jawapanku…

1. Satu yang tiada duanya adalah Allah SWT.

2. Dua yang tiada tiganya adalah malam dan siang. Allah SWT berfirman, “Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda (kebesaran kami).” (Al-Isra’ : 12)

3. Tiga yang tiada empatnya adalah kekhilafan yang dilakukan Nabi Musa ketika Khidir menenggelamkan kapal yang ditumpanginya, membunuh seorang anak kecil dan ketika menegakkan kembali dinding yang hampir roboh.

4. Empat yang tiada limanya adalah kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah SWT, iaitu Taurat, Injil, Zabur dan Al-Qur’an.

5. Lima yang tiada enamnya adalah solat lima waktu.

6. Enam yang tiada tujuhnya adalah jumlah hari ketika Allah SWT menciptakan makhluk.

7. Tujuh yang tiada lapannya adalah tujuh lapis langit. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Mulk ayat 3, “Dia yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat melihat pada ciptaan Allah yang Maha Pemurah itu sebagai keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah.”

8. Lapan yang tiada sembilannya ialah Malaikat pemikul ‘Arsy Ar Rahman. Allah SWT berfirman, “Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya, dan ‘Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu” (Surah Al-Haqqah: 17)

9. Sembilan yang tiada sepuluhnya adalah mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa.

10. Sesuatu yang tidak lebih daripada sepuluh ialah kebaikan. Allah SWT berfirman, “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya balasan sepuluh kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya.” (Surah Al-An’am:  160)

11. Sebelas yang tiada dua belasnya ialah jumlah adik-beradik Nabi Yusuf.

12. Dua belas yang tiada tiga belasnya ialah mukjizat Nabi Musa yang terdapat dalam firman Allah, “Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberikan air untuk kaumnya, maka Kami berfirman, ‘Pukullah batu itu dengan tongkatmu.’ Lalu terpancutlah daripadanya dua belas mata air.” (Surah Al-Baqarah 2:60)

13. Tiga belas yang tiada empat belasnya ialah jumlah saudara Nabi Yusuf ditambah dengan ayah dan ibunya.

14. Adapun sesuatu yang bernafas namun tidak mempunyai roh adalah waktu Subuh. Allah SWT berfirman, “Dan siang, apabila ia mulai terang” (Surah At-Takwir: 18)

15. Kubur yang membawa isinya adalah ikan yang menelan Nabi Yunus.

16. Mereka yang berdusta namun masuk ke dalam syurga adalah saudara-saudara Nabi Yusuf, iaitu ketika mereka berkata kepada ayahnya, ”Wahai ayah, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf berhampiran barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala.” Setelah pembohongan itu terungkap, Nabi Yusuf berkata kepada mereka, ”Tidak ada cercaan terhadap kamu,” Dan ayah mereka Ya’kub berkata, “Aku akan memohon keampunan untukmu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

17. Sesuatu yang diciptakan Allah namun tidak Dia sukai adalah suara keldai. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai.” (Surah Luqman : 19)

18. Makhluk yang diciptakan Allah tanpa bapa dan ibu adalah Nabi Adam, Malaikat, Unta Nabi Saleh dan Kambing Nabi Ibrahim.

19. Makhluk yang diciptakan daripada api adalah Iblis, yang diazab dengan api ialah Abu Jahal dan yang terpelihara daripada api adalah Nabi Ibrahim. Allah SWT berfirman, “Wahai api jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim” (Surah Al-Anbiya’: 69)

20. Makhluk yang diperbuat daripada batu adalah unta Nabi Saleh, yang diazab dengan batu adalah tentera bergajah Abrahah dan yang terpelihara daripada batu adalah Ashabul Kahfi (penghuni gua).

21. Sesuatu yang diciptakan oleh Allah dan dianggap perkara besar adalah tipu daya wanita, sebagaimana firman Allah SWT, “Sesungguhnya tipu daya kaum wanita itu sangatlah besar.” (Surah Yusuf: 28)

22. Adapun pohon yang mempunyai 12 ranting dan setiap ranting mempunyai 30 daun, kemudian setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah teduhan dan dua di bawah sinaran matahari bermaksud: Pohon adalah tahun, ranting adalah bulan, daun adalah hari dan buahnya adalah solat lima waktu, tiga dikerjakan di malam hari dan dua di siang hari.

Paderi dan para hadirin berasa takjub mendengar jawapan pemuda tersebut. Pemuda itu meminta izin untuk berlalu pergi.

Namun setelah beberapa langkah dia menghentikan niatnya dan memandang paderi tadi dan meminta izin untuk bertanyakan satu soalan.

“Silakan,” jawab paderi.

“Apakah itu kunci syurga?”

Mendengarkan soalan itu lidah paderi menjadi kelu. Hatinya diselimuti keraguan dan raut wajahnya berubah.

Dia berusaha untuk menyembunyikan keraguannya namun tidak berhasil. Orang-orang yang hadir di situ terus mendesaknya agar menjawab pertanyaan si pemuda.

Namun, dia cuba mengelak. Hadirin di situ berkata,

“Kamu mengajukan 22 soalan kepadanya dan semuanya terjawab tanpa tertinggal satu pun. Sementara dia hanya memberikan satu soalan tetapi kamu tidak mampu menjawabnya.”

Paderi lantas berkata, “Sesungguhnya aku mengetahui jawapannya tetapi aku takut kalian semua akan marah jika aku menjawabnya.”

“Kami menjamin keselamatan kamu,” kata hadirin.

“Jawapannya adalah, La Ilaha Illallah wa Asyhaduanna Muhammadar Rasulullah,” Lalu, paderi beserta orang-orang yang hadir ke gereja itu terus memeluk Islam.

******

Sesungguhnya Islam itu mulia dan tinggi darjatnya. Allah letakkan kemuliaan Islam untuk disebarkan melalui setiap muslim.

“Pada hari ini telah kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat Ku, dan telah Ku redhai Islam itu sebagai agama bagimu.” (Surah Al-Maidah:3)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Azzianie binti Ahmad Zamri. Berasal dari Kelantan. Masih lagi belajar.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.