Bismillahirrahmanirrahim…
Tekanan hidup sentiasa berlaku di dalam hidup ini. Saya tidak bicara tentang kehidupan insan lain namun kehidupan diri sendiri juga menghadapi tekanan.
Tidaklah akan hilang ujian di dalam kehidupan ini kerana fitrahnya hamba adalah untuk diuji sama ada ujian itu berbentuk kesenangan dan kesukaran.
Namun perkara yang wajar dan perlu lakukan adalah keupayaan diri untuk berdepan dengan perkara yang negatif dan tidak selesa. Saya dan kita semua perlu membaiki sistem pemikiran supaya cara kita berfikir ini menjadi lebih positif dan stabil.
Pencuri masa di dalam kehidupan ini tanpa saya dan kita semua sedari adalah kebimbangan tentang kehidupan masa depan dan penyesalan masa lalu.
Kita menyesal kerana dimarahi dan dimaki oleh perbuatan/kerja kita.
Rasa sedih dan sentiasa mengenang suara dan ayat-ayat yang mengeji diri kita. Kita juga bimbang tentang masa depan kita.
Apa yang akan kita dapat jika kita buat begini? Apa akan terjadi andai kata kita buat begini atau begitu?
Orang yang efektif adalah insan yang bijak mengambil peluang dan mereka ini memilih jalan untuk mencapai keredhaan Allah. Redha Allah ini akan memberi kelembutan dan ketenangan di dalam jiwa dan hati kita.
Pemikiran kita akan berubah daripada keadaan yang negatif kepada positif. Nilai tenang di dalam kehidupan adalah sesuatu yang sangat mahal nilainya.
Tidak akan mampu dibeli waima seseorang itu seorang yang mempunyai harta seluas lautan.
Yakin sifat Allah Maha Baik untuk setiap kita ini. Amalkan setiap hari andai kita mampu bersolatlah dua rakaat sunat sebelum memulakan hari. ” Ya Allah berikanlah aku kebaikkan hari ini, dan jauhkan aku dengan kejahatan hari ini. Lindungilah aku dengan kasih sayangNya”.
Kita selalunya termasuk saya memandang orang yang marah-marah ini dengan pandangan negatif.
Namun hari ini dan seterusnya kita ubahlah memandang mereka ini dengan pandangan kasih sayang. Tidak sempurna iman seseorang muslim andai kita tidak mengasihi muslim yang lain.
Andai kita tak mampu nak saying jangan biasakan diri menyebarkan keburukan dirinya dan mengulang-ulang keburukan diri dia.
Seseorang yang tidak tenang dengan diri sendiri akan membuatkan orang lain juga tidak tenang.
Jadi apabila kita berdepan dengan individu seperti ini maka kita haruslah mendoakan mereka. “Ya Allah kasihilah dia Ya Allah agar dia menjadi insan yang tenang dan bersyukur”.
Saya dan sahabat-sahabat yang lain kita ini diuji kerana Allah nak kita berubah menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
Kita ini kurang sabar dan pemarah maka dikirimkan dalam kehidupan kita insan yang pemarah supaya kita menjadi lebih sabar dan matang.
Apabila mendapat berita negatif maka bersangka baik dahulu usahlah kita bereaksi terlalu cepat. Ini adalah kesilapan diri saya dan saya akan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri ini.
Sangka baik dengan Allah. Tiada siapa yang izinkan berita itu menjadi negatif dan menyakiti hati kita melainkan izin Allah.
Jangan lah kita hidup dek kata-kata orang, dimaki orang kita lemah, dipuji orang kita kuat. Kekuatan kita ini bukanlah terletak pada manusia yang sama sahaja tarafnya hamba namun kekuatan kita adalah Allah.
Menjaga semula hubungan dengan Allah. Sentiasa muhasabah diri serta fokus untuk memperbaiki diri, berhenti menceritakan tentang keburukan orang lain.
Ini akan membawa aura negatif dalam kehidupan kita sendiri dan orang lain yakni persekitaran kita.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Siti Norhajah Hashim @ Rasian Khasrar. Merupakan pelajar PHD di fakulti perubatan di Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu.
Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (Tarikh tutup: 15/11/2018. Artikel terpilih akan disiar sehingga 15/12/2018)