,

Penat Dekat Dunia, Dekat Akhirat Nanti Kita Rehatlah (bahagian 2-akhir)

Wirda tarik senyum pahit. Rasa apa yang Mak Cik Sal cakap sedebuk sedebak kena tepat di mukanya. Wirda betulkan topi yang elok terletak di atas kepalanya.

Dia masih lagi berdiam. Tak tahu nak menyambung apa. Bercakap pasal Tuhan dia memang tak arif. Dalam ramai-ramai anak umi memang dia paling lain dan paling pelik. Yang lain semua tutup litup tapi dia terbuka sana sini.

Mana dia nak kenal tudung, shawl, jubah, baju kurung, tunik and yada yada yada. Yang selalu tersarung pada badan Wirda sleeveless shirt, parka and skinny jeans.

Paling wajib cap warna biru jeans dengan sneakers biru. Memang itu dresscode rasmi Wirda. Paling dia sopan sikit pun masa hari raya. Belum cakap pasal solat lagi. Wirda pun tak pasti bila kali terakhir dahi dia mencecah sejadah.

Bukan umi tak bising tak tegur tapi semua itu tak lut. Bukan juga tak pernah umi bedal badan Wirda dengan batang penyapu sebab Wirda dengan sengaja tinggal solat. Tapi hati Wirda rasanya sudah keras semacam.

Yang wajib pun Wirda boleh pandang sebelah mata, inikan pula tetiba Wirda nak niat bekerja kerana Allah. Huh… where is the fire?

“Wirda…” Mak Cik Sal menyebut lembut namanya.

Wirda pandang Mak Cik Sal pelik.

“Wirda muda lagi. Jangan sia-siakan usia muda. Ajal maut kita tak tahu bila. Kejar Allah sungguh-sungguh selagi ada peluang. Jangan rasa Allah jauh dari kita sedangkan hakikatnya kita yang menjauh dari Allah. Jom Wirda. Tren dah sampai,” ujar Mak Cik sal seraya bangun dari duduknya.

Wirda termangu. Kepalanya sahaja yang terangguk-angguk. Dia bangun dari duduknya lalu kaki melangkah lemah menuju ke arah gerabak yang baru sahaja terbuka. Pelik juga hari ini dia tak rasa nak marah nak melenting macam biasa.

Selalunya pantang orang tegur dia memang dia buat tak dengar buat tak tahu. Lagi teruk kalau dia tengah serabut memang habis dimakinya orang.

Tapi hari ini kelu pula lidahnya nak membalas setiap hujah Mak Cik Sal. Ada rasa yang mengetuk-ngetuk hatinya. Rasa yang dia sendiri tak tahu apa. Sedih bukan. Marah pun bukan.

“Wirda, nak makan? Nak makan umi hidangkan,” soal umi sambil melipat baju.

Wirda matikan langkah. Dia pandang umi sekali. Kepala digelengkan lemah. Sungguh dia tak rasa lapar malam ini. Seleranya entah terbang ke mana-mana.

Wirda terus masuk bilik. Badan dihempaskan atas katil. Tangan kanan dibawa ke belakang kepala manakala tangan kirinya diletakkan atas dahi. Rambut yang menutup sebahagian mukanya sampai mata ditolak. Wirda tarik nafas berat.

Jangan rasa Allah jauh dari kita sedangkan hakikatnya kita yang menjauh dari Allah.

Terngiang-ngiang di telinganya ayat Mak Cik Sal tadi. Macam ada perakam. Wirda pejamkan mata. Entah macam mana air matanya menitis perlahan. Dibiarkan tanpa diseka.

Memang selama ini dia yang jauh dari Allah. Dia yang pilih untuk lupakan Allah. Sebab dia rasa all is well walaupun tanpa Allah. Tanpa dia sedar dia masih hidup ini pun atas rahmat dan kasih sayang Allah.

Tapi Wirda tak pernah pun nak akui benda ini. Bongkaknya dia dengan Allah. Wirda bangun dari baringnya. Pandangannya dibawa ke arah penyidai baju. Jelas di matanya sepasang telekung dan sejadah yang elok diletakkan di situ.

Umi yang sengaja letakkan biarpun berulang kali Wirda pesan tak payah semakkan bilik dia dengan telekung. Tapi umi tak pernah peduli pun. Umi cakap mana tahu satu hari nanti Wirda perlukan benda ini semula.

Wirda menapak ke situ dan tangannya menyentuh perlahan telekung putih bersih itu. Air mata yang tadi segan-segan nak keluar tiba-tiba merembes laju tanpa isyarat.

“Allah…” Wirda sebut dalam ketar. Nama yang terlalu lama dilupakan. Nama yang entah Wirda tak pasti bila terakhir kali dia menyebutnya.

“Allah…” sekali lagi Wirda sebut. Wirda letak semula telekung tadi. Terus disambar tuala mandinya dan langkah dibawa ke bilik air.

Dia tak nak berlengah lagi. Dia tak pasti berapa lama yang dia ada. Sementara ada peluang Wirda rasa dia patut kembali. Sementara rasa insaf masih mengetuk-ngetuk tangkai hatinya baik dia teruskan kembali. Kembali pada Tuhan.

Wirda pandang wajahnya pada cermin. Dia senyum nipis. Rasa nak tergelak pun ada. Bertahun dia tinggalkan baju kurung. Tak sangka hari ini dia pakai semula.

Mujur juga dia tak pernah buang baju kurung dari wardrobe. Cuma Wirda masih rasa ada yang kurang pada dirinya. Ya rambutnya masih lagi terdedah. Nak pinjam pada umi atau pada adik beradiknya Wirda jadi malu sendiri.

‘Takpe petang ini habis kerja singgah mana-mana pergi beli tudung,’ getus hati Wirda. Wirda bingkas bangun.

Hari ini dia bangun awal. Sengaja sebab tak nak terserempak dengan ahli keluarganya. Dia masih lagi malu nak tunjukkan perubahan barunya. Elok Wirda buka pintu bilik umi melintas depan biliknya. Umi berhenti.

“Wirda?” Umi sebut nama Wirda. Mata umi nampak membulat.

“Umi. Err… Wirda pergi kerja dulu,” tangan umi diraih lalu terus dia melangkah laju keluar.

Umi tak cakap apa-apa. Wirda yang nampak tergesa-gesa cuma diperhatikan. Lama. Perlahan-lahan umi ukirkan senyuman.

“Wirdaaa…” Umi melaung kuat.

Wirda palingkan wajah ke belakang. Menanti butir bicara umi.

“Petang ini kalau sempat baliklah awal. Boleh kita solat jemaah sekali,” Umi cakap sambil tersenyum lebar.

Wirda angguk lalu terus berangkat pergi. Bukan umi tak perasan bilik Wirda dari pukul 4 pagi tadi lagi terang-benderang. Bila umi intai umi nampak Wirda elok atas sejadah. Entah apa yang Wirda doa sampai tak perasan umi yang memerhati dari belakang.

Mulanya umi nak menegur tapi tak jadi. Rasanya tak perlu dia cakap apa-apa. Melihat Wirda pagi tadi sudah cukup buat dia bersyukur. Wirda kembali. Kembali pada jalan yang sepatutnya.

Regards,
Eiyza Rizwa.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Eiyza Rizwa (nama pena).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.