,

Memanah: Sunnah Yang Diabaikan

Jatuh bangun sesebuah empayar adalah berkaitan langsung dengan busur dan anak panah.

Sayyidina Saad bin Abi Waqqas merupakan sahabat Nabi yang didoakan oleh Baginda dengan ketepatan sasaran (dalam memanah).

Berkat doa ini, beliau menjadi antara pemanah terulung dalam sejarah Islam selain daripada Sayyidina Abu Talhah dan Sayyidina Suhaib ar-Rumi.

“Ketahuilah bahawa kekuatan itu adalah memanah, ketahui bahawa kekuatan itu adalah memanah, ketahui bahawa kekuatan itu adalah memanah.” (Hadith riwayat Imam Abu Daud, no. 2153).

“The history of the bow and arrow is the history of mankind.” – Fred Bear

Menurut catatan sejarah, jenis busur dan gaya memanah di Tanah Melayu bersalsilah dan berasal dari Turki Uthmaniyyah. Pemanah berkuda Turki sangat digeruni oleh para musuh ketika bertempur pada zaman kemegahan empayar dan khilafah Islam terakhir ini.

Catatan Ibnu Battuta (meninggal pada 1368M atau 1369M) juga menyatakan bahawa Adruja atau Cik Siti Wan Kembang pernah mengetuai pasukan memanah di Kelantan menentang tentera Siam.

Begitu juga dengan alat memanah yang diperkasakan oleh Empayar Islam Melaka yang mempunyai persamaan dengan busur dan anak panah Turki ketika itu.

Jika dikaji “Ottoman Archery” dengan “Malay Archery” dari segi gaya memanah yang menggunakan ibu jari, asas pembuatan busur daripada kayu dan anak panah kayu, hampir tiada perbezaan langsung. Mungkin sedikit berbeza dari segi bentuk dan seni busur antara kedua-duanya.

Tidak lupa juga dengan perkembangan memanah di dunia Barat dan Eropah yang mengharungi susur galur yang tersendiri.

Jenis busur

1. Busur Tradisional (Traditional Bow/Long Bow)

Inilah busur paling lama dan asas tanpa sebarang alat atau gadjet tambahan pada busur (kosong).

Memanah dengan naluri penuh (full instinctive) kerana tiada penyangga (tempat letak) anak panah dan mengharapkan pancaindera (penglihatan, pendengaran) ketika memanah termasuklah pancaindera keenam.

Oleh itu, memanah dengan busur tradisional amat sukar untuk dikuasai dan disyorkan latihan 100 panahan/sehari.

2. Busur Recurve

Dicipta selepas busur tradisional dan busur ini mempunyai penyangga anak panah pada sisi kiri busur. Oleh itu, busur ini digelarkan sebagai busur separa naluri.

Terdapat dua jenis busur recurve iaitu busur one-piece dan two-piece. Jenis one-piece limbnya tidak boleh ditanggalkan manakala jenis two-piece boleh ditanggalkan.

Busur Recurve ini juga dibezakan antara right-handed dengan left-handed. Bagi yang biasa menarik anak panah dengan tangan tangan, mereka tidak mampu untuk membiasakan diri menggunakan busur yang khusus untuk pemanah kidal.

Busur Recurve moden (bersama alat tambahan seperti bow sight dan stabilizer) banyak digunakan dalam pertandingan sama ada peringkat rendah seperti di sekolah hinggalah peringkat berprestij seperti Sukan Olimpik.

Penambahan alat-alat ini menjadikan panahan lebih padu dan tepat berbanding busur tradisional.

3. Busur Compound (moden)

Busur ini juga banyak digunakan dalam pertandingan-pertandingan hari ini.

Disebabkan busur ini dilengkapi dengan pelbagai gajet atau alat moden seperti bow sight, wheels dan cable, busur ini tidak terlalu bergantung kepada naluri ketika memanah namun bergantung 100% kepada satu-satunya pancaindera iaitu penglihatan.

Berat tarikan busur ini akan hilang setelah full draw atau tarikan penuh.

Jenis anak panah

Antara jenis anak panah:

  1. Anak panah buluh
  2. Anak panah kayu
  3. Anak panah karbon
  4. Anak panah aluminium
  5. Anak panah fibreglass

Jenis target

  1. Target butt yang ditampal muka target (target face). Muka target ini mengandungi warna kuning (paling fokus), merah, biru, hitam dan putih (paling luar).
  2. Haiwan 3D iaitu replika seolah-olah haiwan sebenar seperti rusa, kijang dan tupai.

Gaya Memanah

Sumber: Garut Muslim Archery

Pada Gaya Mongol (Orang Asia termasuklah Turki Uthmaniyyah, Melayu dan Korea) kedudukan anak panah berada di kanan busur dan ditarik dengan ibu jari.

Cara ini lebih hampir menyerupai Sunnah Nabi dan para Sahabat. Pada hari ini, gaya ini dipadankan dengan busur tradisional.

Sumber: astroarena

Manakala gaya Mediterranian (Barat dan Eropah) pula kedudukan anak panah berada di kiri busur dan ditarik dengan tiga jari (jari telunjuk, tengah dan manis).

Pada hari ini, gaya ini dipadankan dengan busur recurve dan compound. Anak panah pada busur tradisional berada di atas belakang ibu jari tangan kiri pada gaya Mongol dan di atas sisi jari telunjuk tangan kiri pada gaya Mediterranian ketika tarikan.

Kelebihan pada Sunnah memanah

Apakah kaitan memanah dengan fikiran dan jiwa?

Hanya orang yang fokus dan tenang sahaja mampu menjadi pemanah yang baik. Memanah melatih hati untuk sentiasa tenang selain daripada untuk body balancing.

Apabila membuat sesuatu keputusan, hati mesti tenang dan jiwa harus tenteram kerana hanya padanya hasil terbaik dikeluarkan.

Begitu jugalah saat memanah, andai anak panah dilepaskan tanpa kestabilan dan tahan getaran ditambahkan dengan fikiran yang tidak fokus, semestinya anak panah itu tersasar.

Aktiviti memanah yang dianjurkan ini bukanlah semata-mata sukan yang mencerdaskan jasmani namun turut melatih ruhani agar mampu dikawal.

Tambahan pula, seperti mana yang diiktikadkan bahawa bukan pedang yang membelah dan peluru yang mematikan samalah keadaan bahawa bukan pemanah yang memanah.

Hanya Allah yang berkuasa menggerakkan anak panah sama ada laju atau perlahan, padu atau lemah dan tepat atau tersasar.

**********

Pertubuhan Memanah Malaysia

PERTAMA (Pertubuhan Pemanah Tradisional Malaysia)

Diasaskan pada 31 Oktober 2013 dan menjadi tempat untuk para pemanah tradisional Malaysia dikumpulkan untuk dianjurkan pertandingan dan latihan agar masing-masing dapat mengambil manfaat.

LEAP PROGRAMME

Diasaskan pada 2007 oleh Sheikh fuad Sheikh Mahmud di Kuala dan menjadi antara perintis kepada kebangkitan aktiviti memanah tradisional di Malaysia. Sila rujuk: http://www.pemanah.net/

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Azim Ismail. Berasal dari Bachok, Kelantan. Merupakan pelajar Master Ekonomi Islam UKM. Selain menulis dalam genre non fiksyen, beliau juga menulis dalam genre fiksyen yang telah diterbitkan oleh penerbit tempatan.

Artikel beliau pernah diterbitkan di Majalah Pengasuh terbitan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Dewan Ekonomi Dewan Bahasa & Pustaka. Manakala beberapa puisi beliau juga pernah diterbitkan oleh majalah Pengasuh, Tunas Cipta DBP dan Dewan Tamadun Islam DBP.

Novel pertama beliau Unga: Kisah Baharu Serigala dan Kambing (#novelunga) telah diterbitkan oleh UUM Press pada 2016 lalu. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Azim Ismail dan Instagram azim_ismail14.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

 

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%