HIJRAH. Mudah diungkap, mudah disebut… tapi peritnya untuk dipraktikkan, atau dilakukan.
Terutamanya bagi seseorang yang ingin menjadi diri yang ‘baharu’ dan berada dalam proses ‘hijrah’.
Mungkin sesetengah pihak memandang orang yang sebelum ini akhlaknya buruk, tidak boleh berubah ke arah yang lebih baik.
Mungkin bagi mereka, manusia tidak boleh berubah.
Seseorang yang nak berubah kepada lebih baik ini, orang anggap macam hipokrit, berlakon, sandiwara atau segalanya yang buruk.
AKU juga tergolong dalam golongan INSAN HIJRAH…
Pengalaman masa lalu, suasana sekeliling menjadikan aku semakin matang, semakin dewasa.
Aku sudah melalui fasa sekolah rendah, sekolah menengah dan sekarang aku budak ‘U’.
Hijrah aku banyak turun naik… dalam erti kata mudah, semuanya bermula daripada diri kita.
Kalau kita pilih jalan buruk, jadilah macam apa yang kita pilih, kalau baik pula pilihan kita, maka baiklah.
Jangan pandang hina, pandang buruk pada orang yang sedang melalui proses HIJRAH ini.
Banyak mehnah, ujian atau ibtila’ yang akan dilalui oleh mereka yang sedang berhijrah.
Bagi aku sendiri, aku mula bertudung labuh (walaupun bidang 55-60) ketika aku berada di tingkatan 3.
Banyak masalah aku, bertudung singkat, ikhtilat tidak dijaga, amalan seharian tidak konsisten…
Ingat lagi, aku selalu diketawakan kawan, bila aku selalu merungut yang aku lambat solat.
Waktu solat dah nak habis, tetapi kawan sambil ketawa cakap yang aku ini skema sangat, penakut kalau solat lambat.
Banyak benda yang nak diceritakan, tetapi banyak kepada membuka aib sendiri dan aib sahabat-sahabat.
Lagipun, manusia mana yang tak buat salah dan silap, kan?
Cukuplah sekadar ini…
Cukup aku katakan,
HIJRAH mudah disebut, tapi bukan senang nak buat, nak amalkan. Ikhlaskan hati, insyaAllah kita akan mampu istiqamah.
Aku ucapkan syukur sebab setiap apa yang terjadi, ALLAH selalu ada untuk sedarkan aku daripada lena yang panjang.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Siti Sarah binti Shamsuddin. Berasal dari Sungai Petani, Kedah. Seorang mahasiswi (praktikal) di USIM. Artikel ini merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai sayembara penulisan iluvislam.