Sungguh, hidup ini adil. Allah SWT mencipta duka diganti dengan suka. Allah SWT juga mencipta suka untuk digantikan duka.
Ia hanya bergantung pada jangka masa, sama ada pendek mahupun panjang. Kita sebagai manusia perlu menerima setiap ujian yang telah Allah tetapkan untuk kita.
Manusia dan makhluk hidup ciptaanNya, semua diberi otak untuk digunakan, tapi istimewanya manusia yang mempunyai akal dan mampu mengendalikannya ke arah yang betul bukan seperti haiwan.
Kenapa perlu merungut sedangkan kita ini hanya hamba yang kerdil di muka bumi ini, bahkan malaikat tak pernah merungut walau sesaat dalam menggalas setiap tanggungjawab yang diberi.
Kita manusia, hamba kepadaNya. Apa yang kita perlu hanyalah sentiasa tunduk dan patuh serta tinggalkan laranganNya, malah ia menentukan di mana kita berada sekarang.
Aku seorang pelajar yang tidak pernah lari daripada masalah. Malah akan berterusan masalah itu jika aku sendiri lari daripada Allah.
Pada awalnya aku buntu, tiada siapa yang dekat dengan aku apatah lagi keluarga yang jauh di selatan manakala aku pula di utara.
Aku menangis. Aku sedih. Kadang hidup aku murung, kawan tidak ramai, apatah lagi yang memahami aku hanya segelintir.
Mengharapkan ibu bapa untuk aku luahkan, aku rasa benda ini akan merisaukan mereka.
Masih aku terdiam memikirkan jalan penyelesaian. Masih lagi keseorangan memikirkan apa akan terjadi seterusnya.
Tapi saat aku begini, aku jumpa siapa diri aku, diri aku yang selalu leka dalam agama aku sendiri. Di mana aku, saat aku gembira dan melupakanNya, di mana aku, saat aku leka dan terus-terusan melupakanNya.
Kini aku dalam kesusahan, tiada siapa yang dapat membantu. Aku malu untuk sujud kepadaNya yang dulu aku selalu lupa.
Ya Rabb… terlampau banyak dosa yang aku lakukan, sampai aku terasa dosa aku telah membinasakan diri aku sendiri.
Ya Rabb… aku tunduk terdiam. Aku mencari diri ini semula. Betapa hebatnya diri Engkau menerima aku kembali walau aku selalu leka dengan dunia ini sehingga mengabaikan Engkau.
Aku takut Ya Rabb, aku takut saat Kau tarik nikmat satu demi satu, dan aku takut orang yang aku sayang Engkau ambil daripada hidup aku.
Betul kata-kata yang disampaikan, yang mana hidup ini akan berterusan begini jika aku tidak merubahnya, seperti mana,
“…Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sampai mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri...” (Surah Ar-Ra’d 13:11)
Aku inginkan kekuatan untuk berubah, tapi aku takut aku kehilangan orang yang sentiasa berada di sisi aku.
Sebab aku tahu, untuk aku berubah, aku harus tinggalkan semua yang negatif, aku tak mampu membawa negatif itu kepada positif kerana aku takut akan ada perbalahan di situ.
Aku mahu hidup dengan aman tanpa ada permusuhan. Tapi aku juga sedar jika aku yang tidak menarik mereka, maka siapa lagi yang layak?
Aku terdiam, aku buntu untuk keberapa kalinya.
Ya Rabb… apa yang aku perlu buat untuk ini? Aku ingin merasa dekat dengan Engkau, aku ingin setiap hari, aku tidak melupakan Engkau.
Tapi aku tidak mahu kehilangan orang yang aku sayang. Maka aku gagahkan juga hati ini untuk menghadap kau, Ya Rabb dan terusan berdoa.
Langit masih mendung, aku di tepi jendela masih merasakan tiupan angin, syukur atas nikmat ini, Ya Rabb. Sungguh indah walaupun awan mula menghasilkan titisan-titisan untuk jatuh ke bumiMu.
Aku mula terfikir, sedangkan langit ini berubah apatah lagi manusia. Ada kalanya aku malu kerana aku tak mampu menjadi seperti langit yang kembali cerah.
Aku hanya seorang yang sentiasa ditakuk lama, mahu berubah, mahu ke jalan yang benar, tapi hati terus-terusan memaksa untuk begini.
Betul kata sahabat aku, “Hati ini ALLAH SWT yang pegang, maka mintalah kepadaNya.”
Aku lupa yang hati aku sudah mula hitam sampai aku hilang daripada hakikat hidup aku sendiri.
Kenalan begitu ramai tapi tidak ramai yang mampu mengingatkan aku kepadaMu. Inilah duniawi.
Berapa lama lagi aku harus begini? Mahu berubah tapi masih takut.
Akan sesungguhnya aku berusaha untuk berubah tetapi mungkin sedikit demi sedikit. Aku tidak mampu untuk terus berubah kerana aku tahu tahap yang ada pada diri aku ini, dan ini adalah aku, bukan orang lain, bukan sesiapa.
Aku mengharap redha ibu dan ayah yang jauh dalam kerinduan ini, di mana aku satu-satunya anak harapan keluarga.
Betapa besar aku rasa tanggungjawab ini, tapi dengan redha ibu bapa, insyaAllah aku akan berusaha untuk sentiasa menjadikan kalian antara ibu bapa yang mempunyai seorang anak yang telah berjasa di dunia dan di akhirat kelak.
Malah, bangga mempunyai seorang anak yang sentiasa menjadikan Allah keutamaannya.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nurrizatin binti Kasbullah. Berasal dari Jasin, Melaka. Sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute Of Marine Engineering Techonology, Perak.
Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.