, ,

Dosa Tanpa Rasa Penyesalan

Ibu Tanpa Nikah (bahagian 2)

Dialog secara full version sengaja dirahsiakan kerana ia merupakan butiran sulit melibatkan asal-usul keluarga, tempat tinggal, adik-beradik serta lain-lain maklumat yang sangat sulit.

Perbualan antara salah seorang pesakit dan merupakan mangsa ‘ibu tanpa nikah’.

“Kenapa perlu jumpa saya?” Pesakit seakan bengang.

“Maaf ya, saya diamanahkan untuk mengambil keterangan semua pesakit yang melibatkan kes di bawah kelolaan Unit Hal Ehwal Islam. Kes ‘ibu tanpa nikah’ perlu merujuk unit kami sebelum discharge.” Terang Fatayatus Sa’idah.

“Oh, ya ka?”

“Ya cik, boleh cik ceritakan mengenai diri dan latar belakang keluarga cik, contohnya nama penuh, asal-usul keluarga, adik-beradik dan lain-lain yang berkenaan.”

“Ya, boleh.” Pesakit memulakan ceritanya.

“Terima kasih. Maaf, boleh saya tahu, hubungan ini terjadi di atas paksaan daripada mana-mana pihak atau secara sukarela daripada kedua pihak cik dan teman lelaki/tunang/suami (gelaran suami bagi yang bernikah selepas mengandung)?” Soal Fatayatus Sa’idah.

“Ya, sukarela. Biasalah bila lelaki dan perempuan berdua-duaan. Standard lah.” Balas pesakit bernada sindir menyindir.

“Ok, saya faham.”

Sehinggalah ke arah perancangan masa hadapan. Sesi temu bual ini mengambil masa lebih 30 minit sehingga 1 jam. Selepas selesai menemu bual, dia kembali ke pejabat, untuk menulis laporan berkenaan kes ini.

Secara tidak langsung, menitis butir-butir mutiara di pipi Fatayatus Sa’idah mengenangkan keadaan pesakit yang mengambil mudah akan soal dosa tanpa rasa penyesalan setelah apa yang terjadi.

Dia hanya mampu berdoa kepada Allah, moga Allah sentiasa jauhkan mereka daripada segala kejahatan dan semoga hanya kebaikan sahaja yang sentiasa berada di sekeliling mereka.

Semoga Allah membuka pintu Taufiq dan Hidayah-Nya buat mereka dan lahirkanlah rasa penyesalan di dalam hati mereka.

Semakin hari semakin banyak dia mempelajari bagaimana cara untuk memahami pesakit, cara berkomunikasi, cara membalas respon, cara membuat satu keputusan tepat, dan lain-lain lagi perkara yang dipelajari untuk dipraktikkan sepanjang menjalani latihan serta dalam kehidupan harian.

Walaupun agak sukar bagi mahasiswa jurusan Pengajian Akidah dan Agama di universiti ternama di Malaysia, Fatayatus Sa’idah mengganggap ia sebagai suatu pengalaman yang amat bermakna dalam menjalani hakikat kehidupan yang panjang perjalanannya diiringi bersama suka duka, ujian dan dugaan, lebih mengajar menjadi seorang insan yang mempunyai kekuatan mental serta fizikal.

**********

“Ustaz, macam mana kita nak bantu golongan ini ustaz? Saya rasa sedih dan sebak melihat keadaan dan nasib buat mereka yang mempunyai masalah keruntuhan akhlak. Si lelaki yang terlibat diibaratkan seperti ‘habis madu, sepah dibuang’.

Mudahnya mereka mempermainkan harga diri seorang perempuan. Menjadi hobi mereka melepaskan diri setelah melakukan kesalahan.

Meninggalkan seorang perempuan terkapai-kapai, dibiarkan perempuan itu menanggung perit seorang diri. Peritnya mengandung anak di luar nikah, menanggung malu kepada keluarga, jiran sekampung, dibiar melahirkan anak tanpa sokongan orang yang dia cintai selama ini, yang telah mengkhianati cintanya.

Peritnya perempuan menanggung sakit perit itu tanpa mempedulikan cemuhan orang sekeliling. Akibat itu, anak tidak dapat ‘berbinkan’ dengan nama ayah, yang sememangnya dari sudut biologinya, anak itu hasil daripada hubungan lelaki dan perempuan di luar nikah.

Anak itu kurang keistimewaan seperti anak-anak yang lain, diwajibkan ia ber’bin’kan dengan nama Abdullah atau 99 nama Allah. Indahkan ustaz, kalau anak yang dibawa selama 9 bulan 10 hari itu, hasil daripada hubungan yang halal, maka jika melahirkan anak itu, pahala jihad miliknya,” keluhan Fatayatus Sa’idah kepada penyelianya.

Jawapan ustaz seakan memberi peringatan buat semua manusia. Kata ustaz, “Hidup ini ada pilihan, ada baik dan ada buruknya. Andai kita memilih yang baik, insya Allah baiklah natijahnya. Tetapi andai kita memilih yang buruk, natijahnya juga na’uzubillahi min zalik buruk dan mungkin memberi kesan juga kepada orang sekeliling.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Siti Sarah Shamsuddin. Berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.