, ,

Sikap Buruk Kaum Munafik Yang Mencela Kaum Muslimin Yang Berinfak Dalam Perang Tabuk

Kaum Muslimin yang kaya dan berharta sentiasa bersegera dalam memberi infaq khususnya ketika situasi genting seperti dalam perang Tabuk.

Namun, secara tidak langsung, kaum Muslimin yang miskin dan tidak punya apa-apa berasa sedih kerana tidak mampu memberi bantuan dari segi harta dalam persiapan menghadapi peperangan.

Ada kisah di mana kaum Muslimin yang miskin tetap ingin memberikan infaq walaupun dalam jumlah yang kecil.

Contohnya, Abu Uqail yang membawa satu gantang kurma, dalam masa yang sama ada sahabat lain yang kaya membawa lebih banyak lagi.

Perkara tersebut memberi peluang kepada kaum munafik untuk mengejek kedua-duanya.

Kata mereka: “Sungguh Allah tidak memerlukan sedekah itu (Abu Uqail), dan yang dilakukan orang yang terakhir (sahabat lain yang kaya) itu hanya riya’ berlaka.”

Lalu, turun ayat Al-Quran. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

“Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian daripada orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya,

serta mereka mengejek-ejeknya, – Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah At-Taubah 9:79)

Betapa teruknya sikap kaum munafik yang menuduh sahabat-sahabat berharta melakukan riya’ dan menghina pula sedekah sahabat-sahabat miskin.

Ada dalam kalangan sahabat yang miskin berasa sangat sedih kerana langsung tidak memiliki dana untuk ikut pergi berjihad, antaranya Ulabah bin Zaid.

Setelah dia berdoa dan memohon keampunan atas ketidak mampuannya, maka Rasulullah memberitahunya bahawa dia diampunkan.

Kisah ini berlaku tidak lain adalah sebagai bukti keikhlasan kaum Muslimin dalam menolong agama Allah dari segi pelbagai sudut termasuklah harta, tenaga, masa, malah nyawa mereka sendiri.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)