Kaum Muslimin ada yang tidak mampu untuk pergi berjihad kerana penyakit atau tidak cukup dana untuk pergi berjihad.
Disebabkan keikhlasan mereka, mereka benar-benar menangis kerana rindu untuk berjihad dan merasa bersalah kerana tidak boleh berjihad, sehinggalah turun ayat Al-Quran mengenai mereka.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
“Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan RasulNya.
Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
“Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka,
engkau berkata: “Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu”, mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah).”
(Surah At-Taubah 9:91-92)
Itulah suatu gambar betapa tulusnya mereka untuk ikut berjihad bersama Rasulullah, namun disebabkan ketidak mampuan dari sudut ekonomi, penyakit, faktor usia atau lain-lain, menyebabkan mereka sangat sedih kerana terhalang untuk menunaikan kewajipan jihad.
Namun, hati mereka yang ikhlas turut bertaut bersama para mujahidin walaupun jasad mereka tidak berada bersama dalam peperangan.
Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya di dalam Madinah itu ada sekelompok kaum, yang tidaklah kamu menempuh perjalanan dan tidaklah kamu menyeberangi lembah kecuali mereka diikut sertakan bersama kamu dalam ganjaran.”
Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah mereka berada di Madinah?” Beliau menjawab: “Mereka di Madinah kerana mereka terhalangi oleh keadaan uzur.”
(Hadith riwayat Bukhari)
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)