,

Di Mana Kita Saat Masih Ramai Belum Mengenal Agama?

“Arghh… aku bosan hidup dengan peraturan. Itu tak boleh, ini tidak boleh. Aku ingin jiwa yang bebas. Orang yang hidup bersama agama itu kuno. Sekarang kita memegang kepada konsep kebebasan. Kita punya hak untuk lakukan apa saja yang kita inginkan…”

Butang hantar ditekan. Bangga seketika melihat status laman bukunya yang baru dikemas kini. Lega dapat meluahkan apa yang terbuku di hati.

Dan kita yang membaca memulakan modus operandi. Ada antaranya yang hanya menekan butang ‘like’ atau jika rajin sedikit mereka memberi reaksi pada butang komen. Selalunya ini golongan yang malas mengambil tahu.

Ada yang menekan butang ‘kongsi’ dengan caption yang pelbagai sama ada bersetuju atau tidak.

Dan pastinya tidak terkecuali si ‘keyboard warrior’ yang entah muncul dari mana mula melakukan pelbagai kritikan sama ada berbaur kejian dan nasihat.

Inilah lumrah akhlaknya manusia. Mudah menghukum sesuatu yang dilihat zahir tanpa cuba mencari apakah puncanya. Lebih suka menghakimi daripada mencari solusi.

Cuba kita renungi sedalamnya dan bermuhasabah diri. Bagaimanakah kita melihat umat yang sekarang ini? Adakah semakin mantap keimanannya atau semakin tenat?

Lalu ingin menunding jari menyalahkan siapa?

Salahkanlah dirimu sendiri.

Ya, kita. Kenapa?

“Bukan kita yang melakukan kesalahan,” bicaramu.

Siapa kata kamu tidak salah. Ya, dia memang jelas salah tapi mungkin kerana kurang ilmu dan kefahaman tentang agama.

Dan kamu, kamu yang jauh lebih mengerti tentang Islam berbuat apa? Hanya tahu mengkritik dan menyalahkan pihak yang lain sahaja?

Inilah masalah paling besar yang dihadapi oleh masyarakat kita sekarang. Kita selalu menyalahkan orang lain. Semua masalah terjadi kerana orang lain. Dia salah, mereka salah.

Sedangkan jika difikirkan dengan lebih jauh sebenarnya punca terjadinya masalah yang melanda umat adalah bermula dengan diri individu muslim itu sendiri. Ya, kita.

Tidak mahu menerima? Maka ingin saya tanyakan.

Di manakah kita saat masih ada anak muda yang belum mengenal agama? Jahil tentang Islam hingga ada yang memilih untuk menukar agama dan hidup tanpa agama?

Di manakah kita saat gejala sosial dan jenayah sedang ganas berleluasa di seluruh negara? Hingga dunia ini seakan sudah tidak aman rasanya.

Apa yang kita lakukan saat maksiat dan zina berlaku di serata tempat? Dan manusia semakin bangga mendedahkan aibnya semata-mata ingin meraih populariti.

Di mana kita? Apa yang kita lakukan untuk umat ini.

Saya pernah terdengar satu kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Ebit Lew. Bicaranya.

“Jika kita berjumpa dengan orang bukan Islam. Pergi kepadanya, mohonlah maaf kepadanya kerana kamu salah kerana tidak ada kekuatan untuk menyampaikan Islam kepadanya. Jika kamu berjumpa dengan pendosa dan ahli maksiat, mohonlah maaf kepadanya kerana kamu salah saat tidak cuba memahamkan dia tentang agama…

Sahabat, apa yang ingin kita jawab di hadapan Tuhan nanti, saat Allah menyoal,

“Apa yang telah kamu lakukan untuk ummat ini? Apa yang kamu lakukan untuk sampaikan ajaranKu kepada sekalian manusia? Apa sumbanganmu dalam menegakkan ISLAM?”

Allah!

Saya biarkan soalan itu untuk bersama kita renungi.

Moga Allah terus mengizinkan kita untuk istiqamah dalam perjuangan dakwah. Moga amal yang sedikit ini mampu membela kita saat disoal di hadapan Tuhan.

‘Ya Allah, ampuni kami atas dosa yang kami lakukan tanpa kami sedari. Jauhkan kami daripada azab api neraka dan ganjarilah kami dengan syurgaMU.’

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah A-li’Imraan ayat 104)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati Binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

-1 points
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 100.000000%