Ada sesetengah daripada kita yang menghadapi masalah was-was yang ketara khususnya ketika ingin menunaikan ibadah, seperti mengangkat takbir berulang kali ketika mahu menunaikan solat.
Apa itu was-was dalam ibadah?
Was-was dalam ibadah adalah penyakit berbahaya yang dibisik oleh syaitan bertujuan menggoyahkan keimananan dan keyakinan umat Islam.
Nampak remeh, namun boleh membawa kepada kesan negatif yang berpanjangan.
Was-was ini bahaya kerana dimasukkan oleh syaitan ke dalam diri melalui bisikan, tidak dapat dilihat. Secara tidak sedar membuatkan manusia jatuh dan rebah.
Was-was tidak hanya datang daripada jin semata-mata, tapi turut datang melalui manusia.
Ada yang datang secara halus, itulah penangan al-khannas iaitu si pengintai peluang dalam kalangan jin. Manakala yang datang secara kasar, itulah perbuatan manusia.
Bila syaitan selalu berbisik?
Menurut Tuan Azrul Azlan menerusi Majalah Solusi, antara waktu bisikan ini terjadi adalah:-
- Ketika berwuduk (ambil lama sangat kerana merasa belum cukup sempurna)
- Ketika mendirikan solat (takbir berulang kali misalnya)
- Ketika bangun menunaikan solat malam (perlu cukupkan tidur dan banyak menuntut ilmu supaya tidak mudah dipengaruhi)
- Ketika membaca al-Quran (bisikan kadangkala datang supaya baca laju dan tidak tartil mahupun tadabbur)
- Ketika bertawakal (bisikan iblis mengajak manusia hanya bertawakal dan tidak berusaha). Moga kita menjadi golongan yang berusaha bersungguh-sungguh kemudian berserah kepada Allah.
Cara menepis perasaan was-was (perkongsian Ustaz Mohd Yusri Yubhi)
- Menjaga perhubungan dengan Allah. Perbanyakkan dan perbaiki amalan untuk meningkatkan keimanan.
- Lawan! Jangan ikut kata nafsu. Yakin dengan ilmu yang kita ada!
- Memohon perlindungan Allah. Dalam apa jua perkara, mohonlah perlindungan Allah melalui doa-doa dan zikir-zikir yang diajarkan Rasulullah SAW. Membaca ayat Kursi selepas solat dan sebelum tidur misalnya.
- Mengukuhkan ketahanan mental dan tidak putus asa. Cekalkan hati. Jangan telalu ikut kata hati yang tidak yakin itu. Gagal sekali, tidak bermakna gagal selamanya, perlu sentiasa mencuba.
- Mendapatkan teman pendamping. Cari teman yang boleh membantu mengingatkan kita untuk melawan tuntutan jiwa dan nafsu.
- Berdoa dan terus berusaha. Amalkan doa yang diajarkan Rasulullah SAW, yang bermaksud: “Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu dan bersyukur kepada-Mu, serta dapat beribadah dengan baik kepada-Mu.”
- Bersabar dan terus mencuba!
- Sentiasa belajar dan mencari jalan keluar bagi kejahilan yang menyebabkan kita mudah terperdaya dan dipengaruhi oleh bisikan was-was.
“Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Maksud surah Fussilat ayat 36)
Insya-Allah, dengan azam yang kuat serta cuba untuk berubah, moga gangguan ini dapat diatasi. Moga dipermudahkan buat semuanya, insya-Allah.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.