,

Kelebihan Memberi Salam

Ucapan salam bukan sekadar pemanis mulut. Assalamualaikum bermaksud “sejahtera buat kamu”.

Bermakna, setiap kali mengucapkannya, kita mendoakan agar saudara kita selamat sejahtera.

Alangkah ruginya kita jika ramah namun jarang mengucapkan salam. Salam kelihatan remeh, namun kelebihan dan ganjarannya cukup besar di sisi Tuhan.

Salam bukan saja mengeratkan ukhwah namun lebih daripada itu mendatangkan rasa kasih sayang dan hormat-menghormati.

  • Paling mulia di sisi Allah

Nabi bersabda: “Sesungguhnya seutama-utama manusia pada Allah ialah orang yang terlebih dahulu memberikan salam dalam kalangan mereka.” (Hadis riwayat Abu Dawud).

Lihat, bagaimana Allah memuliakan mereka yang memulakan salam ini!

 

  • Nabi pun buat

Pada satu hari, Sayidina Anas melewati kumpulan kanak-kanak. Lantas beliau memberikan salam kepada mereka. Kemudian beliau berkata: “Dahulu, Rasulullah SAW juga melakukan seperti ini.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

  • Berkat pada diri dan keluarga

Nabi pernah mendidik Sayidina Anas bin Malik, “Wahai anakku, jika kamu hendak masuk ke tempat keluargamu, maka ucapkanlah salam, nescaya akan berkat atas kamu dan seluruh keluarga rumahmu.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

 

  • Amalan terbaik

Rasulullah SAW pernah ditanya, “mana satu amalan Islam yang terbaik?” Lalu jawab Baginda: “Kamu menjamu orang makan, dan mengucapkan salam kepada orang yang dikenali mahupun tidak.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

 

  • Strategi ke syurga

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu tidak akan masuk ke syurga sehinggalah kamu beriman. Kamu tidak akan benar-benar beriman sehinggalah kamu semua saling menyayangi. Mahukah kamu kalau aku tunjukkan sesuatu, yang jika kamu melakukannya tentu kamu semua akan saling mengasihi? Sebarkanlah salam antara kamu!” (Hadis riwayat Muslim).

Moga kita terus mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dan menyebarkan salam dan kasih sayang.

Sabda Nabi SAW: “Al-salam, salah satu nama Allah yang diletakkan di bumi, maka sebarkanlah salam antara kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.