,

Mencari Cinta Ilahi

Allah sayang kita. Allah tak akan biarkan kita terlantar. Allah sentiasa membantu kita mencari jalan menuju cinta Ilahi.

Sedang kita asyik leka menonton drama kegemaran, akan terselit alunan azan berkumandang. Perasaan kita berbelah bahagi.

“Hrmmm… nak pergi masjid ke?”

“Alamak cerita menarik pula… episod terakhir ni.”

Kita yang tidak sayangkan diri kita. Kita seringkali tergelincir dengan pujukan Iblis. Kita terpedaya dengan dunia yang menipu. Sedang masjid dilupakan di dalam jantung hati kita. Jalan yang salah adalah pilihan kita.

Jangan salahkan Allah. Salahkan diri sendiri. Marilah berusaha mencari jalan menuju cinta Illahi.

Kita semua kenal siapa diri kita sebelum ini. Dahulu kita tidak sebegini. Dahulu kita jahil dan sesat. Dahulu kita malas mengaji. Sekarang baru timbul perasaan minat untuk mengaji ilmu. Itu tandanya Allah sayangkan kita.

Dahulu hanya ungkapan sahaja terbit di bibir kita. Sekarang sedikit demi sedikit kita diberi ilham untuk faham ilmu. Perbaikilah amalan kita. Allah sangat sayang kita. Allah paling penyayang dalam kalangan yang penyayang.

“…Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah Al-A’raaf 7:56)

“Persoalannya, adakah kita kenal diri kita sebagai hamba?”

“Adakah kita merasakan diri ini hamba?”

“Adakah kita mempersembahkan sepenuhnya jiwa kehambaan?”

Jika kita merasakan diri memiliki jiwa kehambaan, insyaAllah kita akan tidak meninggi diri. Jika kita kenal Allah, perasaan tidak mahu jauh dari pandangan Allah sentiasa menusuk ke dalam jiwa qalbu.

Perasaan rindu pada Allah akan menusuk dalam benak fikiran kita. Jika kita sayang Allah, kita mahu sentiasa mendapat perhatian Allah S.W.T.

Jika kita menyerahkan jiwa ini dekat dengan Allah, lidah kita akan sentiasa berzikir kerana Allah. Jantung hati kita akan bersih daripada perkara tercela. Kita akan rasakan dunia ini kecil sahaja. Dunia ini singkat sahaja. Dunia ini menipu.

“Apakah syurga semakin dekat dengan saya?”

“Adakah saya selamat daripada seksa kubur?”

“Adakah Allah terima amalan saya?”

“Adakah Allah sayang saya?”

Sungguh ajaib urusan orang mukmin. Apa yang berlaku dianggap baik-baik sahaja. Di kala menelusuri perjalanan menempuh gundah, orang mukmin akan bersabar sahaja.

Ingin penulis kongsikan doa yang terselit seni makna dan lafaz yang indah. Jika Allah uruskan diri kita, dan tidak menyerahkan diri kita kepada kita, walau sekelip mata, dunia boleh berbuat apa sahaja, namun urusan kita akan sentiasa ajaib.

InsyaAllah, kita memperolehi jalan menelusuri cinta Illahi.

اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلاَ تَكِلْنِى إِلَى نَفْسِى طَرْفَةَ عَيْنٍ وَأَصْلِحْ لِى شَأْنِى كُلَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ

“Ya Allah, rahmatMu yang daku harapkan. Jangan Dikau serahkanku kepada diriku walaupun sekelip mata. Baikilah untukku urusanku semuanya. Tiada yang diabdikan diri melaikan Engkau.” (Riwayat Abu Daud, bertaraf sahih)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhd Ridhuan bin Sulaiman. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Kini, berkhidmat sebagai Jurutera Awam di Ibu Pejabat JKR, Malaysia. Mula berkecimpung sebagai penulis di iluvislam pada 2017.

Adik kepada penulis juga ada menyediakan perkhidmatan “Private Martial Art Lesson” di Seksyen 19, Shah Alam. Sila hubungi adik penulis, Muhammad Ikram di talian 017-603 9997 atau layari https://www.instagram.com/ikramtyson/ untuk sebarang pertanyaan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.