Wahai Saudaraku,
Ketahuilah olehmu wahai orang-orang yang berjalan menuju kepada ALLAH bahawa untuk dirimu menjadi seorang SUFI itu adalah sebuah perjalanan yang mana jalan-jalannya itu penuh duri dan berliku.
Dan ia juga adalah jalan-jalan yang penuh dengan onak dan duri serta ujian yang tidak pernah berhenti.
Wahai Saudaraku,
Maka dengan itu, janganlah kamu mendabik dada dengan kata-kata dan ilmu semata-mata selagi kamu belum bertemu dan didatangi dengan ujian-ujianNya yang bertali arus tiada henti.
Wahai Saudaraku,
Boleh sahaja dengan sewenangnya lidah kamu berkata bahawa kamu telah beriman dan bahawa kamu mencintaiNya.
Akan tetapi berhati-hatilah, kerana itu boleh jadi hanya sekadar ucapan dari bibir kamu tanpa membuktikan apa-apa lagi dalam perjalananmu menujuNya..
Wahai Saudaraku,
Maka oleh itu, berhati-hatilah ketika mana kamu berbicara. Berhati-hatilah ketika mengungkap bicara cinta.
Sebelum kamu ingin mengenal apa itu cinta, maka kamu harus sudah tenggelam dan lemas di dalam lautan ujianNya terlebih dahulu. Merasai kepahitan dalam sebuah ujian.
Wahai Saudaraku,
Janganlah bicara mu itu melampaui batasmu sehinggakan kamu mengatakan tentang bicara sebuah cinta dan pengorbanan tetapi pada hakikatnya kamu masih belum menempuh ujian yang bertali arus di dalam perjalananmu.
Bahkan kamu masih belum sampai pada tahap merintih yang dasyat di saat mengenangi dosa zahir dan bathinmu yang tiada berpenghujung.
Dan di saat mana kamu masih belum merasakan sakitnya saat jiwa dan hatimu remuk menderita di dalam perjalanan ini.
Wahai Saudaraku,
Ketahuilah olehmu bahawa perjalanan ini harus ditempuh dan digagahi bukan dengan sifat beraninya kamu tetapi dengan kamu harus menyerah diri sepenuhnya kepada empunya pemilik dirimu.
Yang dimaknai dengan menyerah diri itu adalah sehingga kamu merasakan di saat itu tiada sesuatu pun yang dapat menolong kamu selain dari ALLAH semata-mata.
Wahai Saudaraku,
Berhati-hatilah dengan penyakit sombong. Kerana yang dinamakan sombong itu bukan sahaja kamu merendahkan orang lain tetapi kesombongan yang hakiki dalam diri kamu adalah di saat mana kamu merasakan kelebihan diri kamu, ilmu kamu dan ketaatan kamu sehingga kamu melupakan bahawa kamu hanyalah seorang hamba dan makhluk yang tiada apa-apa di sisi ALLAH.
Wahai Saudaraku,
Sedarilah bahawa kemaksiatan dan kesilapan yang membawa kamu kembali kepada ALLAH dengan linangan air mata penyesalan serta rendah dirimu itu adalah terlebih mulia daripada ketaatanmu yang membawa kamu kepada kesombongan diri.
Maka sentiasalah kamu memeriksa diri dan mengaudit diri daripada segala sifat tersembunyi yang menghijabkan kamu daripada perjalanan ini.
Kerana jalan ini penuh sunyi dan kegelapan yang tak mampu diterokai melainkan dengan hatimu yang benar-benar ingin kembali kepada ALLAH.
Wahai Saudaraku,
Maka ku berpesan akan perihal ini untuk diriku terlebih dahulunya dan buat pedoman kalian semua yang membacanya.
Semoga ia membawa manfaat keatasku dalam memperbaiki diri dan juga buat kalian semua. InshaALLAH.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Al Faqirah Qoba Qausain Au Adna (nama pena).
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.